Apa Itu Pentakosta?

9431

Kalau kamu merujuk kepada Perjanjian Lama, Pentakosta merupakan salah satu perayaan yang dirai orang Yahudi. Pentakosta adalah gelaran Yunani, di mana orang Yahudi memanggilnya Perayaan Menuai (Keluaran 23, Keluaran 24, Imamat 16, Bilangan 28, dan Ulangan 16). Dirai pada permulaan musim menuai, terdapat dua waktu penuaian di Palestin pada setiap tahun: penuaian awal bermula pada bulan Mei atau Jun, dan penuaian akhir bermula pada musim luruh. Perayaan Pentekosta menandakan permulaan musim penuaian gandum, jadi ia biasanya jatuh pada bulan Mei ataupun pada awal bulan Jun.

Sebelum Pentekosta, terdapat beberapa perayaan besar lain seperti Perayaan Paska dan Perayaan Roti Tidak Beragi. Untuk tahun 2019, Pentakosta akan dirayakan pada Jun 9, 2019, di mana ia jatuh pada hari Ahad yang ketujuh selepas Hari Paska (April 21, 2019).

Mengapa Pentakosta sangat penting kepada orang Kristian?
Orang Kristian meraikan Pentakosta untuk memperingati waktu kedatangan Roh Kudus kepada mereka yang percaya di dalam Kisah Rasul-Rasul 2. Selepas Yesus bangkit dari maut, menampakkan Diri kepada ramai saksi, dan diangkat ke syurga, ramai antara pengikut Yesus berkumpul untuk Perayaan Menuai (Pentakosta). Kisah Rasul-Rasul 2:2 menyatakan, “Tiba-tiba terdengar bunyi dari langit seperti tiupan angin yang kuat. Bunyi itu memenuhi rumah tempat mereka sedang duduk” serta “Mereka dikuasai oleh Roh Allah. Mereka mula berkata-kata dalam pelbagai bahasa lain, menurut apa yang diberikan oleh Roh Allah kepada mereka” (Kisah Rasul-Rasul 2:4).

Kejadian yang luarbiasa ini menarik perhatian orang ramai, dan Petrus menyeru kepada mereka di situ supaya bertaubat daripada dosa, dan percaya kepada Yesus Kristus. Pada akhir hari tersebut, jumlah orang yang percaya kepada Yesus Kristus sebagai Juruselamat mereka bertambah sebanyak 3,000 orang. Kedatangan Roh Kudus/Roh Allah adalah sebab mengapa orang Kristian meraikan Pentakosta.

Roh Allah dinubuat di dalam Perjanjian Lama serta dijanjikan oleh Yesus
Yesus telah berjanji dengan murid-murid-Nya di dalam Yohanes 14:16 bahawa “…Roh Allah, Penolong yang akan diutus oleh Bapa demi nama-Ku, akan mengajar kamu segala-galanya dan akan mengingatkan kamu segala yang telah Aku (Yesus) katakan kepada kamu.”

Curahan Roh Allah pada Pentakosta sangat penting kerana ia memenuhi nubuatan nabi yang terkanding dalam Yoel 2:28-29 dari Perjanjian Lama, “Kemudian Aku (Allah) akan mencurahkan Roh-Ku kepada semua orang: anak lelaki dan anak perempuan kamu akan mengisytiharkan perkhabaran-Ku; orang tua kamu akan bermimpi, dan orang muda kamu akan nampak penglihatan. Pada masa itu Aku akan mencurahkan roh-Ku bahkan kepada hamba-hamba, baik lelaki mahupun perempuan.”

Beberapa tanggapan pengajian sejarah tentang Pentakosta
Sepertimana konteks sesuatu ayat atau petikan dalam Alkitab sangat penting untuk memahami maksud sebenarnya, perayaan Pentakosta juga mengandungi tanggapan pengajian sejarah yang tersendiri. Di sini adalah 3 hal penting yang seseorang perlu tahu mengenai Pentakosta untuk memahami petikan dalam Kisah Rasul-Rasul 2 dengan betul.

1. Pentakosta adalah perayaan penziarah
Mengikut hukum Taurat semua lelaki dewasa Yahudi wajib menziarahi Yerusalem untuk Perayaan Menuai.

2. Pentakosta merupakan hari cuti
Tiada seorang pun yang harus bekerja pada hari tersebut. Ini termasuk sekolah dan kedai-kedai, kerana Perayaan Menuai adalah untuk mengingati kebaikan Allah serta berkat-Nya di dalam hidup masing-masing.

3. Beberapa jenis perayaan dan korban yang terkandung dalam Taurat untuk Perayaan Menuai
Pada hari tersebut, Imam Besar akan mengambil dua keping roti gandum yang baru dibakar dan mempersembahkannya kepada Tuhan. Roti gandum tersebut perlu dibuat daripada gandum yang baru dituai.

Secara ringkas, Pentakosta pada zaman rasul-rasul adalah satu perayaan menuai yang besar dan agung. Kota Yerusalem penuh sesak dengan ribuan penziarah yang datang untuk bersyukur dan berterima kasih kepada Allah atas berkat-Nya di dalam kehidupan mereka.