Pujilah TUHAN!
Berbahagialah orang yang menghormati TUHAN,
yang suka mentaati perintah-Nya.
– Mazmur 112:1

Dalam bahasa asli Ibrani, kata ‘takut’ digunakan oleh penulis lagu dalam Mazmur 112:1 yang telah diterjemahkan dalam Alkitab Berita Baik sebagai ‘menghormati’. Namun demikian, kata ‘takut’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini bukan merujuk kepada hal negatif seperti takut melihat bencana alam, takut kerana ditakutkan oleh orang, takut kerana merasakan ada hantu. Takut yang dimaksudkan dalam mazmur ini merujuk kepada sikap hormat dan sikap mengabdikan diri kepada TUHAN. Jika kita hormat dan mengabdikan diri kepada pemimpin yang ada di dalam negara kita, pasti ada banyak kelebihan yang kita nikmati tapi tetap ada satu kekurangan terbesar iaitu jaminan kebahagian kekal. Dan jaminan kebahagian kekal itu hanya dapat dinikmati jika kita terus menerus mengabdikan diri kepada TUHAN sahaja.

Pemazmur memberikan beberapa senarai kelebihan yang akan kita nikmati jika kita mengabdikan diri kepada TUHAN; keluarga yang hidup aman, mendapat belas kasihan, nama baik, ketenangan hati, dan mendapat kehormatan. Sebaliknya orang yang jahat hanya akan iri hati pada berkat-berkat yang dinikmati oleh orang benar lalu mereka akan binasa akibat kebencian mereka. Saya percaya bahawa Mazmur 111 merupakan permulaan kepada kita untuk memahami alasan mengapa kita harus menghormati TUHAN iaitu apabila pemazmur memberikan pujian-pujian untuk segala yang TUHAN telah lakukan dalam kehidupan orang percaya. Secara jelas, puji-pujian tersebut menyatakan juga tindakan TUHAN kepada orang benar sehingga pada Mazmur 111:10 dinyatakan “cara menjadi bijak adalah dengan menghormati TUHAN; Dia memberikan pengertian kepada semua orang yang mentaati perintah-Nya. Ternyata, kunci daripada mendapatkan berkat-berkat yang dinyatakan dalam Mazmur 112 adalah pengertian daripada TUHAN sendiri. Pengertian itu hanya akan dapat kita miliki apabila kita mentaati perintah-Nya. Kita hanya akan dapat mentaati perintah TUHAN apabila kita menghormati TUHAN, kerana TUHAN sumber pengertian dan juga TUHAN yang disembah.

Dimanakah pendirian anda? Takut akan TUHAN atau sekadar mahu iri hati kepada orang benar di hadapan TUHAN? Saya galakkan kita bersama-sama belajar untuk melangkah dengan langkah terbaik pada hari ini iaitu hidup takut akan TUHAN. Belajarlah untuk hidup mengabdikan diri kepada TUHAN dan melakukan perintah-Nya. Kadang-kadang akan kelihatan sangat mustahil melihat berkat-berkat dari ketaatan kita kepada TUHAN kerana kita dikelilingi oleh orang yang tidak sama kepercayaan dengan kita; mereka memilih untuk menindas anda kerana kepercayaan berbeza, atau juga memilih untuk menyinggirkan anda dari komuniti sekitar anda kerana anda kelihatan berbeza. Tetapi, jika kita terus menerus taat dan setia pada perintah TUHAN, jalan akan terbuka untuk kita. Seperti yang dicatatkan dalam Amsal 2:7-8, “Dia memberikan pertolongan dan perlindungan kepada orang yang tulus hati dan jujur. Dia melindungi orang yang berlaku adil, dan mengawal orang yang setia kepada-Nya.” TUHAN akan memperhatikan dan mengawal hidup orang-orang benar. Kerana itu, jangan takut untuk menghormati TUHAN dan mentaati perintah-Nya. TUHAN AKAN MEMBELA ORANG YANG TAAT DAN SETIA KEPADA-NYA!

TUHAN ku,
aku tahu Engkau sahaja yang layak menerima pujian hormat;
perkenankanlah hidup ini terus mengabdikan diri hanya kepada-Mu.
Selidikilah hati ku jika ada tersimpan sekelumit kebencian, ampunilah aku.
Bedahlah minda ku jika ada tercalit benih kejahatan, sucikanlah aku.
Izinkanlah aku datang menyembah-Mu tanpa meragui perlindungan-Mu.
Jadikanlah aku persembahan yang berbau harum bagi kemuliaan-Mu.
Amin.