Amaran adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian untuk mengelakkan kesusahan pada masa kelak. Di stesen MRT atau LRT, terdapat pelbagai tanda dan amaran untuk penumpang supaya mereka tidak menceroboh kawasan tertentu untuk keselamatan diri sendiri. Di dalam Alkitab, terdapat juga banyak amaran untuk menolong kita mengharungi kehidupan yang betul di sisi mata Allah.

Jadi, alangkah pentingnya kita memerhati serta mengikuti amaran-amaran yang terkandung di dalam Alkitab. Ramai di antara kita tidak hiraukan amaran Alkitab dan akhirnya terpaksa menanggung akibat kebodohan diri sendiri. Amaran pertama daripada Allah di dalam Alkitab diturunkan kepada Adam dan Hawa di Taman Eden. Malangnya, mereka mengingkari  amaran Allah dan terjerumus ke dalam dosa.

Amaran daripada Allah bukan untuk mengongkong ataupun menghadkan kebebasan peribadi, tetapi untuk kebaikan kita. Yesus sendiri memberi amaran kepada pengikut-Nya tentang dosa dan kejahatan. Dia berkata, “Yesus terus menambah, “Ingatlah baik-baik supaya menjaga diri daripada segala ketamakan kerana kehidupan manusia tidak bergantung pada harta kekayaan yang dimiliki” (Lukas 12:15). Dia juga memberi amaran tentang ajaran palsu serta golongan munafik di kalangan tokoh-tokoh iman: “”Awas, jangan terperdaya oleh sesiapa pun. Ramai orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah dia,’ dan ‘Masanya sudah tiba.’ Janganlah kamu ikut mereka.” (Lukas 21:8). Allah memberi amaran kepada kita kerana kasih sayang-Nya yang sangat besar, dan berikut adalah tujuh amaran daripada Alkitab yang perlu kita mempertimbangkan.

Amaran tentang Musuh Kristus/Penentang Kristus

Tiada siapa yang tahu jika Musuh Kristus wujud pada zaman sekarang atau tidak. Terdapat banyak spekulasi tentang identiti Musuh Kristus. Antara sasaran yang popular mungkin pemimpin-pemimpin negara yang berkuasa. Alkitab tidak menyatakan dengan jelas asal-usul Musuh Kristus. 2 Tesalonika 2:3-4 memberi sedikit maklumat tentang cara mengenal Musuh Kristus: “Jangan sekali-kali biarkan sesiapa memperdayamu kerana hari itu tidak akan datang sebelum berlakunya kemurtadan dan manusia leluasa, iaitu anak kebinasaan menampilkan diri. Dia akan menentang dan meninggikan dirinya daripada semua yang disembah manusia. Dia akan duduk di dalam bait Allah dan mengisytiharkan dirinya sebagai Allah.”

Walaupun ramai antara kita cuba meneka siapa Musuh Kristus itu serta waktu kemunculan dia, kita harus fokus apa yang Alkitab berkata tentang hal ini. Wahyu 13:5-8 menyatakan, “Binatang itu diberi mulut untuk melafazkan hal-hal besar dan kufur, serta diberi kekuasaan melakukannya selama empat puluh dua bulan. Ia pun membuka mulutnya lalu mengkufuri Allah, nama Allah, tempat kediaman Allah bersemayam dan semua penghuni syurga. Binatang itu dibenarkan memerangi dan menewaskan orang soleh, serta diberi kekuasaan ke atas semua suku, kaum, bahasa dan bangsa. Binatang itu akan disembah oleh setiap orang di bumi yang sejak dunia dicipta namanya tidak tersenarai di dalam Kitab Hidup milik Anak Domba yang telah disembelih.”

Amaran tentang Dosa

Sebagai Kristian, kita perlu mengelakkan dosa tetapi hal ini agak mencabar kerana kita adalah insan yang berdosa. Walaupun kita secara aktif cuba mengelakkan diri daripada melakukan dosa, kita masih terjerumus di dalam dosa kerana fitrah manusia. Allah kita Allah yang kudus, jadi Dia tidak akan toleransi dengan dosa, dan dosa kita mengasingkan diri daripada-Nya. Dosa anda dan saya telah menjadi satu halangan untuk bersahabat dengan Allah. Yesaya 59:2 menyatakan, “Tetapi kesalahanmu telah menjadi pemisah antara kamu dengan Allahmu, dan dosa-dosamu membuat Dia menyembunyikan diri daripadamu sehingga Dia tidak mendengar.” Akibat dosa harus memberi kesedaran supaya kita tidak bertoleransi ataupun memberi peluang kepada dosa di dalam kehidupan masing-masing. 

Amaran tentang Akhir Zaman

Akhir Zaman bukannya satu topik yang popular di kalangan jemaat. Tidak banyak Kristian mahupun gereja yang suka berbincang tentang hal ini, terutamanya pengajaran dari Perjanjian Lama. Biasanya, gembala yang mengajar tentang Akhir Zaman mengupas ayat-ayat Alkitab dari Matius 24, Markus 13, Lukas 21 ataupun Wahyu. Petikan-petikan dari Perjanjian Baru tentang Akhir Zaman memulakan cerita dari akhir dan bukannya dari permulaan, dan ini amat mengelirukan untuk sesetengah pihak serta tidak memberi gambaran yang sepenuhnya. Untuk mengetahui apa yang Alkitab menyatakan tentang Akhir Zaman, ia sangat penting untuk mendekatinya dari awal Alkitab. 

Nubuatan pertama tentang Akhir Zaman boleh didapati di kitab Kejadian. Petikan tersebut membincangkan pasal kesudahan dua belas suku Israel. Waktu Yakub amat singkat sebelum menemui ajalnya, jadi dia mengumpul kesemua dua belas anaknya dan memberi nubuatan tentang Akhir Zaman untuk setiap suku (Kejadian 49:1) Ada yang terima berita baik, terdapat pula golongan yang menerima kutukan.

Amaran tentang Kristus Palsu

Kita perlu berwaspada tentang pasal Kristus Palsu. Kristus yang sebenar selalu mengesahkan Firman Allah, tetapi Kristus Palsu tidak mentaati pengajaran Alkitab. Di sebalik khutbah mereka yang penuh dengan kata-kata manis, biasanya terdapat motif berlandaskan kewangan, ganjaran, perasaan mementingkan diri-sendiri, atau kedua-duanya. Jadi, kita perlu memerhati khutbah dan pesanan mereka. Rasul Petrus telah memberi amaran, “Dengan demikian, kata-kata nubuat yang ada pada kami menjadi lebih jelas. Terimalah kata-kata nubuat ini seperti lampu yang bersinar di tempat gelap, hingga fajar menyingsing dan bintang pagi terbit dalam hatimu” (2 Petrus 1:19). Allah telah berfirman, dan Kristus mengesahkan Firman-Nya. Kristus Palsu pula berlainan. “Apabila mereka mengeluarkan kata-kata yang hebat tetapi kosong, mereka menggunakan hawa nafsu dan keinginan cabul untuk menggoda orang yang baru terlepas daripada golongan yang hidup sesat” (2 Petrus 2:18). Tepuk dada, tanya selera: Adakah khutbah atau pesanan mereka berlandaskan Alkitabiah? Jika anda berasa bahawa sebahagian daripada pesanan mereka sudah terpesong daripada kandungan Alkitab, mereka adalah Kristus Palsu. 

Amaran tentang Kecemburuan, Duit dan Ketamakan

Kamu boleh bekerja dengan keras, menabung seberapa banyak yang boleh, dan juga memenuhi keinginan hati kamu, tetapi terdapat sekurang-kurangnya seorang lagi yang mempunyai lebih daripada kamu. Sudah pasti anda kenal orang seperti itu: yang selalu melancong di tempat-tempat yang eksotik, menukar kenderaan setiap satu dua tahun, memakai fesyen yang terkini mengikut musim, menghantar anak-anak ke sekolah swasta, dan menikmati makanan yang mewah setiap hari. Mereka tidak kekurangan dalam apa-apa hal pun. Kebenarannya adalah, Allah telah memberi amaran dalam 1 Korintus 13:5, di mana kasih “…tidak memburu kepentingan sendiri…” dan kita diseru untuk menyayangi sesama manusia. Lain kali anda berasa cemburu terhadap orang lain, cubalah menghayati semua berkat yang anda terima daripada Allah selama ini dan ucapkan doa syukur. Berseru kepada Allah untuk mengubah hatimu serta bersyukur senantiasa. 

Amaran tentang Kemalasan

Setiap pilihan anda mempunyai akibat dan mempengaruhi mereka yang berada di sekelilingmu. Jadi, setiap kali anda mengambil keputusan untuk berkurung di rumah dan membatalkan pertemuan dengan rakan-rakan yang sudah lama diatur, terdapat akibat yang anda perlu tanggung. Kemalasan termasuk keengganan hati untuk mentaati Firman Allah dalam hidupmu ataupun patuh kepada arahan Allah untuk menolong insan yang lain. Berdoalah untuk orang lain setiap hari dan bekerja di ladang Allah supaya anda menjauhi diri daripada roh kemalasan.

Amaran tentang Berpaling Tadah

Berpaling tadah merujuk kepada perbuatan kembali ke cara yang lama secara rohani dan moral. Apabila seorang yang percaya berpaling tadah, dia sudah kembali ke keadaan yang kurang memuaskan. Mungkin dia tersungkur secara tidak sengaja, ataupun dalam hal mengabaikan saat teduh dengan Yesus, membaca Alkitab, dan berfokus terhadap Allah. Kadang-kala, seorang Kristian berdosa secara sengaja. Cara kehidupan begini boleh membawa kecelakaan dan menghinakan nama Allah. Namun demikian, terdapat berita baik untuk kita yang telah berpaling tadah. Allah tidak melaknat atau mengutuk dia, tetapi terus mencurahkan kasih sayang dan sentiasa bersedia mengampuni dosanya. Langkah yang paling penting seorang yang telah berpaling tadah boleh ambil adalah untuk kembali ke pangkuan Yesus Kristus, peribadi yang mengalahkan maut dan dosa oleh kerana kasih-Nya yang besar. 

Kolose 2:8 menyatakan, “Awaslah, jangan tertipu oleh orang yang menggunakan falsafah dan tipu daya yang sia-sia, menurut adat manusia, menurut ajaran asas dunia, bukan menurut Kristus.” Kita perlu menumpu perhatian kepada prinsip-prinsip Allah dan bukan cara duniawi. Rasul Petrus memberi nasihat penting kepada semua yang percaya: “Saudara-saudara yang kukasihi, oleh sebab kamu telah mengetahui hal ini, berjaga-jagalah, jangan tergelincir daripada pendirianmu yang teguh akibat disesatkan oleh kesilapan orang durjana. Hendaklah kamu semakin kukuh dalam kasih kurnia Tuhan dan Penyelamat kita Yesus Kristus dan semakin mengenal-Nya. Bagi-Nya kemuliaan, sekarang dan selama-lamanya! Amin” (2 Petrus 3:17-18). Kita diseru memakai senjata Allah yang penuh untuk melindungi diri daripada serangan musuh yang sentiasa menentang Yesus dan misi-Nya.