Kata-kata penghiburan untuk Yerusalem

TUHAN berfirman,
“Dengarlah Aku, haik kamu yang mahu diselamatkan,
Kamu yang datang kepada-Ku minta pertolongan.
Ingatlah akan bukit batu tempat kamu dipahat,
dan kuari tempat kamu digali.
Dengarlah Aku, hai umat-Ku,
dengarlah firman-Ku:
Aku memberikan ajaran-Ku kepada bangsa-bangsa,
dan hukum-Ku akan menerangi mereka.
– Yesaya 51:1,4

Bacalah dan renungkanlah Yesaya 51 dan anda akan mendapati bahawa Israel adalah bangsa yang sangat dikasihi oleh TUHAN sejak dari awal lagi. Meskipun mereka sentiasa melukakan Tuhan dengan kesombongan dan kedegilan mereka, meskipun mereka sentiasa menentang TUHAN, meskipun mereka sentiasa mencurangi TUHAN dengan menyembah ilah-ilah lain. Tetapi, TUHAN sentiasa menunjukkan kasih dan kesetiaan-Nya kepada mereka. Namun, dalam melayan sikap-sikap yang tidak disukai oleh TUHAN, mereka merasakan mereka seolah semakin jauh daripada TUHAN. Oleh itu, umat Israel perlu menghiburkan hati mereka dengan melihat masa depan mereka sesungguhnya ditunjangi oleh kesetiaan TUHAN. Yesaya menyatakan firman TUHAN kepada mereka dengan mengingatkan mereka bahawa TUHAN yang setia kepada Abraham pada suatu masa dahulu, TUHAN yang telah membentuk keturunan Israel daripada Abraham dan TUHAN yang menjadikan Sara sebagai ibu kepada bangsa Israel adalah TUHAN yang sama sedang bersama-sama dengan mereka ketika itu. Abraham adalah bapa leluhur tunggal yang TUHAN telah jadikan sebagai tunjang kepada keturunan bangsa Israel sehingga mereka adalah bangsa besar dan perkasa dalam segala aspek.

Begitulah kehebatan kasih dan kesetiaan TUHAN kepada bangsa Israel. Janji TUHAN kepada mereka tidak pernah berakhir bahkan tetap berlangsung sehingga sekarang ini. TUHAN terus menerus memberkati Israel dengan penuh kasih sehingga meskipun banyak pihak cuba untuk memusnahkan bangsa ini termasuk pada zaman ini, mereka tidak pernah pupus dari dunia. TUHAN juga memulihkan keadaan mereka dan menempatkan mereka di ‘Eden’ yang baharu yang dikenali sebagai Kanaan, tanah perjanjian yang dijanjikan TUHAN kepada Abraham ketika dia keluar dari Ur Kasdim. Tetapi dalam ayat 4, TUHAN bukan sahaja menjanjikan kesetiaan-Nya kepada bangsa Israel, malahan kepada seluruh bangsa. TUHAN berfirman akan memberikan didikan dan hukum yang akan menerangi bangsa-bangsa yang ada di dunia ini (Yesaya 51:4). Jika dilanjutkan pembacaan pada ayat 5, TUHAN juga berjanji untuk menyelamatkan bangsa-bangsa dan menjadi RAJA kepada seluruh bangsa di dunia ini. Semua janji oleh TUHAN ini telah digenapi ketika Yesus Kristus datang ke dunia. Yesus Kristus bukan sahaja Penyelamat kepada bangsa Yahudi, tetapi darah Yesus Kristus telah tercurah untuk seluruh manusia di dunia ini (Yohanes 3:16). Raja dari bangsa lain mungkin sahaja berhak membiarkan rakyat dan tentera kerajaan mati bagi mempertahankan keluarga diraja mereka, tetapi Yesus Kristus, Sang Raja dari segala raja sebaliknya; Dia yang mencurahkan darah-Nya untuk seluruh umat manusia.

Janji setia TUHAN tidak pernah berkesudahan kepada manusia di dunia ini. Kasih-Nya tidak akan ada akhirnya kerana Dia adalah Sumber kasih yang awal (Alpha) dan yang akhir (Omega). Ketika manusia pada zaman dahulu sehingga sekarang terleka dengan keinginan dunia yang tidak membawa kemuliaan kepada TUHAN, ketika manusia berubah kesetiaan kepada ilah-ilah lain yang ada di dunia ini, dan ketika manusia mulai mengharapkan akal logik mereka sendiri, TUHAN tetap sama dan tidak berubah. Dia tetap setia kepada manusia; setia mencari yang terhilang, setia membimbing yang tersesat dan setia meneguhkan yang terjatuh. Ketika manusia mulai mengasihi dunia ini, ketika manusia mulai mencintai dunia dan isi dunia yang sia-sia, dan ketika manusia mulai memilih mencintai pekerjaan iblis, TUHAN tetap mengasihi kita. Tuhan tidak pernah berpaling kasih kepada ciptaan-Nya, bahkan setiap hari TUHAN menunjukkan kasih-Nya kepada manusia. Sejauh timur dari barat, seluas selatan ke utara; dosa dan kejahatan manusia tidak terhitung banyaknya di bumi ini. TUHAN tidak pernah berubah kesetiaan dan kasih-Nya. Apakah alasan untuk kita terus menerus meninggalkan TUHAN? Adakah alasan untuk kita bermegah dengan apa yang dunia sudah berikan kepada kita tetapi melepaskan dari hidup untuk apa yang TUHAN sudah berikan kepada kita?

Dalam Yesaya 51:7-8, TUHAN mengingatkan bangsa-bangsa akan satu perkara penting; manusia yang hidup benar akan diselamatkan oleh TUHAN untuk selama-lamanya! Sedangkan manusia yang mencela dan menghina orang Kristian, mereka akan lenyap dari bumi ini selama-lamanya! Hanya ada satu yang kekal iaitu Yesus Kristus; Dia adalah TUHAN yang telah menebus setiap manusia. Sesiapa sahaja yang menjadi pengikut dan percaya kepada Yesus, mereka akan mendapat kehidupan yang kekal (Yohanes 14:6). Janganlah kiranya sikap bongkak, sombong dan berlagak menguasai hidup kita kerana ia merupakan sikap-sikap yang dibenci TUHAN sementara yang rendah hati dikasihi-Nya (Yakobus 4:6). Jika bangsa Israel yang terkenal dengan kesombongan kepada bangsa-bangsa bahkan sombong di hadapan TUHAN tetap dikasihi TUHAN, itu membuktikan bahawa TUHAN yang kita sembah adalah TUHAN yang setia dan sangat mengasihi kita. TUHAN yang memberikan peluang kepada manusia untuk kembali kepada-Nya, meskipun kehidupan lama kita sudah terlalu jauh daripada tuntutan kesempurnaan hidup oleh TUHAN. Maka, jika hari ini engkau masih belum mendengarkan berita baik ini, dengarlah; YESUS KRISTUS adalah TUHAN dan satu-satunya TUHAN yang memberikan nyawa-Nya untuk anda dan saya. YESUS KRISTUS satu-satunya jalan keselamatan dan hanya di dalam YESUS KRISTUS sahaja kita akan mendapat kehidupan kekal. Haleluyah!

Memandang karya penyelamatan-Mu,
Membuat aku terpaku akan kebaikan sejati-Mu.
Mengenang akan kasih-Mu,
Membuat aku terpegun akan kesempurnaan-Mu.
Membawa hidup ku mendekat pada-Mu,
Menjadikan aku baharu tanpa ragu.
Melekat teguh dalam dakapan rahmat-Mu,
Memberikan harapan keselamatan teguh hanya di dalam-Mu.
Yesus ku, Raja ku, TUHAN ku,
Kesetiaan-Mu dan kasih-Mu tidak akan pernah ku menjauh.
Inilah aku, terimalah aku menjadi bejana kemuliaan-Mu.
Amin.

– HT Ram Jonathan®