Dia melindungi hidup umat-Nya yang setia, Tetapi orang jahat binasa dalam gelap gelita. Dengan kekuatan sendiri, manusia tidak dapat berjaya.
– 1 Samuel 2:9

Ayat ini merupakan sebahagian daripada nyanyian mazmur Hana yang bertujuan untuk menyatakan kesyukurannya dan penghargaannya kepada TUHAN yang mengerjakan segala sesuatu secara adil dan penuh setia terhadap manusia, terutama kepada bangsa Israel dan musuh-musuh bangsa Israel. Mazur sukacita Hana kepada TUHAN kerana dia sentiasa dilindungi oleh TUHAN ketika musuh menyerang dia dan bangsa Israel (ayat 1-3). TUHAN juga memberikan kekuatan kepada bangsa tertindas (ayat 4-5a) dan Tuhan memberkati orang yang kekurangan dengan memberikan kelimpahan, membebaskan dari kesengsaraan hidup (ayat 5b-8). Semua ungkapan sukacita dan syukur Hana dapat dia ungkapkan kerana dia menyedari bahawa sesungguhnya bumi dan segala isi bumi berada di bawah kuasa TUHAN. Sehingga akhirnya pada ayat 9, Hana menyatakan kunci hidup orang percaya kepada TUHAN adalah apabila umat-Nya setia, TUHAN akan melindungi mereka. Tetapi, jika orang menjadi jahat, maka hidup mereka akan binasa dan sentiasa dalam kegelapan. Manusia yang memusuhi TUHAN akan binasa dan tiada satu pun yang dapat membantu mereka, sebaliknya segala penjuru musuh akan membawa kepada kebinasaan (ayat 10). Demikianlah Hana memahami pekerjaan hebat yang TUHAN lakukan kepada umat-Nya yang setia, tetapi adil kepada musuh-Nya iaitu hukuman yang dahsyat menimpa!

Hana sedar bahawa tindakan adil dan setia daripada TUHAN bukan semata-mata kerana kesetian manusia kepada-Nya, tetapi ia adalah kerana sikap TUHAN itu kudus dan adil; sehingga setiap manusia yang setia dan berusaha hidup kudus akan menerima berkat daripada-Nya. Jika bukan kerana sikap kudus dan adil TUHAN, maka semua manusia baik yang fasik dan baik akan menerima perlindungan daripada-Nya. Tetapi kerana TUHAN adil, maka mereka yang setia kepada-Nya mendapat tempat pertama untuk diberkati. Sementara musuh-musuh yang fasik akan diberikan hukuman. Maka, kita tahu sekarang bahawa TUHAN tidak layak dimusuhi oleh manusia! Manusia patut sedar bahawa memusuhi TUHAN bermakna mereka sengaja menentang dan menerima hukuman daripada TUHAN. Ketika bangsa lain menganggap bahawa bangsa Israel adalah ‘mandul’, tidak lagi memberikan kesaksian bahkan tidak berbuah bagi menjadi berkat bangsa lain, sejarah membuktikan bahawa Israel dipulihkan dan menjadi berkat serta berbuah lebat bagi seluruh bangsa di dunia ini. TUHAN menterbalikkan keadaan ‘mandul’ Israel kepada ‘berbuah lebat’ melalui penggenapan dalam silsilah keturunan Raja Daud, bangsa yang berserak diseluruh dunia dan kedatangan Mesias yang membawa keadilan dan keselamatan kepada seluruh bangsa di dunia ini.

Demikian hebat dan luarbiasa karya TUHAN dalam kehidupan Hana dan seluruh bangsa Israel pada kisah ini, mengalir terus kepada generasi ke generasi Israel sehingga masa kini. Bahkan, melalui kelahiran Mesias dari bangsa Israel, seluruh manusia termasuk anda dan saya menikmati kurnia keselamatan. Kita menikmati kedamaian meskipun kita berada di tengah-tengah cabaran hidup termasuk cabaran semasa yang seluruh dunia hadapi iaitu Kovid-19 (Covid-19). Marilah kita belajar dari sikap Hana. Kunci sukacita daripada Hana adalah kerana dia memiliki pengenalan yang benar tentang TUHAN yang dia sembah dan dia memiliki kerendahan hati dalam segala situasi. Jika kita membaca 1 Samuel 1, maka kita akan memahami kerendahan hati Hana di hadapan TUHAN ketika dia dihina dan direndah-rendahkan oleh Penina hanya kerana dia tidak memberikan zuriat kepada Elkana. TUHAN mendengar kesedihan Hana dan memberkati Hana dengan luar biasa iaitu melahirkan Samuel (1 Samuel 1:20).

Bagaimanakah hidup anda ketika ini? Adakah anda sedang menghadapi situasi yang sukar? Semua kita sedang menghadapi situasi sukar dalam fasa hidup kita. Tetapi, adakah kita perlu memberontak kepada TUHAN atau menentang keadilan demi menuntut hak kita? Jika kita meyakini bahawa kita setia dan hidup kudus di hadapan TUHAN, kita sepatutnya meresponi cabaran hidup kita ketika ini dengan penuh kerendahan hati. Mengapa saya mengajak anda bersikap sedemikian? Jawapan mudah adalah kerana TUHAN itu setia dan adil kepada umat-Nya yang setia dan kudus. TUHAN akan memberikan perlindungan dan memberikan berkat pelepasan kepada kita! Jika TUHAN memberkati Hana dengan Samuel yang menjadi nabi bangsa Israel, adalah mustahil bagi TUHAN untuk memberkati kita dalam tempoh sukar kita? Kuncinya adalah setia dan berusaha hidup kudus di hadapan TUHAN. DIA akan memberikan perlindungan-Nya kepada kita. Haleluyah!

TUHAN yang setia,
Bimbing tiap langkah hidupku menjadi teguh.
Ajar tiap kata yang menjadikan aku tunduk pada-Mu.
Agar aku menjadi lebih dekat erat dalam dakap-Mu.

TUHAN yang adil,
Lepaskan aku dari setiap belenggu.
Lingkupi aku dengan kuasa-Mu.
Agar aku lebih kuat menjadi saksi-Mu.
Amin.

– HT Ram Jonathan®