Pujilah TUHAN!
Hai kamu hamba-hamba TUHAN,
pujilah nama-Nya!
Hendaklah nama-Nya disanjung,
sekarang dan selama-lamanya.
Permulaan daripada Mazmur 113 adalah sebuah kata perintah iaitu perintah kepada umat Israel untuk memuji TUHAN. Kata perintah ini sudah digunakan secara konsisten iaitu bermula dari Mazmur 111, 112 dan 113. Pemazmur ingin menegaskan kepada umat Israel bahawa TUHAN yang mereka sembah iaitu YHWH selayaknya dipuji kerana kebaikan demi kebaikan yang dilakukan-Nya kepada umat Israel. Dalam Mazmur 113, pemazmur menyatakan alasan mengapa TUHAN harus dipuji, antaranya ialah; dia ada di segala bangsa dan TUHAN melebihi tuhan-tuhan lain (ayat 4), kemuliaan-Nya tinggi seperti dilangit melebihi tuhan-tuhan lain (ayat 4), YHWH satu-satunya TUHAN yang benar (ayat 5), YHWH adalah TUHAN yang rela merendahkan diri-Nya demi bergaul dengan manusia berdosa tetapi juga bergaul dengan orang yang setia kepada-Nya (ayat 8, bandingkan Mazmur 18:3c), TUHAN peduli dengan mereka yang disingkirkan akibat kelemahan sosial dan ekonomi (ayat 7-9, bandingkan Mazmur 109:31). TUHAN yang layak diagungkan dan layak disembah sehingga pemazmur memerintahkan umat Israel untuk tetap memuji TUHAN.
Mengapa YHWH iaitu TUHAN yang memilih umat Israel dan memperkenalkan diri-Nya kepada umat Israel harus dipuji? Jelas dalam ayat 4 menyatakan bahawa YHWH iaitu TUHAN yang memperkenalkan diri-Nya kepada umat Israel adalah satu-satunya TUHAN yang memerintah semua bangsa di dunia ini. Tidak bermakna bahawa TUHAN hanya mahu memberkati bangsa Israel tetapi semua bangsa yang wujud di dunia ini. Ini juga bermakna bahawa keselamatan kekal dapat diberikan oleh TUHAN yang dipuji oleh bangsa Israel kepada seluruh bangsa manusia di dunia ini. Tidak ada TUHAN selain YHWH yang juga kita kenali sebagai Allah dalam gelar-Nya di dunia Arab. Bahkan, gelar Allah yang sama digunakan oleh seluruh manusia yang mempercayai YHWH sebagai TUHAN. Manusia pada zaman ini mungkin berusaha mencari tuhan-tuhan yang dapat mereka sembah, bahkan menciptakan tuhan yang akhirnya mereka akan sembah. Tetapi, TUHAN yang disembah oleh bangsa Israel kemudian disembah oleh seluruh manusia di dunia ini tidak dapat dicipta dan tidak mungkin dapat dicari melalui kebaikan dan amal baik. Seluruh dunia mengenali TUHAN yang layak dipuji ini sebagai Yesus Kristus dan seluruh bangsa di dunia kini menyembah Yesus Kristus dengan beriman kepada-Nya dan menjadi Kristian. Kristian adalah gelaran bagi orang percaya kepada Yesus Kristus dan menjadi penyembah Yesus Kristus sebagai TUHAN. Memang benar bahawa Yesus Kristus adalah TUHAN dan layak diimani dan disembah serta dipuji di seluruh kehidupan manusia.
Yohanes 13:13 adalah pengakuan Yesus Kristus bahawa diri-Nya adalah TUHAN, “Kamu memanggil Aku Guru dan TUHAN. Benarlah panggilan kamu itu, kerana Aku memang Guru dan TUHAN.” Meskipun demikian hebat dan perkasanya TUHAN kita, Dia rela datang ke dunia dalam peribadi manusia lalu mati dan bangkit serta kembali ke Syurga demi kasih-Nya kepada seluruh dunia dan isinya, khususnya manusia. Yesus Kristus mati disalibkan demi menebus manusia daripada hukuman maut akibat dosa manusia; bangkit pada hari ketiga untuk membuktikan bahawa nubuatan kebangkitan-Nya dapat melumpuhkan semua penafian orang kafir bahawa Dia bukan TUHAN, kerana hanya TUHAN yang dapat hidup kekal selamannya; lalu kembali ke Syurga iaitu kediaman kekal-Nya sebagai TUHAN dan Raja segala bangsa. Akhirnya kita kelak akan bersama-sama dengan-Nya di dalam kerajaan kekal itu. Mengapakah manusia masih berkeras hati dan tidak memuji Yesus Kristus sebagai TUHAN di dalam hidup mereka? Antara penyebabnya adalah kerana mereka seringkali dihadapkan dengan kewujudan tuhan-tuhan lain dari kepercayaan lain bahkan tuhan-tuhan tersebut menawarkan pelbagai kenikmatan jika mereka berbuat kebaikan selama hidup di dunia ini. Sedangkan Yesus Kristus berkata bahawa segalanya diciptakan oleh Allah dan tiada satupun di dunia ini dapat hidup tanpa Allah. Lalu, tidak ada alasan untuk tuhan-tuhan dari kepercayaan lain untuk menawarkan kehidupan kekal kepada penganutnya kerana hanya di dalam Yesus Kristus sahaja manusia dapat diselamatkan oleh Allah. Kerana Yesus Kristus adalah Allah yang turun ke dunia untuk menebus dosa manusia. Dia lakukan sekali untuk selama-lamanya dan untuk semua manusia. Sesiapa sahaja yang percaya kepada Yesus Kristus tidak akan binasa melainkan mendapat kehidupan kekal di kerajaan Syurga (Yohanes 3:16). Bahkan Yesus sendiri sudah menyatakan bahawa manusia dapat diselamatkan, seluruh manusia dari segenap bangsa yang wujud di dunia ini dapat diselamatkan bukan oleh manusia atau tuhan-tuhan kepercayaan lain melainkan Allah sendiri yang mengambil kita menjadi anak-anak-Nya dan perantara kepada pemulihan hubungan ini adalah diri-Nya sendiri dengan menjadi manusia yang dikenali sebagai Yesus Kristus (Yohanes 1:13-14). Adakah mustahil bagi Allah menjelma menjadi manusia dan dikenali sebagai Yesus Kristus? TIDAK MUSTAHIL kerana Dia adalah Allah. Dia mampu melakukan segala perkara mustahil menjadi kenyataan kerana kekuasaan-Nya yang tiada batasnya.
Pemazmur dalam 113 menyedari bahawa TUHAN yang mengangkat bangsa Israel dari keranjang dosa dan kemusnahan di api neraka telah menang atas segala tuhan-tuhan yang ada di sekitar mereka. Bangsa Israel memuji kemegahan TUHAN kerana Dia adalah TUHAN untuk segala bangsa dan Raja bagi segala bangsa. Tidak ada satu bangsa yang tidak berharga di mata TUHAN sehingga semua kita diperintahkan untuk memberitakan Injil keselamatan di seluruh dunia. Tanggungjawab yang berat tetapi sangat tinggi martabatnya kepada TUHAN dan memuliakan TUHAN. Jika hari ini kita masih lupa siapa yang mengangkat kita dari keranjang dosa, saya mahu ingatkan bahawa peribadi itu adalah TUHAN yang kita kenali sebagai YESUS KRISTUS! Dialah TUHAN dan Penebus bahkan Penyelamat tunggal anda, saya dan seluruh manusia di dunia ini. Tiada tuhan lain selain TUHAN Yesus Kristus! Milikilah kehidupan kekal bersama Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Raja peribadi anda. Jika anda berkeras hati, mohonlah petunjuk kepada Roh Kudus agar anda diberikan hikmat memahami kebenaran firman Tuhan ini. Jika vaksin boleh mencegah kita daripada berisiko tinggi dijangkiti Covid-19, kenapa tidak mahu memiliki Yesus Kristus sebagai TUHAN dan Penyelamat peribadimu? Dia akan memberikan hidup baharu kepada anda dan anda akan bersama-sama memerintah di kerajaan kekal iaitu Syurga, dimana Yesus Kristus memerintah sebagai Raja. Haleluyah!
– HT Ram Jonathan®