“Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Allah apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Allah, hendaklah kamu selalu mengucap syukur.

Kesejahteraan daripada Allah yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus.”
– Filipi 4: 6,7

Ketika manusia memberikan hidupnya kepada Kristus Yesus, maka itulah waktunya manusia mengakui bahawa Kristus Yesus adalah Tuhan dan Penyelamat peribadinya. Kristus Yesus adalah kekuatan dan sumber sukacita yang akan memberikan damai sejahtera kepada orang percaya. Bukan kerana manusia itu sendiri berjaya mencapainya tetapi kerana Sumber daripada damai sejahtera itu sendiri telah masuk ke dalam hidupnya. Itulah keistimewaan yang Kristus Yesus berikan kepada manusia yang menyerahkan hidup mereka kepada-Nya. Secara individu, manusia yang hidupnya bersatu dengan Kristus Yesus akan mendapatkan damai sejahtera itu. Tetapi, dalam konteks pengajaran Paulus kepada jemaah di Filipi, Paulus tidak mahu jemaah di sana mementingkan kedamaian peribadi di dalam Tuhan sahaja, melainkan Paulus mengajarkan mereka untuk hidup sehati dan sejiwa. Paulus mengajak jemaah Tuhan di Filipi untuk hidup bersatu dengan Tuhan (4:1). Paulus menyebutkan nama Euodia dan Sintikhe sebagai landasan saranan kepada jemaah di Filipi untuk hidup bersatu sebagai saudara seiman yang taat kepada Tuhan (4:2). Ini kerana kedua pemimpin tersebut bertengkar sedangkan mereka seharusnya bersatu di dalam kasih Tuhan untuk memberitakan Injil. Paulus secara tidak langsung ingin mengajarkan kepada jemaah di Filipi bahawa mereka harus fokus kepada kesatuan memberitakan Injil (4:3) dan bukannya fokus pada tuntutan siapa lebih benar di antara mereka! Paulus menyedari bahawa ajaran para pengamal askese (percaya bahawa pengasingan diri untuk fokus kepada hubungan intim dengan tuhan) menular dalam fikiran jemaah Kristian dan Paulus tidak mahu mengajarkan mereka untuk hidup mengasingkan diri hanya dengan alasan untuk menikmati sukacita di dalam Tuhan. Jesteru itu, Paulus mengajak mereka untuk bersukacita di dalam kasih Tuhan dengan cara bersatu (4:4).

Ramai manusia di dunia ini berusaha bekerja keras sendirian untuk mencapai cita-cita peribadi masing-masing. Bahkan, tidak sedikit daripada mereka adalah Kristian. Tetapi, malangnya di sebalik kejayaan mereka mencapai cita-cita, mereka kehilangan banyak perkara yang Tuhan sudah sediakan kepada orang Kristian. Pertama, mereka hilang kesatuan dengan jemaah Kristian di sekeliling mereka. Mungkin saja mereka masih datang ke aktiviti gereja tetapi hati mereka sentiasa meronta-ronta untuk menyelesaikan aktiviti gereja dan bergegas meneruskan usaha mencapai cita-cita mereka. Ramai yang tidak senang menghabiskan masa yang banyak untuk bersekutu dengan rakan seiman tetapi lebih memilih menghabiskan waktu untuk melayari internet mempromosikan itu ini demi mencapai tujuan peribadi. Malangnya, mereka telah kehilangan kesatuan bersama jemaah Tuhan yang lainnya. Kualiti persekutuan mereka semakin jatuh dan akhirnya tidak berghairah lagi untuk hidup bersatu dan bersekutu dengan sesama jemaah Tuhan.

Perkara kedua yang akan hilang dalam hidup kita adalah sukacita. Kita boleh sahaja bergembira dan tertawa riang kerana berjaya mencapai tujuan peribadi kita, tetapi belum tentu kita sedang menikmati sukacita yang membahagiakan di dalam Kristus. Salah satu dari baris bait lagu Toby Mac berkata, “I don’t wanna gain the whole world, but lose my soul” (saya tidak mahu mendapatkan seluruh dunia, tetapi kehilangan jiwa) dapat difahami sebagai rintihan manusia yang semakin kehilangan rohani mereka kerana mengejar keduniawian yang sia-sia. Paulus dengan tegas mengingatkan jemaah di Filipi untuk bersukacita seperti sebuah keluarga yang bersatu di dalam Tuhan (4:4). Dalam erti kata lain, kita tidak harus mengasingkan diri hanya kerana kita rasa kita mampu dan hebat kerana akhirnya kita akan menuai dukacita dan putus asa sendirian!

Satu lagi perkara yang kita hilang jika kita tidak hidup bersatu di dalam Kristus Yesus adalah hilangnya kasih sesama. Jika kita memahami sesama adalah sesama keluarga, sesama sahabat, sesama rakan sekerja, sesama jemaah atau sesama komuniti, maka kita akan menyedari bahawa terlalu ramai manusia di sekitar kita akan tersakiti akibat daripada kita tidak bersatu dengan Kristus Yesus. Manusia yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus pasti akan gemar bersatu dan bersekutu dengan sesamanya. Ini kerana Tuhan tidak meletakkan seorang Kristian untuk hidup bagi dirinya sendiri atau menyimpan Injil untuk dirinya sendiri. Tuhan menuntut kita untuk berkongsi kasih-Nya kepada seluruh dunia. Namun, jika kita tidak bersatu dengan-Nya, kita terlebih dahulu sudah mengabaikan tanggungjawab kita untuk mengasihi-Nya dan secara tidak langsung mengabaikan tanggungjawab untuk mengasihi sesama. Mustahil seorang Kristian berkata bahawa dia mengasihi sesama sedangkan dia tidak bersekutu dan mengasihi Tuhan!

Tahun 2020 adalah tahun yang sangat mencabar untuk semua manusia di dunia ini. Tiada manusia yang tidak terkesan dengan kesan wabak pandemik Kovid-19. Mereka yang kaya atau miskin, berkeluarga atau sendirian, berkerjaya atau menganggur, semuanya dihimpit oleh pandemik ini. Tetapi, pandemik ini bukanlah alasan untuk kita mengasingkan diri daripada mengasihi Tuhan, apalagi mengasingkan diri dari orang lain. Kita mungkin gagal dalam persekutuan secara fizikal, tetapi kasih Tuhan itu jauh melangkaui reaksi fizikal; kita masih mampu untuk saling berdoa, saling meringankan beban keperluan atau saling mendorong antara satu dengan lain. Jangan ambil kesempatan daripada pandemik ini untuk mengejar material dan mengasingkan diri daripada menunjukkan kasih kepada sesama. Teguhkanlah sesama kita, hiduplah dengan penuh kasih dan milikilah kesatuan di dalam Kristus Yesus. Haleluyah!

Sejauh langkah kaki kita dari terbit hingga terbenam mentari,
kasih Tuhan tidak pernah membiarkan kita berjalan sendiri.
Seluas pandang mata kita dari satu sisi ke satu sisi,
kasih Tuhan tidak pernah pudar mewarnai indahnya tiap hari.
Tetapilah berharap kepada Tuhan secara peribadi,
tetapi tetaplah teguh bersama rakan seiman sebagai komuniti.
Amin.

– HT Ram Jonathan®