Orang yang tidak yakin akan kepercayaan mereka harus disambut dengan baik di kalangan kamu. Janganlah bertengkar dengan mereka tentang pendirian peribadi.
– Roma 14:1

Ini adalah perintah yang terus menerus harus dilakukan oleh orang Kristian. Ia merupakan penekanan yang diberikan oleh Paulus kepada jemaah yang membaca surat ini, tetapi dalam masa yang sama, ia juga ditujukan kepada semua pembaca masa kini iaitu anda dan saya. Secara terperinci, kata ganti nama “kamu” merujuk kepada kelompok gereja di Roma yang saling bertelingkah mengenai kepercayaan mereka terhadap halal haram makanan yang harus mereka pertahankan. Kemungkinan besar kedua kelompok gereja tersebut adalah dari kelompok gereja yang terdiri daripada jemaah orang Yahudi dan kelompok kedua adalah kelompok gereja di kalangan bukan Yahudi (Rom 15:7-21). Atau dalam konteks masa kini, boleh difahami sebagai dua kelompok manusia yang memiliki tanggapan berbeza hal mengenai makanan di dalam gereja masing-masing. Dalam pemahaman lain, ayat ini juga merujuk kepada kumpulan manusia yang masih lemah dalam iman dan segelintir lagi kuat dalam iman. Iman yang sepatutnya mereka miliki adalah kemampuan kepercayaan kepada Injil untuk memerdekakan mereka dari belenggu dosa dan tidak sepatutnya digunakan untuk menghakimi sesama Kristian. Dalam erti kata lain, iman tidak seharusnya digunakan untuk menunjukkan kepintaran mereka menjatuhkan orang Kristian yang lain di Roma. Sementara itu, frasa “orang yang tidak yakin akan kepercayaan mereka” diletakkan dihadapan ayat ini untuk menunjukkan keadaan kerohanian orang yang harus diperhatikan. Oleh itu, Paulus mahu gereja di Roma untuk memperhatikan orang yang lemah iman. Kerana itu, Paulus menegur orang yang suka menghakimi orang yang lemah iman kerana menurut Paulus, hanya Allah yang berhak menilai hidup mereka dan sesungguhnya Allah sudah menerima orang seperti itu (ayat 4). Ini disebabkan orang yang makan apa sahaja atau orang yang memilih untuk memilih makanan tertentu sesuai ajaran agama mereka adalah sama di mata Tuhan, mereka semuanya berusaha untuk menghormati Tuhan. Sepatutnya, jemaah di Roma belajar untuk saling menguatkan sesama dan meneguhkan iman dengan cara menyokong satu sama lain.

Ramai di antara kita masih hidup kerana perintah aliran gereja masing-masing. Tetapi, masih ramai juga yang hidup sebagai Kristian dan menghakimi sesama Kristian hanya kerana pendirian gereja mereka tidak sama gereja sendiri. Adakah di dalam dunia ini yang diakui sebagai gereja sempurna? Atau, sekurang-kurangnya adakah gereja di dunia ini yang diakui sebagai gereja paling benar? TIDAK ADA! Lalu, apakah haknya jemaah dari gereja-gereja berlainan aliran berusaha untuk meruntuhkan semangat kerohanian saudara seiman dalam hal-hal begitu? Terdapat juga segelintir Kristian yang mengaku mereka lebih bijak dalam doktrin gereja tetapi buktinya mereka sangat lemah dalam menuntut ilmu secara sistematik. Mereka ibarat orang yang membeli buah anggur di pasar tani tetapi tidak pernah tahu proses menanam anggur sehingga di hantar ke pasar tani; tetapi kasihan kerana pembeli itu lebih yakin mana buah anggur yang lebih berkualiti berbanding pengusaha ladang anggur. Demikianlah sesetengan jemaah Kristian yang mendakwa mereka adalah golongan eksklusif dan mahu orang lain mengakui ajaran mereka sahaja. Lebih parah, ada di antara mereka yang langsung tidak menghormati gereja!

Berdasarkan kepada dua situasi ini iaitu situasi yang terjadi di dalam Alkitab dan situasi yang sedang berlaku di masa kini, kita mengetahui bahawa orang Kristian sudah lama terjebak dengan sikap menghakimi dan rasa ada di antara mereka (sesama Kristian) yang lebih berhak di hormati berbanding orang lain. Jika kita meneliti ajaran daripada Paulus dalam Roma 14: 11, dia mengajarkan bahawa suatu masa nanti semua kita akan diadili di hadapan Raja di atas segala raja dan kita harus bertanggungjawab dengan perbuatan kita. Dalam konteks ayat tersebut, Paulus cuba untuk menekankan perbuatan menghakimi dan menyakiti hati sesama Kristian. Bukankah kita sebagai orang Kristian harus mendorong di antara satu dengan yang lain? Bukankah kita bertanggungjawab untuk mengangkat sesama manusia yang terjatuh untuk bangkit dari kejatuhan mereka. Bukankah kita sebagai orang Kristian harus menjadi cahaya dan garam kepada dunia ini? Tetapi, mengapa masih ada di antara kita yang mahu menjadi racun kepada dunia ini? Semuanya itu disebabkan oleh kesombongan dan ianya sudah lama terjadi semenjak kisah bangsa Israel menentang Allah. Malahan telah diteruskan oleh bangsa Yahudi sehingga dilakukan oleh jemaah Kristian dan sehingga kini.

Jadilah teladan dalam hal membangkitkan semangat pertumbuhan rohani sesama kita. Jika kita tidak mampu melakukannya secara kata-kata dan tindakan peribadi kepada mereka, berdoalah untuk mereka di hadapan Tuhan. Jika ada kelompok Kristian yang sudah ketagihan dengan sikap menghakimi, maka doakanlah mereka untuk menjadi rendah hati dan mengasihi sesuai dengan etika didikan firman Tuhan. Jangan biarkan diri kita terjerumus dengan kumpulan manusia yang suka mendabik dada sambil berkata ajaran mereka sahaja yang betul. Jika boleh, jauhkanlah diri anda daripada orang-orang (Kristian) seperti itu. Belajarlah daripada padi; semakin berisi semakin tunduk. Jangan belajar daripada lembu; semakin berisi semakin menanduk! Haleluyah!

“Hendaklah kamu saling menolong memikul beban. Dengan cara demikian, kamu akan mentaati perintah Kristus.” Rasul Paulus

Amin.

– HT Ram Jonathan®