Akhirnya, saudara-saudaraku, bersukacitalah! Berusahalah untuk menjadi sempurna; terimalah nasihatku. Hendaklah kamu sehati dan hidup rukun. Allah mengasihi kita dan mengurniai kita kedamaian akan menyertai kamu. Bersalamlah dengan mesra sebagai saudara-saudara seiman. Tuhan Yesus Kristus memberkati kamu, Allah mengasihi kamu, dan Roh Allah menyertai kamu semua.
– 2 Korintus 13:11-13

Nasihat penutup Paulus kepada jemaah di Koruntus mengandungi makna rohani yang sungguh indah untuk dibacakan, bahkan lebih indah lagi apabila ianya dipraktikkan. Paulus mengajak jemaah yang sudah menjadi Kristian untuk memiliki beberapa karakter rohani iaitu bersukacita saling mengasihi, dan sehati dan hidup rukun. Ternyata bahawa karakter-karakter ini merupakan tuntutan yang diberikan kepada orang Kristian sejak zaman Kristian abad ketiga lagi dan bukan hanya bermula di beberapa abad kebelakangan ini. Ketiga-tiga karakter ini saling berkaitan antara satu dengan yang lain ibarat tiga mata rantai yang tidak terputus. Paulus menekankan bahawa kesatuan sebagai saudara seiman adalah sangat penting dalam ayat 11. Lalu pada ayat 12, dalam versi Terjemahan Baru Indonesia, dituliskan ”Berilah salah seorang kepada yang lain dengan cium yang kudus” yang membawa perintah menyatakan kasih, pengampunan dan kesatuan kepada seluruh jemaah Kristian di Korintus. Kemudian Paulus mengakhiri suratnya dengan ucapan berkat yang dirujuk sebagai kesatuan Tritunggal iaitu Bapa-Anak-Roh Kudus. Melalui kuasa kesatuan Tritunggal Allah, mengalirlah berkat kepada jemaah Kristian iaitu berkat anugerah, kasih dan persekutuan; berkat anugerah keselamatan melalui Yesus Kristus, orang beriman akan mengalami kasih Allah yang besar dan memiliki persekutuan indah di dalam kuasa Roh Kudus.

Jemaah Kristian di Korintus pada masa itu menantikan kedatangan Paulus buat kali ketiga dan mereka mengharapkan Paulus datang dengan lebih mesra tetapi jika dirujuk dalam penulisan surat ini, kita mendapati bahawa Paulus memiliki sikap lebih tegas dan lebih tajam dalam kata-katanya untuk menegur para jemaah yang masih suam-suam kuku dalam iman mereka (2 Korintus 13:1-10). Paulus memberikan amaran keras kepada mereka bahawa dia akan bersikap keras terhadap mereka jika mereka masih suam-suam kuku dalam iman mereka (ayat 10 dituliskan tindakan untuk meruntuhkan’). Jemaah di Korintus yang masih belum matang kerohanian tidak lagi dipandang ringan oleh Paulus melainkan dia akan memberikan ketegasan dalam tindakan mengajar mereka jika dia dapati mereka masih belum matang rohani semasa kedatangannya yang ketiga kelak. Demikian tegas Paulus mengingatkan mereka untuk mematangkan kerohanian mereka secepat mungkin kerana telah banyak peluang yang mereka terima daripada Allah untuk memperbaiki diri mereka dari segi iman dan kerohanian sebelum itu. Itulah sebabnya selain daripada ajakan untuk hidup bersukacita, sehati dan rukun, dan saling mengasihi, Paulus juga menggesa mereka untuk berusaha hidup kudus!

Kita tidak menantikan kedatangan Paulus kali kedua di dunia, bahkan kita tidak pernah dijanjikan bahawa para rasul akan datang kedua kalinya ke dunia ini. Tetapi, satu janji yang pasti akan digenapi adalah Yesus Kristus akan datang kedua kalinya ke dunia ini! Kita menantikan kedatangan Yesus Kristus dan sementara menantikan kedatangan-Nya, marilah kita berusaha memiliki kehidupan yang kudus. Marilah kita terus menerus menguji diri kita untuk memiliki hasil terbaik dalam kematangan rohani dan iman kita. Ramai penyesat termasuk para hamba Tuhan mendakwa bahawa Yesus Kristus akan datang pada tarikh tertentu tetapi tidak ada satu pun yang benar, bahkan jika ada lagi hamba Tuhan yang mendakwa tahu tarikh kedatangan Yesus Kristus, jauhilah penyesat itu! Yesus Kristus tidak pernah lambat datang kedua kalinya, tetapi yang jelas adalah Dia memberikan peluang demi peluang kepada kita untuk memperbaiki hidup kita, meningkatkan kualiti iman dan kerohanian kita. Semua itu tidak dapat kita lakukan tanpa pekerjaan kuasa Tritunggal Allah. Kita harus mengakui dan beriman kepada Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat peribadi kita, maka kita akan menikmati kasih sejati daripada Bapa dan melalui persekutuan intim dengan Roh Kudus, kita akan diberikan kekuatan dan hikmat setiap masa.

Memiliki sikap bersukacita dalam segala keadaan akan membuat kita kekal percaya bahawa Tuhan itu sentiasa memberikan yang terbaik dalam kehidupan kita. Memiliki kesatuan dalam keluarga Allah akan memberikan kita kekuatan bahawa keluarga Allah tidak akan membiarkan kita sendirian dalam segala keadaan terutama ketika kita mengalami kerumitan hidup. Mempraktikkan kasih yang indah sesama manusia menjadikan kita garam dan terang dunia. Kerana itu, kita harus memperjuangkan iman kita sebagai orang Kristian. Jangan mengalah kepada keadaan hidup. Ketika dunia digemparkan dengan pelbagai kerumitan manusiawi, isu rasis adalah antara yang menyatukan seluruh umat manusia di dunia ini. Tetapi, kesatuan yang kukuh dalam Kristus lebih memiliki kuasa dalam usaha kita membenteras isu rasis ini, kerana di dalam Kristus kita semua adalah saudara dan setara! Tiada nilai warna kulit, tiada status tinggi rendah dari sudut ekonomi dan sosial, bahkan tiada yang lebih berharga dan kurang berharga kerana semua kita sangat berharga di dalam Kristus Yesus. Oleh itu, mari kita terus mempraktikkan karakter-karakter yang Paulus telah ajarkan kepada jemaah di Korintus ini. Sementara kita menantikan kedatangan Yesus Kristus yang kedua kali, ujilah diri kita sama ada kita sudah hidup kudus dan hidup berkenaan di dalam-Nya. Apakah darah-Nya yang tercurah untuk kita sudah kita hargai dan terus menerus hargai dengan hidup kita yang telah ditebus ini? Apakah kualiti hidup kita saat ini menunjukkan kita menghargai darah Yesus Kristus yang telah tercurah untuk kita? JANGAN KITA BODOH OLEH KERANA KETIDAKTAHUAN KITA. JADILAH BIJAKSANA SEPERTI ULAR TETAPI KUDUS UMPAMA MERPATI PUTIH. Haleluyah!

Yesus Kristus yang mulia,
Anugerah keselamatan-Mu menghidupkan aku.
Menjadikan aku ciptaan baru di dalam Mu.
Bapa yang Kekal,
Kasih-Mu tiada taranya di dalam hidupku.
Ajarkanlah aku semakin menjadi seperti-Mu.
Roh Kudus yang bersertaku,
Naungi aku setiap waktu,
Agar aku tidak lalai bersekutu dengan Mu.
Amin!

– HT Ram Jonathan®