Kalau kamu seorang Kristian, bolehkah kamu murtad? Dan kalau kamu murtad, apakah hukuman yang disyorkan oleh Alkitab mengikut konteks? Jawapannya: Tiada hukuman.
Yesus bukan Allah yang memaksa kamu dan saya untuk mengikuti-Nya. Ini kerana Dia pernah berkata, “Dengarlah! Aku berdiri di depan pintu dan mengetuk. Jika seseorang mendengar suara-Ku dan membuka pintu, Aku akan masuk ke dalam rumahnya lalu makan bersama-sama dia dan dia makan bersama-sama Aku.” (Wahyu 3:20)
Kalau seorang Kristian berdoa dalam pelbagai cara, dan dia terbatuk ataupun terkentut, adakan doanya dibatalkan? Tidak! Allah masih tahu dan dengar doa orang tersebut.
Jikalau seorang Kristian bertekad untuk berpuasa selama seminggu, dan di setengah perjalanan rohani dia tidak mampu lagi dan membatalkan puasanya, adakah paderi ataupun pastor akan menangkap dan mendenda dia, mahupun memenjarakan dia? Tidak! Ini kerana hal berpuasa adalah hal peribadi di antara individu dan Allah.
Kewujudan Hukum Taurat menunjukkan bahawa manusia fana memerlukan seorang Juruselamat kerana dia tidak mampu mengikuti semua hukum-hukum yang disyaratkan oleh Allah. Ini sebabnya Allah mengutus Anak Tunggal-Nya, Yesus Kristus, sebagai korban yang tidak bercela untuk menebus dosa manusia sejagat. Kebangkitan Tuhan Yesus dari maut menunjukkan kuasa-Nya, dan barangsiapa yang percaya kepada-Nya tidak perlu lagi takut akan kematian kerana kita akan bersama-sama Dia di syurga selepas menghembuskan nafas yang terakhir di bumi ini.
Inilah sebabnya orang Kristian tidak perlu berlaku baik untuk mendapat pahala di akhirat. Orang Kristian berlaku baik kerana ia berasal daripada kasih sayang Yesus Kristus yang berada di dalam kita. Oleh itu, Galatia 5:22-23 menyatakan “…orang dipimpin oleh Roh Allah…” akan “…saling mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, setia, rendah hati, dan dapat mengawal diri. Tiada ada hukum yang melarang perkara-perkara seperti itu.”
Yesus tidak mengajar orang Kristian untuk membunuh orang yang murtad. Dia tidak menjatuhkan hukuman mati ke atas perempuan yang berzina walaupun disyorkan begitu di dalam Perjanjian Lama. Sebaliknya, Yesus mengajar kita supaya “…kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu” (Matius 4:44).
Oleh itu, kasih adalah rukun hidup tertinggi bagi seorang Kristian. Apabila kamu dan saya menyayangi orang lain (termasuk musuh!) serta Allah dengan sepenuh hati, segenap jiwa dan seluruh akal, tiada masa untuk menjadi polis agama dan mentadbir melalui ketakutan.