Tetapi Petrus berkata kepadanya, “Aku sama sekali tidak mempunyai wang, tetapi apa yang ada padaku akan aku berikan kepadamu: dengan kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu, berjalanlah!

Lalu Petrus memegang tangan kanan orang lumpuh itu dan menolong dia bangun. Seketika itu juga kaki dan pergelangan kaki orang lumpuh itu menjadi kuat.
– Kisah Rasul-Rasul 3:6-7

Dalam perikop Kisah Rasul-Rasul 3, Petrus dan Yohanes dalam perjalanan masuk ke Rumah Tuhan sesuai dengan kebiasaan orang Yahudi untuk pergi berdoa dan ia juga merupakan rutin ibadat yang dipraktikkan oleh para murid Yesus (Lukas 24:53; Kisah Rasul-Rasul 2:46). Lalu, sebelum mereka sempat masuk untuk berdoa pada sesi pukul 3 petang, kedua-dua mereka melihat seorang yang lumpuh sejak lahir meminta sedekah di gerbang Rumah Tuhan tersebut. Lalu, terlintas oleh belas kasihan maka Petrus dan Yohanes menghampiri orang lumpuh tersebut dan terjadilah perbualan di antara mereka. Petrus dan Yohanes ingin memberkati orang lumpuh tersebut tetapi bukan dengan wang seperti yang lazimnya orang lumpuh itu perlukan. Kedua-dua rasul ini sememangnya tidak memiliki harta benda atau kewangan untuk kegunaan peribadi mereka kerana semua harta dan kewangan dikongsi bersama-sama dengan pengikut Yesus yang lainnya (Kisah Rasul-Rasul 5:34-37). Sebaliknya mereka berdua menunjukkan kasih Yesus Kristus kepada orang lumpuh tersebut. Petrus dengan penuh kasih mahu orang lumpuh itu mengambil perhatian kepada mereka sehingga dia berkata, “Pandanglah kami!” dan bukan menawarkan wang sebaliknya menawarkan kuasa kasih dari Yesus Kristus pasti memberikan kesembuhan kepada orang lumpuh itu. Mukjizat terjadi, orang lumpuh itu sembuh dan dia berjalan kembali. Haleluyah!

Apakah yang menjadi inti daripada kisah pendek namun penuh berkat ini untuk kita pelajari? Pertama, tanpa perlu melihat latar belakang gereja bahkan agama, kita harus sentiasa menunjukkan kasih Yesus Kristus kepada sesama kita. Petrus dan Yohanes merupakan pengikut Yesus Kristus, sedangkan orang lumpuh itu hanya mengetahui Yesus yang disalibkan sebagai penjahat dan melecehkan agama Yahudi iaitu agama yang dianuti oleh si lumpuh selama hidupnya. Tetapi, ketika Petrus dan Yohanes menawarkan kasih dalam nama Yesus Kristus dan orang lumpuh itu menyambut tangan mereka (boleh sahaja kita fahami simbol menyambut tangan sebagai menyambut Yesus dengan iman), maka dia dikuatkan dan sembuh! Petrus dan Yohanes tidak bercakap mengenai perbezaan status rohani ataupun status sosial mereka dengan orang lumpuh tersebut. Mereka hanya menawarkan Yesus Kristus kepada orang lumpuh itu dan akhirnya nama Yesus Kristus menyembuhkannya. Berapa ramai manusia di dunia ini memerlukan kesembuhan sama ada secara fizikal, mental, emosi dan rohani. Berapa ramai juga manusia membelanjakan banyak wang ringgit untuk mencari ketenangan, kesembuhan dan kelepasan daripada berbagai masalah yang mereka hadapi. Yesus Kristus menanti huluran kasih-Nya disambut oleh orang-orang seperti ini. Mereka memerlukan kasih yang sejati daripada Yesus Kristus. Anda dan saya adalah orang yang diamanahkan oleh Yesus untuk menghulurkan kasih itu kepada mereka (Matius 28:19-20). Anda dan saya pernah berada di situasi yang sama seperti mereka dan kita dipulihkan (dan masih menjalani pemulihan) oleh kasih-Nya. Kongsikanlah kasih Yesus Kristus kepada mereka yang lain tanpa melihat perbezaan agama, sosial, ekonomi dan politik kita.

Pelajaran kedua yang boleh kita pelajari bersama-sama dari kisah ini adalah bahawa nama Yesus Kristus itu memiliki kuasa yang luar biasa. Mukjizat dalam nama Yesus Kristus itu sungguh besar impaknya kepada hidup seseorang. Pengusiran roh jahat dilakukan oleh para hamba Tuhan dengan menyebutkan nama Yesus, lalu roh jahat itu keluar. Berdoa bagi kesembuhan juga menyebutkan nama Yesus lalu kesembuhan dinikmati. Dalam liturgi gereja, menyebutkan nama Yesus Kristus seringkali bertindih maksud dengan penggunaan nama ‘Anak’ iaitu merujuk Yesus sebagai ‘Anak Allah’ (Matius 3:17; 4:3, 6; 8:29; 14:33; 16:16) maka kita tahu bahawa nama Yesus Kristus itu sangat besar kuasanya. Mereka yang menyebut nama Yesus Kristus dalam pelayanan dan kehidupan harian mereka sentiasa perlu memahami bahawa menyebutnya sahaja tidak membawa manifestasi kuasa dari Yesus Kristus untuk hal yang kita maksudkan. Sebaliknya, menyebutkan nama Yesus Kristus harus diiringi dengan iman benar kepada-Nya, tindakan sesuai firman-Nya dan sesuai kehendak-Nya maka tujuan kita akan terlaksana. Ini bermakna, sebelum kita mengalami kuasa dalam nama Yesus Kristus, kita harus terlebih dahulu menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat peribadi, lalu sentiasa beriman kepada-Nya dan akhirnya memahami kebenaran firman-Nya. Maka, nama Yesus Kristus itu akan berkuasa dalam hidup kita. Inilah yang dilakukan oleh para murid Yesus selama pelayanan mereka; mereka hidup bersama-sama dengan Yesus selama Yesus hidup di dunia ini, mentaati perintah Yesus dalam kehidupan mereka, menghormati kebenaran firman Tuhan dan rajin beribadat kepada Yesus. Hubungan intim dengan Yesus akan membuat kita memiliki komunikasi serta pengenalan yang benar kepada Yesus Kristus.

Pandemik Covid-19 pada minggu ini berada di fasa yang lockdown dan masih banyak masalah penularan yang terjadi di Malaysia bahkan di seluruh dunia. Kita tidak nafikan bahawa ramai di antara kita terkesan dalam banyak hal terutamanya kekurangan sumber kewangan, kehilangan sentuhan komunikasi sosial dan kejatuhan rohani akibat pandemik ini. Jika sehingga sekarang ini anda masih menyedari anda diberkati dengan hal-hal kewangan, maka bersyukurlah dan berusahalah membantu mereka yang memerlukan. Jika kerohanian kita masih berada di tahap baik, pertingkatkanlah dan berkatilah mereka yang lain dengan memberikan dorongan emosi dan mental kepada mereka. Kita mungkin terpisah jarak tetapi bukankah Yesus Kristus itu sejauh doa sahaja? Berdoalah setiap masa di mana sahaja anda sedang ‘terkurung’ dan doakanlah mereka yang lain. Firman Tuhan itu dekat di bibir kita, perkatakanlah ia siang dan malam. Media massa itu ada dihujung jari kita, kongsikanlah berita Injil di dalam media massa. Kita tidak mungkin dapat memiliki segalanya di dunia ini, tetapi ketika kita memiliki Yesus Kristus, kita akan memiliki segalanya; kerana Yesus Kristus adalah Pemilik segalanya. Haleluyah!

– HT Ram Jonathan®