Jawapan yang singkat? Mormon itu BUKAN Kristian. Sila bacakan pencerahan yang berikut untuk gambaran sebenar tentang agama Mormon.

Contoh pemakaian orang Mormon apabila mereka berdakwah. Biasanya mereka berdua-duaan serta memakai baju putih dan seluar panjang yang berwarna hitam

Tidak dinafikan bahawa agama Kristian mempunyai pelbagai mazhab, tetapi asas kepercayaan Kristian yang benar semuanya sama: iaitu kepercayaan di dalam keesaan Allah Tritunggal (Allah Bapa, Anak Allah (Yesus Kristus) dan Roh Kudus), kematian Tuhan Yesus di atas salib dan kebangkitan semula tiga hari kemudian, keilahian Yesus sebagai Anak Allah yang tunggal, Allah mengilhamkan manusia untuk menulis Firman-Nya dalam bentuk Alkitab, kewibawaan Alkitab di dalam kehidupan seorang Kristian dan sebagainya. 

Namun demikian, terdapat golongan-golongan yang menunggang agama Kristian serta melakukan penyelewengan dengan ajaran yang baru. Ini adalah salah satu amaran yang diberi oleh Allah di dalam Alkitab tentang tanda-tanda Akhir Zaman, dan ia sudah berlaku. Selain daripada Saksi Yehovah serta World Mission Society Church of God yang tidak dianggap sebagai Kristian, satu lagi kumpulan yang terpesong daripada akidah Kristian yang sebenar digelar sebagai Mormon. 

 

Fakta-Fakta Asas Tentang Agama Mormon

  • Joseph Smith, pengasas agama Mormon mendakwa menerima wahyu daripada Allah menerusi malaikat “Moroni”
  • Joseph Smith diberitahu oleh malaikat bahawa semua agama pada waktu itu sudah terpesong daripada agama yang benar, iaitu agama Mormon
  • Joseph Smith ‘ditugaskan’ untuk memulihkan agama sebenar, dan mendakwa bahawa gereja pada abad pertama sebenarnya menganuti agama Mormon
  • Joseph Smith mendakwa Kitab Mormon yang diturunkan kepadanya adalah Firman Allah
  • Joseph Smith mendakwa bahawa dia tidak berpendidikan tinggi dan menggunakan kelemahan tersebut sebagai “bukti” bahawa kitabnya adalah satu mukjizat dengan soalannya, “Bagaimanakah seorang yang buta huruf mampu mengeluarkan Kitab Mormon?”
  • Joseph Smith mendakwa bahawa Alkitab yang sebenar telah hilang, ditukar kandungannya serta tidak boleh diharap
  • Joseph Smith mendakwa bahawa Kitab Mormon adalah buku yang paling sempurna dan betul di dunia
  • Joseph Smith mendakwa bahawa kandungan Kitab Mormon berdasarkan salinan kitab asal yang masih berada di syurga dengan Allah
  • Joseph Smith mendakwa bahawa Kitab Mormon tidak pernah berubah ataupun ditukar kandungannya dari dahulu sehingga sekarang
  • Joseph Smith mendakwa dirinya sebagai nabi terakhir yang diutus oleh Allah
  • Joseph Smith mendakwa bahawa dia dianiayai kerana mengikuti agama yang benar
  • Joseph Smith mengamalkan poligami dan mempunyai banyak isteri
  • Joseph Smith menyerap anasir-anasir pagan atau politeisme serta memakai doktrin “pyramidoloji”, Mason dan sistem kuasa ajaib yang berlainan
  • Joseph Smith mendakwa bahawa dirinya ditegur oleh Allah untuk memperbetulkan wahyu yang diturunkan kepadanya sebelum ini
  • Setelah Joseph Smith mati, pengikut-pengikutnya berbalah sesama sendiri untuk mengambil alih tempat sebagai pemimpin Mormon. Hasil daripada itu, terdapat mazhab-mazhab Mormon pada hari ini yang mendakwa bahawa mereka adalah pengikut Mormon yang sebenar sambil melabelkan golongan yang tidak bersefahaman dengan mereka sebagai murtad
  • Agama Mormon mendakwa bahawa semua orang dilahirkan sebagai Mormon. Jadi, sesiapa yang bukan Mormon hari ini masih belum kembali ke agama asalnya
  • Pengikut Mormon yang ikhlas dan benar mengikut doktrin asal Mormon yang diajar oleh Joseph Smith, dan mereka menunjukkan ciri-ciri keganasan, berpoligami dan membenarkan perbuatan jahat mereka
  • Agama Mormon berpegang kepada prinsip pemansuhan, di mana penurunan wahyu yang terbaru adalah wahyu yang berwibawa sekarang, jikalau berlainan ataupun bercanggah dengan wahyu yang datang sebelum itu
  • Menolak doktrin Kristian dalam hal dosa asal dan Allah Tritunggal
  • Mengajar Iblis dihalau keluar dari hadirat Allah dan menjadi Syaitan
  • Percaya bahawa perbuatan baik diperlukan untuk tujuan mengumpul pahala supaya seseorang boleh memperoleh penyelamatan
  • Meminum arak, berjudi, melakukan hubungan seks sejenis adalah haram
  • Percaya bahawa perkahwinan dengan pasangan di dunia ini boleh diteruskan di syurga jika seseorang tidak rosak akidahnya
  • Percaya bahawa terdapat hukuman dan ganjaran yang berlainan tahap berdasarkan berapa banyak pahala ataupun dosa yang dikumpul

 

Mormon itu BUKAN Kristian!

Jadi, lain kali kalau kalian membaca, mendengar ataupun berbincang tentang “kebiadapan” Kristian di Malaysia yang melanggar undang-undang negara dengan penyebaran ajaran Kristian secara terbuka, kongsikan artikel ini sebagai pencerahan untuk golongan yang terkeliru dengan siapa itu Kristian yang benar. Sampai sekarang, boleh dikatakan hampir semua mereka yang dituduh sebagai menyebar agama “Kristian” secara terbuka adalah Saksi Yehovah dan Mormon. 

Sama seperti ISIS, Boko Haram Abu Sayyaf, al-Qaeda dan banyak lagi yang mendakwa bahawa mereka adalah umat Islam yang sebenar dan Muslim yang betul-betul mengikut ajaran agama Islam, namun demikian kebanyakan orang Islam tidak setuju dan menghukum golongan-golongan tersebut sebagai sesat dan bukan Islam, boleh disamaratakan dengan dakwaan daripada agama Mormon sendiri bahawa ia adalah Kristian. Hakikatnya, doktrin agama Mormon jauh berbeza dan menyeleweng daripada apa yang orang Kristian yang benar percaya dan ikuti.

Terdapat golongan yang cuba menyerang agama Kristian dengan membangkitkan soalan yang sama seperti Joseph Smith: kalau agama Kristian adalah agama yang betul dan benar, mengapa terdapat banyak jenis denominasi? Pihak yang menujukan soalan tersebut perlu terdahulu tepuk dada, tanya selera: adakah agama yang anda anuti sekarang begitu kukuh sehingga tiada mazhab? Sehingga hari ini, tiada seorang daripada agama lain yang berani menampil dan mempertahankan pendirian tersebut, kerana hakikatnya adalah, tiada agama yang tidak pernah mengalami perpecahan dari segi ideologi, doktrin, tradisi, warisan, dan pelbagai sebab sehingga hari ini. 

Kita sebagai orang Kristian perlu ingati kata-kata emas Tuhan Yesus, “Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri. Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu murid-Ku” (Yohanes 13:34-35).

Anda tidak akan baca tentang kesemua 11 murid-murid Yesus berbalah antara satu sama lain untuk mengambil alih tempat Yesus setelah Dia diangkat ke syurga selepas bangkit dari maut. Mereka tidak membunuh sesama sendiri, malah rela dibunuh untuk memenuhi Imamat Agung, iaitu memberitakan Injil ke seluruh dunia, membaptis mereka dalam nama Bapa, Anak dan Roh Kudus, serta mengajar mereka segala sesuatu yang telah diperintah oleh Tuhan Yesus.

Inilah perbezaan antara agama Kristian dengan agama-agama lain di dunia. Sesiapa yang menggelar mereka sebagai Kristian tetapi tidak menunjukkan ciri-ciri Kristian, bercanggah dengan pengajaran Yesus. Yesus mengetuai sekumpulan ‘askar’ yang hanya patuh kepada satu perintah: kasih sayang. 

Kejahilan boleh diubati dengan pendidikan dan itupun kalau hati pihak yang jahil mengambil langkah menimba ilmu secara tulus dan ikhlas. Amsal 26:12 menyatakan, “Adakah engkau memperhatikan orang yang menganggap dirinya arif? Orang yang bodoh ada lebih banyak harapan daripada dia.

Semoga kalian diberkati Tuhan Yesus selalu.