Siapa yang mati syahid dan bila?

6837

Tarikh mati syahid sesetengah rasul lebih jelas daripada yang lani. Contohnya, sejarawan tidak mempertikaikan tarikh mati syahid Petrus, Paulus ataupun Yakobus. Tarikh mati syahid rasul-rasul yang lain mempunyai fakta-fakta sejarah yang sah, tetapi ada juga yang mungkin lebih susah ditentukan. 

Tidak dinafikan bahawa jika kita mengambil kira semua pandangan dan fakta yang sedia ada, boleh dikatakan bahawa semua kecuali seorang sahaja rasul yang mati syahid.

1. Yakobus (Mati syahid: 44–45 Masihi), rasul Tuhan Yesus Kristus, dipercayai menjadi pengikut Yesus kedua yang mati syahid yang dicatatkan dalam sejarah (selepas Stefanus direjam sampai mati). Cerita Yakobus terkandung dalam Kisah Para Rasul 12:2, di mana ia menyatakan bahawa di bawah pemerintahan Raja Herodes, “Yakobus saudara Yohanes dibunuhnya dengan pedang.”

Kedua-dua Clement dari Alexandria serta Eusebius melaporkan bahawa setelah bersaksi akan keberanian dan ketidakengganan Yakobus menafikan kebangkitan Kristus, pemancung tersebut pun percaya kepada Yesus Kristus sehingga dia sendiri dipancung bersama-sama Yakobus. 

2. Petrus (Mati syahid: kira-kira 64 Masihi): Walaupun Petrus menyangkal Yesus tiga kali sebelum Yesus disalib, selepas kebangkitan Yesus dari maut, Petrus sendiri sudi mati syahid demi kepercayaannya. Yohanes 21:18–19 menyatakn bahawa Yesus memberitahu Petrus cara Petrus akan menemui ajalnya: 

“Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sewaktu muda kamu mengikat tali pinggangmu lalu pergi ke mana-mana yang kamu mahu. Tetapi semasa tua nanti, kamu akan menghulurkan tangan dan orang akan mengikat kamu lalu membawamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.” Kata-kata Yesus ini membayangkan bagaimana Petrus akan mati untuk memuliakan Allah. Yesus pun berkata kepada Petrus, “Ikutlah Aku!”

Rasul Petrus mati syahid setelah disalibkan secara terbalik. Mengikut sejarawan Eusebius, Petrus menganggap dirinya tidak layak disalibkan dengan cara yang sama seperti Tuannya (Yesus Kristus), jadi dia minta untuk disalibkan terbalik. 

3. Andreas (Mati syahid: 70 Masihi)

Andreas yang membawa saudaranya Petrus kepada Yesus, mati syahid kira-kira enam tahun selepas Petrus. Andreas membawa Berita Baik kepada orang Scythia dan Thracia, dan membayar dengan nyawa sendiri. Mengikut tradisi, Andreas digantung sampai mati di atas pokok zaitun di Patrae, sebuah bandar di Achaia.

4. Tomas (Mati syahid: 70 Masihi)

Tomas biasanya dikenali sebagai ‘Doubting Thomas’ dalam bahasa Inggeris kerana dia tidak percaya pada kata-kata mereka yang telah berjumpa dengan Tuhan Yesus setelah Dia bangkit dari maut. Yohanes 20:25, Thomas berkata, “Selagi aku tidak melihat sendiri bekas paku di tangan-Nya, dan memasukkan jariku ke dalam bekas luka itu, juga memasukkan tanganku ke dalam rusuk-Nya, aku tidak mahu percaya.”

Setelah ini, Kristus menunjukkan Diri-Nya kepada Tomas, dan Tomas percaya sehingga saat dia mati syahid. Mengikut tradisi, Tomas mati ditombak dan dibakar secara hidup-hidup. 

5. Filipus (Mati syahid:: 54 Masihi)

Kristus memperbetulkan Filipus seperti yang dinyatakan dalam Yohanes 14:8-9:

Filipus berkata kepada Yesus, “Tuhan, tunjukkanlah Bapa kepada kami, supaya puaslah hati kami.” Yesus menjawab, “Sekian lama Aku bersama kamu semua, belum lagi kaukenal Aku, Filipus? Sesiapa yang telah melihat-Ku, telah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, ‘Tunjukkanlah Bapa kepada kami?'”

Filipus menjadi saksi kepada kemuliaan Kristus setelah kebangkitan Yesus dari maut, dan memang teruja dengan respon Kristus terhadap permintaannya. Filipus membawa Berita Baik ke kawasan Phrygia, di mana tradisi menceritakan tentang penolakan Berita Baik oleh segolongan Yahudi di sana. Mereka menyeksa Filipus dan menyalibkan dia tidak lama selepas itu. 

6. Matius (Mati syahid: 60–70 Masihi)

Matius yang bekerja sebagai pemungut cukai dahulu, rindu akan bangsanya sendiri untuk menerima Kristus. Dia siap menulis Kitab Matius kira-kira 10 tahun sebelum kematiannya. Terkandung dalam Kitab Matius, pembaca boleh memerhati betapa dalamnya iman dia terhadap Yesus sehingga dia sanggup mati untuk Tuhannya. Kitab Matius menceritajan di mana Kristus yang telah bangkit berkata, “Aku akan sentiasa bersamamu, hingga ke akhir zaman.”

Mengikut tradisi, Matius dipancung kepalanya di Nad-Davar, dan kata-kata Yesus yang menenangkan hati sudah pasti menolong Matius mengharungi semua penderitaan. 

7. Bartolomeus (Mati syahid: 70 Masihi), di mana namanya bermaksud “hadiah daripada Allah”, memang adalah hadiah kepada Gereja melalui pengorbanannya. Di dalam Yohanes 1:49, Bartolomeuslah satu-satunya yang pertama mengakui Kristus: “Rabbi, Engkau Anak Allah! Engkau Raja bangsa Israel!”

Pengakuan imannya akhirnya membawa Bartolomeus menemui ajalnya. Oleh kerana Bartolomeus enggan menafikan kebangkitan Kristus, dia disebat dan disalibkan (mengikut tradisi). 

8. Yakobus anak Alfeus (Mati syahid: 63 Masihi)

Yakobus anak Alfeus dilantik sebagai ketua jemaat di gereja Yerusalem untuk bertahun-tahun setelah kematian Yesus. Tidak menghairankan jika dia berjumpa dengan banyak orang Yahudi yang menentang dia, sepertimana golongan tersebut juga digambarkan dalam Matius 27:25, “Kesemua mereka menjawab, ‘Biarlah darah-Nya tertanggung di atas kami dan zuriat kami.’”

Terdapat dua cerita yang diturunkan kepada kita bagaimana Yakobus anak Alfeus dibunuh. 

Yang pertama menceritakan bagaimana golongan yang menentang dia membawa Yakobus anak Alfeus ke puncak Bait Allah di Yerusalem. Jika dia menafikan Yesus sebagai Tuhan, dia akan hidup, tetapi jika dia masih mengakui Yesus sebagai Tuhan, dia akan dicampak ke bawah. Tidak perlu panjang lebar lagi, dia memilih untuk mengakui Yesus sebagai Tuhan sehingga nafas terakhirnya, lalu menemui ajalnya setelah dicampak. 

Kejadian yang kedua memberi kesambungan cerita setelah Yakobus anak Alfeus dicampak dari puncak Bait Allah di Yerusalem. Selepas itu, orang Yahudi memukul kepalanya sehingga dia mati. 

Kejadian pertama mempunyai taraf kesahihan yang lebih tinggi daripada yang kedua, tetapi pokoknya adalah Yakobus anak Alfeus tahu akan siapa yang dia percaya dan sembah, dan tidak takut akan maut demi imannya dalam Yesus Kristus. 

9. Simon Si Patriot (Mati syahid: 74 Masihi)

Simon adalah seorang patriot yang ingin membebaskan bangsanya daripada belenggu penindasan empayar Roma. Setelah dia menyaksikan kebangkitan Yesus Kristus untuk diri sendiri, dia menjadi penyokong Berita Baik yang sangat setia. Para sejarawan menceritakan pelbagai tempat di mana Simon membawa Berita Baik tentang kebangkitan Kristus: Mesir, Kirene, Afrika, Mauritania, Britain, Libia, dan Persia. Kematiannya disebabkan oleh seorang gabenor di Syria. 

10. Tadius (Mati syahid: 72 Masihi)

Yohanes 14:22 memberitahu kita bahawa Yudas bertanya kepada Yesus: Yudas (bukan Yudas Iskariot) berkata kepada Yesus, “Tuhan, mengapa Engkau memperlihatkan diri kepada kami tetapi tidak kepada dunia?”

Setelah dia menjadi saksi kepada kebangkitan Kristus dari maut, Tadius ketahui jawapannya. Dia menyebarkan berita tentang Kristus yang hidup di kalangan imam-imam pagan di kawasan Mesopotamia. Mengikut tradisi, dia dipukul sampai mati oleh batang kayu di sana sambil menjadi contoh betapa kuat imannya di dalam Kristus sebagai Tuhan dan Allah. 

11. Matthias (Mati syahid: 70 Masihi)

Kisah Para Rasul 1:26 memberitahu kita bagaimana Matthias menggantikan Yudas (murid Yesus yang mengkhianati Kristus dan gantung diri selepas itu) sebagai rasul ke-12 Kristus: “Mereka membuang undi lalu terkena kepada Matias. Dia pun diambil menyertai sebelas rasul itu.”

Matthias dipercayai adalah salah satu 70 orang yang diutus oleh Kristus sewaktu Yesus masih melayan di bumi seperti yang dinyatakan dalam Lukas 10:1: “Setelah itu, Tuhan memilih tujuh puluhi orang pengikut lain dan menyuruh mereka pergi berdua-dua mendahului-Nya ke setiap bandar dan tempat yang akan dikunjungi-Nya.”

Hal ini melayakkan dia menjadi seorang Rasul. Matthias adalah rasul yang paling kurang dikenal, dan mengikut sejarawan Eusebius, Matthias pernah membawa Berita Baik sehingga ke Etopia. Mengikut tradisi, dia direjam sewaktu bergantung di atas salib. 

12. Yohanes (Mati: 95 Masihi)

Probability Grade: A – that he was not martyred, C – that he was thrown into boiling oil.

Yohanes adalah satu-satunya 12 rasul yang mati secara semulajadi. Walaupun dia tidak mati syahid, dia hidup sebagai seorang syahid. Dia dibuang negeri ke pulau Patmos sewaktu pemerintahan Maharaja Domitian oleh kerana dia memberitakan injil tentang Kristus yang hidup. 

Di sanalah Yohanes menulis kitab terakhir dalam Alkitab, Wahyu. Terdapat tradisi lemah yang menyatakan bahawa dia dibuang ke dalam minyak panas, tetapi dia tidak mati walaupun rupanya sangat mengerikan selepas itu.

13. Paulus (Mati syahid: 67 Masihi)

Paulus mengakui diri sebagai penganiaya umat Kristian di dalam Galatia 1:13, “Kamu telah mendengar tentang kelakuanku dahulu ketika dalam agama Yahudi, betapa aku telah menganiaya jemaah Allah habis-habisan dan cuba membinasakannya.”

Paulus mengalami pertaubatan sewaktu dia berangkat ke Damsyik untuk menganiaya umat Kristian di sana. Walaupun Paulus merupakan salah satu penentang Yesus yang paling besar pada awalnya, setelah berjumpa dengan Tuhan Yesus secara peribadi, dia menghabiskan hayatnya untuk memberitahu semua orang tentang Kristus yang hidup. 

Penulisannya dalam 2 Korintus 11:23-27, Paulus mempertahankan pelayanannya serta menceritakan penderitaan yang dialami olehnya demi Kristus:

“Kerana mereka para pelayan Kristus? Aku berkata sebagai orang bodoh: Aku lebih lagi! Aku lebih banyak bertungkus-lumus, lebih kerap disebat, lebih sering dipenjarakan, selalu sahaja diancam maut. Lima kali, sebanyak empat puluh kurang satu sebatan setiap kalinya, aku disebat oleh orang Yahudi. Tiga kali aku dipukul dengan tongkat, sekali direjam, tiga kali ditimpa kejadian kapal karam, dan sehari semalam terkatung-katung di laut. Dalam perjalanan, sering kali aku menghadapi bahaya; bahaya dari sungai, bahaya daripada penyamun, bahaya daripada bangsaku sendiri orang Yahudi, bahaya daripada bangsa-bangsa lain, bahaya di kota, bahaya di gurun, bahaya di laut, dan bahaya daripada orang yang berpura-pura sebagai saudara seiman. Aku sering keletihan bekerja keras, kurang tidur, kelaparan dan kehausan. Kerap kali aku terpaksa mengikat perut, menanggung kesejukan, kekurangan pakaian.”

Akhirnya, Paulus menemui ajalnya di Roma setelah dijatuhkan hukuman pancung kepala oleh Maharaja Nero.