Mereka bangkit lalu menyeret Yesus ke luar bandar dan membawa-Nya ke puncak bukit tempat kota mereka dibina. Mereka bermaksud menolak Yesus ke dalam jurang. Tetapi Yesus terus berjalan antara orang ramai lalu pergi dari situ.
– Lukas 4: 29-30

Kejadian bangsa Yahudi di daerah Nazaret yang pertama kali mendengar khutbah Yesus dapat difahami dalam dua sisi berbeza. Respon awal mereka apabila mendengar khutbah Yesus adalah sangat positif iaitu mereka terkagum dengan ketampilan dan kebijaksanaan Yesus menjelaskan kepada mereka bahawa bangsa Yahudi akan dibebaskan dari tawanan, kesembuhan dari segala penyakit dan kemerdekaan bagi yang ditindas sehingga mengisytiharkan bahawa semuanya itu adalah dalam masa Tuhan untuk menyelamatkan umat-Nya (Lukas 4:18-22). Meskipun demikian, ketika mereka memiliki rasa kagum pada kemampuan Yesus berkata-kata, mereka hanya menganggap bahawa Yesus adalah manusia biasa dan dikalangan mereka sahaja (ayat 22). Namun ketika Yesus mulai memberikan perumpamaan mengenai kisah seorang balu disembuhkan, mereka sangat marah kerana mereka menganggap bahawa Yesus seolah-olah menyamakan mereka dengan balu kafir, miskin dan tidak berpengharapan (Lukas 4:25-27) dan akhirnya mereka menyeret Yesus ke puncak bukit untuk dibunuh dengan cara mencampakkan Dia ke jurang bukit tersebut. Tetapi, Yesus berjaya melepaskan diri-Nya lalu pergi dari Nazaret.

Pada renungan edisi Januari tahun ini, ia berkisar kepada kisah pencubaan yang Yesus alami semasa Dia dalam keadaan lapar selepas berpuasa selama 40 hari dan 40 malam di padang gurun. Lalu, si Iblis beredar sebentar daripada-Nya buat sementara waktu (Lukas 4:13). Pada pelayanan pertama Yesus, si Iblis datang lagi tetapi bukan sendirian melainkan menggunakan bangsa Yahudi untuk mencubai Yesus. Yesus yang baharu memulai pelayanan-Nya diusir oleh masyarakat sebangsa dengan-Nya kerana mereka memiliki rasa keraguan, kemarahan dan kesombongan. Semua sikap-sikap ini merupakan sikap yang di tanam oleh Iblis dalam diri manusia dan ianya merupakan antara ciri kejahatan seorang manusia. Iblis menggunakan sikap-sikap ini kepada manusia sehingga ketika Yesus mulai melayani, maka manusia berusaha membunuh Yesus. Sejarah Kristian membuktikan bahawa Yesus berjaya di bunuh oleh manusia hasil dari sikap kesombongan bangsa Yahudi sendiri terhadap Tuhan mereka. Mereka menolak Yesus meskipun Yesus sendiri adalah Tuhan. Mereka mempertikaikan Yesus sebagai Tuhan hanya kerana mereka merasakan mereka lebih kenal siapa Tuhan yang mereka sembah. Mereka menolak Yesus kerana mereka meyakini bahawa mereka lebih benar daripada orang lain di muka bumi ini; inilah bangsa Yahudi keturunan Israel yang digelar ‘tegar tengkuk’ oleh para nabi pada zaman Perjanjian Lama (Keluaran 32:9, 33:3; Ulangan 9:6, 31:27; Yesaya 48:4). Sikap-sikap ini telah lama ditanamkan oleh Iblis kepada manusia kerana Iblis tahun bahawa sikap ini adalah antara sikap manusiawi yang dibenci oleh Tuhan. Maka, Iblis sentiasa berjaya membuat manusia bermusuh dengan Tuhan melalui sikap-sikap seperti ini.

Pencubaan yang Yesus hadapi ini boleh sahaja kita hadapi dalam perjalanan kita sebagai orang yang mahu terus bertumbuh dalam keimanan di dalam Yesus Kristus. Ketika kita mahu menikmati hubungan intim dengan Yesus Kristus, ada sahaja pencubaan yang Iblis berikan kepada kita. Ketika kita mahu bertekun dalam doa tetapi sering ditimbuni dengan kesibukan pekerjaan dan tugasan sehingga kita merasakan bahawa Tuhan memahami kesibukan kita dan kita akhirnya mengabaikan doa sebagai persekutuan dengan Tuhan. Ketika kita mahu melayani orang lain yang berada dalam kesusahan, Iblis selalu mencubai kita dengan meletakkan pemikiran bahawa kita juga tidak berkecukupan dan mengapa kita perlu membantu orang lain dan akhirnya kita berkeputusan untuk menepis peluang membantu orang susah. Terlalu banyak hasutan yang cuba diberikan oleh Iblis kepada kita. Iblis mencubai orang yang setia kepada Tuhan kerana Iblis membenci orang yang setia kepada Tuhan Yesus. Iblis tidak perlu mencubai orang yang tidak setia kepada Yesus kerana tanpa bantuan Iblis, manusia yang tidak setia kepada Yesus sudah memilih sendiri untuk melakukan hal-hal yang tidak memuliakan Tuhan. Lalu, apa yang harus kita lakukan dalam menghadapi situasi seperti ini?

Jadilah seperti Yesus; tidak berkelahi mempertahankan diri-Nya sebaliknya beralih kepada fokus pelayanan-Nya. Jangan kita berusaha mempertahankan diri di kalangan orang yang berusaha menjatuhkan kita. Tetaplah fokus pada kuasa kasih Yesus dan tetaplah fokus pada pelayanan yang telah Yesus berikan kepada anda. Jangan menegakkan benang yang basah kerana benang kering sahaja tidak berdiri tegak, apa lagi benang basah. Hanya kita yang mampu membuat benang itu berdiri tegak dengan memegangnya. Demikianlah hidup kita, hanya Yesus yang memegang hidup kita dan bukannya usaha kita semata-mata. Tetaplah setia kepada Yesus dalam setiap pencubaan yang kita alami. Haleluyah!

Yesus Kristus,
Terima kasih untuk kasih setia-Mu.
Selalu baharu setiap hari dan tidak berkesudahan.
Yesus Kristus,
Ajarilah aku menghitung hari-hariku dengan penuh kesyukuran;
Bukan kerana usahaku, tetapi kerana berkat kesetiaan-Mu padaku.
Yesus Kristus,
Kurniakanlah aku dengan rahmat-Mu,
semoga hidupku sentiasa menyenangkan-Mu.
Amin.