Kesaksian – Donna

939
Sekolah saya merupakan sebuah sekolah rendah yang terletak di Daerah Kecil Debak. Terdapat seramai 120 lebih orang murid dari Tahun 1 hingga Tahun 6. Pada 2016 saya ditugaskan ke sini, Tuhan buka jalan untuk saya mulakan pelayanan ISCF. Berkat kasih Tuhan juga, pada awal tahun 2017, saya telah menerima Alkitab Kanak-Kanak yang mencukupi untuk anak-anak murid saya (dari Pra-Sekolah ke Tahun 6). Sewaktu aktiviti CF mingguan, saya akan merujuk kepada Alkitab Kanak-Kanak tersebut. Murid-murid berpeluang untuk membaca sendiri kisah-kisah nabi dan Injil di dalam Firman Tuhan. Pelbagai kisah menarik yang berlaku.
Antaranya, sehari selepas Alkitab Kanak-Kanak diedarkan, saya menerima laporan bahawa murid di sebuah kelas telah bergaduh. Saya terus bergegas ke kelas tersebut. Di sana, suasana amat tegang. Kehadiran saya sekaligus menyebabkan kelas menjadi sunyi sepi. Hati manusia saya sudah pasti ingin terus memarah budak yang terlibat, tetapi pada waktu tersebut entah mengapa, hati saya sungguh tenang dan damai. Di dalam hati saya sewaktu perjalanan ke kelas itu juga, saya diingatkan untuk bertindak bukan mengikut perasaan tetapi mengikut pimpinan Roh Kudus. Seterusnya, saya memohon murid-murid di situ untuk menjelaskan apa yang berlaku. Disingkatkan cerita, murid yang bergaduh terus mengaku.
Saya kemudiaan bertanya apa hadiah yang mereka terima pada hari sebelumnya dan mengapa mereka melupakan ajaran Tuhan dengan begitu cepat. Saya berkata, “Mari kita berdoa dan memohon ampun daripada Tuhan kerana tidak mentaati Firman-Nya untuk saling mengasihi dan juga kita mohon maaf sesama sendiri kerana kita keras hati dan akhirnya menyakiti kedua-dua pihak.” Saya menyuruh mereka berdoa sambil berpegangan tangan. Pada akhir doa tersebut, tiba-tiba seorang murid mengalir air mata. Dia tersentuh dengan kasih Tuhan sewaktu kami berdoa.
Pengalaman lain pula, ada satu hari saya tengah mengajar tentang unit pengukuran (jengkal, hasta, depa dan sebagainya). Apabila tiba masanya untuk penerangan dan demonstrasi bagi maksud depa, saya sungguh terkejut apabila mendengar murid berkata “tangan seperti Tuhan Yesus di kayu salib.” Ternyata, dengan adanya Alkitab Kanak Kanak, murid-murid dapat berinteraksi secara peribadi dengan Firman Tuhan serta sekaligus mengenali siapa Tuhan mereka.