Ketika Yesus berjalan di pinggir Laut Galilea, Dia ternampak dua orang saudara, iaitu Simon, yang juga dipanggil Petrus, dan saudaranya Andreas. Mereka sedang menebarkan jala di danau kerana mereka nelayan.
Yesus berkata kepada mereka, “Ikutlah Aku dan Aku akan menjadikan kamu penjala insan.”
Dengan serta-merta mereka meninggalkan jala mereka dan mengikut-Nya. Sejurus berjalan dari sana, Yesus ternampak dua beradik lagi, Yakobus dan Yohanes bersama bapa mereka Zebedeus, sedang mengemaskan jala di dalam perahu. Yesus memanggil dua beradik itu.
Seketika itu juga mereka meninggalkan perahu dan bapa mereka lalu mengikut Yesus.
– Matius 4:18-22
Dalam Injil Matius, kita melihat Yesus Tuhan menjemput murid-murid-Nya yang awal untuk mengikut Dia. Ini bukan pertemuan pertama mereka dengan Dia. Sebelum Dia memanggil mereka, mereka telah mendengar ajaran-Nya tetapi mereka masih dalam pekerjaan atau perniagaan mereka. Yesus membiarkan mereka untuk percaya kepada-Nya dan dalam masa yang sama membiarkan mereka meneruskan pekerjaan asal mereka. Tetapi selepas beberapa lama, Dia menjemput mereka untuk melepaskan segala-galanya dan mengikut Dia. Walaupun Dia memanggil semua orang untuk mengikut Dia, tetapi Dia tidak memanggil semua orang untuk melepaskan segala-galanya. Tetapi Dia melakukannya kemudian, dan Dia masih memanggil beberapa orang untuk meninggalkan segala-galanya dan mengikut Dia. Dan Dia memanggil mereka untuk menjala manusia. Di sini kita melihat bagaimana hati dan keutamaan mereka berubah serta-merta. Berdasarkan kepada kisah ini, maka kita tahu bahawa sekurang-kurangnya ada dua implikasi yang relevan untuk Kristian masa kini pelajar serta fikirkan sebagai pengajaran untuk kita semua.
Implikasi pertama, para murid, apabila mereka mendengar jemputan Kristus untuk mengikut Dia, mereka memutuskan bahawa adalah wajar meninggalkan segala-galanya untuk mengikut Yesus. Mereka meninggalkan ibu bapa mereka, perahu mereka, dan pergi bersama Yesus. Mereka akan pergi ke mana Dia mengutus mereka, dan melakukan apa yang Dia katakan. Bukan semua orang diberi jemputan sebegitu. Tetapi inilah jemputan khusus yang memerlukan pengorbanan. Tidak seorang pun harus mengikut Kristus dan datang ke dalam pelayanan dengan rasa berhak dan mula membuat tuntutan. Ada seorang mubaligh ternama iaitu David Livingstone pernah berkata, “Orang ramai bercakap tentang pengorbanan yang saya lakukan dalam menghabiskan begitu banyak waktu hidup saya di Afrika. Bolehkah itu dipanggil pengorbanan yang bertujuan mengakui hutang besar kita kepada Tuhan kita, yang tidak akan pernah dapat kita bayar? Ia secara jelas bukan pengorbanan. Sebaliknya ia adalah satu keistimewaan; kebimbangan, penyakit, penderitaan, bahaya, melupakan kemudahan biasa dalam kehidupan ini – boleh sahaja membuat kita berhenti sejenak, dan menyebabkan semangat goyah, dan jiwa tenggelam; tetapi biarlah semua ini hanya seketika. Semua ini tidak ada apa-apanya jika dibandingkan dengan kemuliaan yang kelak akan dinyatakan dalam dan melalui kita. Saya tidak pernah berkorban. Mengenai hal ini tidak seharusnya kita bicarakan, apabila kita mengingat pengorbanan besar yang Dia lakukan yang meninggalkan takhta Bapa- Nya di tempat yang tinggi untuk memberikan diri-Nya bagi kita.” Jika Livingstone tidak membuat pengorbanan, siapa yang melakukan? Kehidupan Kristian yang sejati tidak pernah tanpa pengorbanan tetapi tidak ada apa-apa jika dibandingkan dengan apa yang telah Kristus lakukan untuk kita.
Implikasi kedua adalah apabila para murid awal belajar bahawa apabila mereka mengutamakan jemputan Kristus, mereka juga mesti mengutamakan misi-Nya. Misi-Nya mesti menjadi misi mereka. Misi-Nya adalah untuk membawa orang ke dalam Kerajaan Tuhan. Mulai sekarang misi mereka adalah untuk membawa orang ke dalam hubungan yang benar dengan Tuhan; membawa mereka ke dalam Kerajaan Tuhan. Ini adalah jemputan untuk kita semua, tidak kira apa perniagaan atau profesion kita; kita tetap memegang misi ilahi daripada Raja segala raja dan kita akan melihat diri kita bekerja bersama-sama Tuhan sebagai penjala manusia.
Tidak ada manusia yang tidak memerlukan tuhan, semua manusia memerlukan tuhan bahkan ada manusia yang “mencipta tuhan-tuhan” dengan harapan tuhan itu akan menjadi sumber kekuatan mereka. Tetapi, sebagai orang Kristian, kita memerlukan Tuhan iaitu satu-satunya Tuhan dan Penyelamat iaitu Yesus Kristus. Kebanyakan kita biasa dengan nama John Sung (1901-1944). Penginjil terhebat China yang pernah dihasilkan. Bagaimanakah Dia telah membuat komitmen untuk mengikut Kristus? Semasa belajar di Amerika Syarikat, dia beralih kepada beberapa kepercayaan lain. Suatu hari beberapa kawannya menjemputnya ke gereja. Dia pergi ke sana dengan berfikir bahawa seorang pengkhutbah yang fasih dan terpelajar akan menyampaikan satu siri khutbah. Pengkhutbah itu ternyata seorang gadis berusia 15 tahun. Tuhan menggunakan khutbah gadis muda itu untuk menyentuh kehidupan John Sung. Dia pergi selama 4 malam berturut-turut, dia berpaling kepada Kristus, dan berkata, “Mulai sekarang, saya akan menjadi penjala manusia.” Allah memanggil setiap orang untuk menjadi penjala manusia. Daripada seorang gadis muda kepada seorang Penginjil yang hebat, tugas kita adalah untuk mengambil misi Kristus dengan sungguh-sungguh dalam dunia yang semakin memerlukan kasih Tuhan.
Fokus murid-murid awal kepada Kristus, jemputan-Nya dan misi-Nya mengubah keutamaan mereka. Seseorang berkata, semasa Kristus memanggil kita untuk menjadi penjala manusia, ramai yang bersemangat memenuhi panggilan ini. Tetapi Gereja-Nya telah menjadi penjaga akuarium dan lebih selesa menjadi penjaga akuarium sahaja. Kebenaran yang menyedihkan tentang gereja adalah bahawa kita telah melupakan misi Kristus dan kita telah pergi ke mod penyelenggaraan. Jadi, kita mempunyai bangunan yang besar, program yang menyeronokkan, dan bajet yang banyak. Kita tertumpu secara dalaman, sedangkan, pelayanan Yesus tertumpu secara lahiriah dan semuanya tentang menjemput orang ke dalam Kerajaan TUHAN. Untuk anda dan saya: Apakah keutamaan anda dan saya? Adakah kita mahu menjadi penjala manusia atau penjaga akuarium sahaja? Ingatlah bahawa Tuhan memanggil kita menjadi penjala manusia, dan bukan penjaga akuarium manusia!