“Saya berbohong untuk kebaikan. Nanti isteri saya mengamuk jika saya terus-terang dengan dia bahawa badannya tidak ramping seperti dulu.”
“Kalau saya menafikan kepercayaan saya kepada Yesus Kristus, saya dan keluarga saya tidak akan dianiayai. Allah pasti memahami situasi saya.”
“Saya tidak mahu mendedahkan di mana kawan Kristian saya berada kepada pihak penguatkuasa, jadi saya perlu berbohong supaya mereka tidak akan dianiaya.”
Pernahkah kamu mendengar alasan-alasan di atas? Bagaimana pula dengan seorang Kristian: adakah piawai moral dan kelakuannya selari dengan nilai-nilai duniawi yang dipaparkan di atas? Marilah kita bersama-sama menyelami apa yang Allah telah memberitahu kita di dalam Alkitab.
Allah dan Tuhan yang orang Kristian sembah tidak akan berkompromi dengan dosa kerana Dia Allah yang mulia dan suci. Sesiapa yang sanggup berbohong untuk menyelamatkan diri sendiri ataupun orang seagama daripada penganiayaan (mahupun mati syahid atau di dalam darurat) adalah bukti bahawa agama/ajaran tersebut tidak berasal dari Allah.
Yesus Kristus pernah mengajar orang ramai bahawa Perintah yang Terutama adalah “Kasihilan Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan seluruh akalmu, dan dengan segala kekuatanmu” serta “Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.” Ini kerana Yesus menekankan bahawa “Seluruh Taurat Musa (termasuk Sepuluh Perintah/Hukum Allah) dan ajaran nabi-nabi berasaskan kedua-dua perintah ini.” (Matius 22:37-40, Markus 12:30-31, Lukas 10:25-28)
Di dalam Sepuluh Perintah Allah, perintah yang kesembilan menyatakan, “Jangan memberi kesaksian palsu tentang orang lain” yakni jangan berbohong. Allah tidak membiarkan ruang untuk pengecualian di dalam kehidupan seorang Kristian untuk berbohong, tidak kira apa situasinya. Jadi secara langsung, bercakap benar juga tergolong dalam Perintah yang Terutama.
Malah, Yesus mengajar bahawa “sesiapa mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, Aku pun akan mengakui dia di hadirat Bapa-Ku di syurga. Tetapi sesiapa menyangkal Aku di hadapan umum, Aku pun akan menyangkal Dia di hadirat Bapa-Ku di syurga” (Matius 10:32-33).
Jelas sekali Yesus mahu pengikut-Nya jujur pada setiap detik tanpa sebarang pengecualian. Walaupun berdepan dengan maut, orang Kristian yang benar tidak akan menafikan iman mereka tetapi disebaliknya, akan mengakui Yesus sebagai Tuhan dan Allah mereka. Yesus juga pernah mengajar, “Janganlah takut akan mereka yang membunuh badan, tetapi tidak berkuasa membinasakan roh. Tetapi takutlah akan Allah yang berkuasa membinasakan baik badan mahupun roh di dalam neraka” (Matius 10:28).
Jadi, tidak kira apa situasi pun yang kamu hadapi sekarang termasuk nyawamu terancam kerana kepercayaanmu kepada Yesus, orang Kristian tidak boleh berbohong. Apabila kamu berdepan dengan situasi yang rumit, berdoalah kepada Tuhan dan Dia akan memberi kamu hikmat supaya kamu tahu apa yang harus dikatakan. Inilah salah satu janji daripada Allah, di mana sesiapa yang “…kurang bijaksana…” boleh berdoa kepada Allah untuk kebijaksanaan, “…dan Allah akan memberikan dengan murah hati dan dengan sukacita kepada setiap orang” (Yakobus 1:5).
Yesus berkata bahawa Syaitan/Iblis itu tidak ada kebenaran dan sentiasa berdusta. Kalau saudara pernah mendengar tokoh atau guru agama saudara mengajar nilai-nilai yang bertentangan dengan apa yang Yesus berkata, termasuk berbohong dalam apa bentukpun, itu adalah ajaran yang berpunca daripada Syaitan.
Jangan bimbang, Yesus sedia mengampuni dosa saudara tanpa mengambil kira dosa saudara berlambak tinggi atau tidak. Dia telah berjanji bahawa sesiapa yang percaya kepada-Nya akan memperoleh hidup yang kekal, dan Dia juga berjanji bahawa sesiapa yang bersatu dengan-Nya akan menjadi manusia baru, di mana “…yang lama sudah lenyap dan yang baru bermula” (2 Korintus 5:17).