Dengarlah nyanyianku,
tentang sahabatku dan ladang anggurnya:
Sahabatku mempunyai sebidang ladang anggur di bukit yang sangat subur.
Israel ialah ladang anggur TUHAN Yang Maha Kuasa;
orang Yehuda ialah pokok anggur yang ditanam-Nya.
Dia mengharapkan mereka melakukan yang baik,
tetapi mereka melakukan pembunuhan.
Dia mengharapkan mereka melakukan perkara yang benar,
tetapi yang kedengaran adalah suara mangsa mereka meminta keadilan.
– Yesaya 5: 1, 7

Ini merupakan sebuah puisi yang mengungkapkan isi hati TUHAN bahawa Israel adalah bangsa pilihan-Nya, tetapi malangnya bangsa ini sentiasa mengkhianati TUHAN sehingga akhirnya mereka sentiasa mendapat kesusahan dan kesengsaraan akibat kesalahan mereka sendiri. Puisi ini kemungkinan besar dihasilkan oleh nabi Yesaya pada masa awal pelayanannya dengan konteks terdekat yang dia telah gunakan iaitu ladang anggur. Jelas dalam puisi ini bahawa Yesaya menggambarkan bangsa Israel sebagai kebun anggur tetapi akhirnya ditolak oleh TUHAN. Ungkapan perumpamaan ini juga digunakan dalam penulisan kitab yang lainnya seperti Hosea, Yeremia (2:21; 5:10; 6:9; 12:10, nabi Yehezkiel, Mazmur (80:9-19), Matius (21:18-19) Yohanes (15:1-2). TUHAN telah memilih bangsa Israel secara khusus seperti ladang anggur yang terbaik; tanah yang dibersihkan, memilih benih anggur terbaik dan menuai anggur untuk dijadikan wain (ayat 2). Tetapi malangnya, air anggur itu masam atau dalam standard kualiti penghasilan wain, ia adalah wain yang tidak berkualiti tinggi. Demikian juga bangsa Israel yang telah dipimpin keluar oleh TUHAN keluar dari Mesir, diberikan perlindungan dan berkat yang berlimpah. Tetapi, mereka tetap sombong dan menentang TUHAN dan para nabi-Nya. Sehingga akhirnya, TUHAN menghukum mereka dengan melucutkan hak istimewa mereka; ibarat ladang anggur yang dicabut pagar sekelilingnya dan membiarkan binatang liar merosakkan ladang dan pokok anggur (ayat 5). TUHAN juga membiarkan ladang anggur itu terbantut pertumbuhan dan susah payah akan bertumbuh sendiri tanpa jagaan dari pemiliknya (ayat 6). TUHAN telah menghukum bangsa Israel dan melepaskan hak istimewa mereka sebagai bangsa pilihan kepada menjadi bangsa yang akan sentiasa hidup ditekan oleh kuasa kerajaan-kerajaan di sekitar mereka. Demikianlah TUHAN yang Pengasih tetapi telah mendatangkan kesukaran kepada bangsa Israel.

Jika kita menelusuri kisah bangsa Israel bersama TUHAN dalam perjalanan hidup mereka, kita akan mendapati bahawa TUHAN tidak pernah memusnahkan mereka sehingga hilang dari bumi ini. Bahkan, setiap masa bangsa ini berteriak meminta pertolongan daripada TUHAN selepas mereka kalah di tangan musuh, TUHAN tetap campur tangan dan melindungi mereka. Tetapi, sikap mereka hanya patuh seketika kepada TUHAN dan akhirnya kembali kepada sikap sombong lama mereka. Semuanya terjadi kerana mereka merasakan mereka sudah mampu berdikari dan menjalani hidup sendiri tanpa pertolongan daripada TUHAN. Begitu banyak kisah dalam sejarah bangsa Israel menunjukkan bahawa mereka mungkin bijaksana tetapi mereka menjadi sama seperti bangsa kafir lain ketika mereka meninggalkan TUHAN. Roh mereka dan akal fikiran mereka dicemari dengan keinginan untuk menjadi lebih tinggi dari bangsa lain, lebih berkuasa dari bangsa lain, lebih dihormati oleh bangsa lain dan mahu menjadi penguasa di dunia ini. Tetapi, kuasa mereka tidak pernah lebih dari sekecil kuman sahaja apabila dibandingkan dengan kuasa yang TUHAN miliki. Ladang anggur yang masih ada sehingga kini tetapi sekadar digeruni oleh bangsa-bangsa di dunia, tetapi tidak lagi menjadi satu-satunya bangsa pilihan TUHAN. Seluruh manusia di dunia ini telah menjadi sangat istimewa kepada TUHAN kerana TUHAN tahu semua manusia di dunia ini adalah anak-anak yang dikasihi-Nya.

Jika kita sudah terlalu jauh berjalan dengan kekuatan kita sendiri dan bersandar pada kekuatan kita sendiri, adalah lebih baik untuk kita menyelidiki hidup kita sama ada kita masih memuliakan TUHAN dengan perjalanan hidup kita atau hanya memuliakan diri sendiri. Jika kita sudah berjalan jauh dan terpesong dari jalur kasih TUHAN, jangan bertangguh untuk kembali kepada TUHAN dan kembali kepada kasih-Nya yang semula. Jika sehingga saat ini ketika engkau sedang berjalan dengan kekuatan sendiri dan masih berjaya tanpa sebarang musibah dan malapetaka, itu bukan kerana kekuatan atau kebijaksanaan mu sendiri, melainkan TUHAN memberikan kesempatan kepada mu untuk kembali di dalam dakapan-Nya. Selama TUHAN masih berkenaan untuk memberikan kita peluang kembali kepada-Nya, maka itu sahaja kesempatan yang kita miliki. Yesaya (55:6) dalam pesannya kepada bangsa Israel juga mengingatkan mereka untuk kembali kepada TUHAN selama TUHAN masih berikan kesempatan. “Kembalilah kepada TUHAN semasa masih dapat; berserulah kepada-Nya semasa Dia masih dekat.” Semoga kita memiliki kesedaran bahawa TUHAN ada di setiap ruang dan masa, TUHAN tidak terbatas oleh fikiran dan had emosi manusia. Kembalilah kepada TUHAN. Haleluyah!

“Biarlah orang jahat meninggalkan cara hidup mereka,
dan mengubah jalan fikiran mereka.
Biarlah mereka kembali kepada TUHAN, Allah kita,
kerana Dia berbelas kasihan dan sentiasa sedia mengampuni.” – Yesaya
Amin.

– HT Ram Jonathan®