Kemudian Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, “Jika kamu taat kepada ajaran-Ku, kamu benar-benar pengikut-Ku. Kamu akan mengenal Allah. Oleh itu kamu akan dibebaskan.”
– Yohanes 8:31-32

Jika kita menelusuri pembacaan yang terdapat didalam Yohanes 8, kita akan dapati bahawa Yesus sedang memberikan pengajaran tentang kasih yang sejati. Dalam ayat 1-11, Yesus bukan sahaja menyelamatkan tubuh wanita yang berzina daripada direjam batu kerana didapat berzina tetapi juga menyelamatkan jiwa wanita itu; buktinya adalah apabila dalam ayat 11, Yesus memerintahkan wanita itu pergi dan jangan melakukan dosa lagi. Sementara dalam ayat 12-20, Yesus memberikan pengajaran kepada para murid-Nya sambil menegur para Farisi yang suka menghakimi orang Yahudi dengan hukum Taurat bangsa mereka. Tetapi Yesus menyatakan diri-Nya sebagai cahaya bagi dunia ini untuk menyatakan bahawa kebenaran sejati hanya ada di dalam diri-Nya dan meskipun pernyataan itu sangat mengganggu para Farisi, tetapi Yesus tidak ditangkap kerana masa-Nya belum tiba untuk ditangkap. Ayat 21-30 menjadi ‘jambatan’ kepada maksud sebenar Yesus datang kepada bangsa Yahudi iaitu keselamatan kekal itu hanya datang kepada mereka melalui Yesus Kristus sambil mengutip firman-Nya sendiri sebagai Allah dari Perjanjian Lama (Keluaran 3:14, ketika Allah menyatakan diri-Nya kepada Musa) iaitu, “Akulah Dia yang menyebut diri-Nya Aku.” Yesus melanjutkan pengajaran baharu-Nya bermula dari ayat 31 mengenai manusia yang merdeka (bebas) apabila berada di dalam-Nya. Pengajaran mengenai kemerdekaan di dalam Yesus sangat integral dalam kitab-kitab Injil kerana meskipun para penulis kitab-kitab Injil memiliki cara pandang penulisan yang berbeza mengenai Yesus, tetapi satu daripada kesamaan penulisan mereka adalah tujuan kedatangan Yesus ke dunia ini, iaitu memerdekakan manusia daripada belenggu dosa.

Walaupun secara fizikal, manusia masih memiliki belenggu akibat penindasan dari segi politik, agama dan status sosial, tetapi kemerdekaan yang Yesus tawarkan kepada mereka adalah sangat bernilai dan kekal selamanya. Kemerdekaan yang Yesus maksudkan adalah pembebasan mereka daripada ikatan dosa yang telah merantai hidup mereka akibat kejatuhan manusia awal dan akhirnya sikap berdosa itu diwarisi oleh mereka dan oleh seluruh manusia di dunia ini. Tidak ada cara lain untuk membebaskan manusia daripada belenggu dosa ini selain daripada upaya Yesus sendiri sebagai Allah untuk datang kepada manusia dan menebus manusia dengan darah-Nya sendiri. Tanpa mengira mereka daripada keturunan Abraham, keturunan tuan atau hamba, mereka semua layak mendapat pembebasan daripada Yesus. Ramai orang Yahudi yang mendengar bahawa hak pembebasan adalah sama rata untuk semua manusia tidak bersetuju dengan pernyataan Yesus kerana mereka merasakan mereka hanya menyembah satu Allah sahaja iaitu Allah yang disembah oleh moyang mereka Abraham iaitu Allah dan Yesus tidak berhak menyatakan pembebasan kepada mereka, tetapi Yesus berkata kepada mereka bahawa sesungguhnya Dia sendiri adalah Utusan daripada Allah dan apa yang Dia katakan dan lakukan adalah daripada Allah sendiri (ayat 40, 42). Menurut Yesus sendiri, penolakan bangsa Yahudi mengenai diri-Nya sebagai Tuhan dan Penyelamat adalah disebabkan mereka masih dikuasai oleh belenggu Iblis kerana hanya Iblis yang mencintai penipuan dan penolakan kepada kebenaran (ayat 44).

Rakyat Malaysia akan meraihkan pembentukan negara Malaysia yang ke-57 pada 16 September ini dan ianya bermula dengan peristiwa kemerdekaan yang diraihkan oleh beberapa wilayah iaitu Borneo (Sabah dan Sarawak) dan Tanah Melayu (termasuk Singapura pada perancangan awalnya). Tidak mungkin akan ada pembentukan sebuah negara yang bebas sepenuhnya dari penjajahan jika wilayah-wilayah yang bergabung itu tidak mengecapi kemerdekaan masing-masing. Tanah Melayu merdeka tanggal 31 Ogos 1957, Sarawak bebas dari kuasa penjajah pada 22 Julai 1963 dan Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963. Malaysia sendiri meraihkan Hari Malaysia pada setiap 16 September sempena mengingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Jika kita memahami tujuan kita meraihkan tarikh-tarikh penting ini dalam hidup kita, maka kita akan lebih menghargai kemerdekaan yang kita kecapi sehingga kini di negara kita Malaysia. Jika kita menghayati pengorbanan yang dilakukan oleh pejuang pembebasan setiap wilayah terbabit, kita bukan sahaja akan menghargai mereka tetapi kita juga akan menghargai hidup yang kita sedang jalani ketika ini. Kemerdekaan yang kita nikmati ketika ini sangat baik kerana ia memberikan peluang kepada kita untuk memiliki kehidupan yang lebih selesa dan lebih selamat. Meskipun banyak rintangan akibat kepentingan beberapa pihak yang mementingkan diri mereka sendiri, tetapi kita masih dapat menikmati hari-hari kita di Malaysia dengan penuh harapan. Tetapi, tahukah saudara-saudari sekalian bahawa Yesus memberikan kemerdekaan yang kekal dan sempurna kepada setiap kita? Ketika Yesus mengambil keputusan untuk mati disalibkan, darah-Nya yang tercurah telah menebus hidup kita daripada belenggu dosa. Darah-Nya telah memerdekakan anda dan saya daripada ikatan maut yang sepatutnya kita akan hadapi ketika kita meninggalkan dunia ini.

Ketika kita meraihkan hari-hari bersejarah sepanjang pembebasan negara kita, ia adalah sangat baik tetapi jika anda belum memiliki kemerdekaan di dalam Yesus, maka hidup anda akhirnya akan sia-sia pada akhirnya. Tanpa Yesus di hidup anda, maka anda akan menjadi hamba kepada dosa dan tanpa Yesus di dalam hidup anda, maka anda akan mengalami penderitaan yang kekal selamanya selepas anda meninggalkan dunia ini. Kita boleh berbangga dengan status sosial yang kita miliki hasil daripada usaha kerja keras kita di dunia ini. Kita boleh berbangga dengan pencapaian dalam pelayanan rohani serta pelayanan kebajikan yang kita lakukan di dunia ini, tetapi jika kita belum sepenuhnya dibebaskan oleh darah Yesus, maka semua itu sia-sia sahaja. Jika hari ini engkau meyakini kemerdekaan yang Malaysia miliki akan kekal selamanya, maka hargailah Malaysia, jadilah rakyat Malaysia yang prihatin dengan menjaga keamanan sesama bangsa dan saling mengasihi tanpa prejudis terhadap satu sama lain. Tetapi, jika hari ini anda masih belum memiliki kasih Yesus yang memerdekakan anda daripada dosa, inilah harinya untuk anda datang kepada-Nya dan menerima-Nya sebagai Tuhan dan Penyelamat anda. Di bawah kolong langit ini, tidak ada TUHAN selain Yesus Kristus. Hanya Yesus satu-satunya jalan, kebenaran dan kehidupan. Heleluyah!

Aku telah melihat sehala perbuatan orang di dunia, dan sesungguhnya semua itu sia-sia seperti mengejar angin.
Yang bengkok tidak dapat diluruskan; yang tidak wujud tidak dapat dihitung.
Aku bertekan untuk mengetahui perbezaan antara pengetahuan dan kebodohan, antara hikmat dan kebebalan. Tetapi ternyata aku ini seperti mengejar angin sahaja.
Semakin banyak hikmat, semakin banyak kekhuatiran. Semakin banyak pengetahuan, semakin banyak penderitaan.
Pengkhutbah 1: 14-15, 17-18

– HT Ram Jonathan®