Semoga kasih kurnia dan kesejahteraan Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus menyertaimu.
Kami sangat bersyukur kepada Allah keranamu, saudara-saudaraku. Ini memang sepatutnya, kerana imanmu bertambah teguh dan kamu semakin kasih-mengasihi. Dengan demikian kami berbangga denganmu di antara jemaah Allah kerana kesabaran dan imanmu menanggung segala penganiayaan serta kesengsaraan.
– 2 Tesalonika 1:2-4
Dalam surat kepada jemaah di Tesalonika, Paulus memulainya dengan ungkapan pendahuluan yang sangat indah. Sebagai seorang rasul yang sangat besar hati dalam membangunkan jemaah baharu, Paulus sememangnya sentiasa menggunakan ungkapan indah dalam surat-suratnya kerana kesukaan hati sebagai seorang hamba Tuhan yang memang seharusnya dicurahkan juga melalui penulisannya; penulisan yang mewakili tutur kata dan juga tindakan kasih. Ungkapan-ungkapan dari Paulus bukan bertujuan sebagai mencari usaha menonjolkan dirinya tetapi lebih kepada caranya untuk menyatakan bahawa hanya dalam Allah Bapa dan Yesus Kristus sahaja jemaah dapat menikmat kesejahteraan dan kekuatan iman (2 Tesalonika 1:1-2). Paulus juga ingin menyatakan secara teologi bahawa pembangunan sejati iman jemaah di Tesalonika adalah dari kasih kurnia dan kesejahteraan Allah Bapa serta Yesus Kristus.
Tanpa pertolongan daripada kuasa kasih Allah melalui kuasa Roh Kudus, maka sia-sia gereja dibina sebagai sebuah bangunan indah dan penuh dengan kegiatan rohani. Gereja secara bangunan dibangunkan oleh manusia yang percaya bahawa pentingnya sebuah lokasi pertemuan untuk acara kerohanian bersama-sama. Maka, gereja fizikal didirikan untuk tujuan pertemuan secara berkumpulan. Tetapi, kunci utama sebuah gereja fizikal berkembang dengan sihat sebagai lokasi pertemuan rohani adalah apabila gereja tersebut dilimpahi dengan kesyukuran dari hati para jemaah yang berkumpul di bangunan tersebut. Kesyukuran kepada Allah Bapa yang telah menerima mereka sebagai anak-anak-Nya sehingga persekutuan mereka di dalam bangunan gereja tidak sia-sia tetapi berkenaan di hadapan Allah Bapa, Raja segala bangsa. Tanpa ucapan syukur terdalam dari hati mereka, maka acara rohani hanya sekadar sebuah acara yang bertujuan mengisi masa lapang mereka sahaja. Maka itu, sangat penting untuk sebuah gereja menjadikan pengucapan syukur sebagai tiang pertemuan mereka. Paulus dalam ayat 3 mengajarkan teladan kepada jemaah di gereja-gereja Tesalonika untuk sentiasa bersyukur kepada Allah, “kami mesti sentiasa mengucap syukur kepada Allah keranamu, saudara-saudaraku.” Bukan sahaja Paulus menunjukkan sukacitanya dengan ucapan syukur tetapi makna tersirat daripada ucapan ini adalah untuk mengajarkan karakter mengucap syukur kepada jemaah yang menerima suratnya.
Bahkan, Paulus juga mengingat kepada jemaah di gereja Tesalonika untuk tetap memiliki iman yang teguh serta saling mengasihi. Kunci untuk seorang tetap memiliki keteguhan iman dan mengasihi adalah apabila dia mampu untuk mengucap syukur. Dalam surat lain iaitu kepada jemaah di Filipi, Paulus menasihatkan mereka agar tidak bimbang terhadap apa sahaja yang mereka hadapi demi mempertahankan iman. Sebaliknya Paulus menasihatkan mereka agar tetap tekun berdoa dan sentiasa mengucap syukur kepada Allah. Apabila meneliti semula peringatannya kepada jemaah di Tesalonika dan di Filipi, maka adalah sangat wajar untuk mereka tetap mengucap syukur kerana sikap ini adalah bukti kematangan iman seseorang, apatah lagi ketika dia sedang berhadapan dengan cabaran imannya. Maka, pengucapan syukur memberikan indikasi kematangan iman mereka iaitu, apapun keadaan sama ada baik atau tidak, ia akan membawa kemuliaan kepada Tuhan melalui hidup mereka (2 Tesalonika 1:4).
Di tengah-tengah dunia yang penuh dengan anasir negatif, gereja berhadapan dengan banyak cabaran sama ada secara dalaman mahupun luaran. Cabaran luaran boleh sahaja berpunca dari pihak yang cuba menggagalkan usaha pemberitaan Injil kepada lebih ramai jiwa atau keadaan politik yang memecahkan kesatuan jemaah akibat parti politik yang disokong; sementara cabaran dalaman mungkin sahaja daripada ajaran-ajaran menyeleweng dari para pengkhutbah, sikap salah dalam ibadah atau kurang disiplin rohani. Hal-hal seperti ini pasti sedikit sebanyak mempengaruhi gereja secara fizikal khususnya dari segi tuntutan logistikyang memerlukan kewangan dan sumber tenaga manusia, tetapi lebih parah lagi mengakibatkan kemurtadan serta perpecahan gereja. Memilih untuk mengucap syukur dalam apa sahaja keadaan akan membantu gereja memahami betapa pentingnya sikap hati seperti ini dalam menghadapi cabaran yang menerpa mereka. Memilih untuk mengucap syukur bermakna bahawa gereja telah bersedia untuk mempraktikkan kehidupan orang Kristian iaitu sentiasa mempertahankan iman meskipun mereka mungkin kehidupan nyawa mempertahankan iman kepada Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat peribadi mereka. Memilih untuk mengucap syukur bermakna gereja sedia untuk menjadi saksi iman yang sejati kepada sesama, tetapi juga kepada mereka yang memerlukan Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka. Oleh itu, marilah kita memilih untuk mengucap syukur kerana sikap hati bersyukur akan menjadikan hidup kita sejahtera bersama Tuhan. Haleluyah!
– Jonathan Nafesy El Ram®