“Saudara-saudaraku, sekarang aku hendak mengingatkan kamu tentang Berita Baik yang aku khabarkan dahulu. Kamu menerimanya, dan kepercayaan kamu kepada Kristus berdasarkan Berita Baik itu. Itulah Berita Baik, perkhabaran yang aku beritakan kepada kamu. Berita Baik itu akan menyelamatkan kamu jika kamu berpegang kepadanya dengan teguh. Tetapi jika kamu tidak berpegang kepadanya dengan teguh, maka kepercayaan kamu sia-sia.”
– 1 Korintus 15:1-2

Paulus dalam penulisan suratnya di bahagian ini ingin menyatakan sebuah idea yang dia telah alami bersama Kristus dan dia ingin menyatakan kebenaran idea ini kepada jemaah di Korintus juga. Ini bukanlah idea baharu mengenai penyelamatan tetapi Paulus menyatakan semula idea ini kerana dia tahu ia adalah sesuatu yang teramat penting. Bahkan, ketika Paulus berkata, “aku hendak mengingatkan kamu…” maka ia jelas menunjukkan bahawa Paulus dalam ajaran-ajarannya bahkan dalam surat- suratnya jelas mengajarkan mengenai Berita Baik yang benar-benar menjadi mesej utama pelayanannya. Bahkan, sebenarnya Berita Baik itu bukan sahaja bermula daripada Paulus dan para rasul yang lain, tetapi Berita Baik itu sendiri telah dilaksanakan oleh Yesus Kristus ketika Dia masih bersama-sama mereka. Nabi Yesaya sendiri sudah menubuatkan bahawa Yesus Kristus adalah Mesias yang diutus untuk membawakan Berita Baik serta membawa pemulihan kepada seluruh hidup manusia di dunia ini sehingga manusia mendapat kemerdekaan dan kebebasan daripada hukuman dosa (Yesaya 61:1). Paulus sendiri menerima Berita Baik itu daripada Kristus, iaitu sang watak utama dalam kisah Berita Baik tersebut. Berita Baik yang diterima oleh Paulus daripada Kristus perlu dia sampaikan sehingga disambut oleh pendengarnya, dipercayai lalu dijadikan sebagai gaya hidup. Itulah antara tujuan Paulus ingin menyampaikan Berita Baik itu kepada jemaah di Korintus iaitu supaya mereka menyambut kebenaran mutlak bahawa Yesus Kristus satu-satunya Tuhan dan Penyelamat, lalu mempercayai-Nya dan mempraktikkan gaya hidup sebagai seorang Kristian sesuai ajaran Kristus. Bukan itu sahaja permintaan Paulus, tetapi Paulus juga mahu jemaah di Korintus benar-benar berpegang teguh kepada kepercayaan (iman teguh kepada Yesus Kristus) di dalam hidup mereka agar kehidupan mereka tidak sia-sia. Frasa ‘tetapi’ di dalam ayat 2 menunjukkan kepada kita bahawa ada kelompok yang anti-Paulus iaitu menolak ajaran Paulus, menolak kewibawaan kerasulan Paulu bahkan mencemarkan kebenaran Berita Baik dengan menggabungkannya dengan budaya Roma sehingga mempengaruhi keteguhan iman jemaah di Korintus terhadap Berita Baik yang Paulus sampaikan.

Betapa sedihnya menjadi seorang yang percaya kepada Kristus tetapi masih hidup basa-basi. Mereka mendakwa bahawa mereka adalah orang Kristian dari lahir, rajin datang ke ibadah atau berbakti kepada masyarakat. Tetapi, sebenarnya mereka sekadar mahu dilihat beragama sedangkan tidak sepenuhnya memiliki kepercayaan teguh bahawa Yesus Kristus adalah satu-satunya Tuhan dan Penyelamat. Mereka masih percaya bahawa budaya masyarakat dan etika sosial lebih berperanan penting dalam menentukan kesucian hidup mereka di hadapan Tuhan. Mereka masih berusaha berbakti kepada masyarakat dengan harapan Tuhan menilai mereka lebih berharga berbanding orang Kristian yang kurang menonjol dalam kemasyarakatan mereka. Semua hal ini adalah antara yang menyedihkan. Tetapi, hal yang lebih menyedihkan adalah apabila kepercayaan sebagai Kristian tidak teguh kerana mereka masih menyembah tuhan-tuhan lain seperti kegilaan kepada wang, pangkat sosial dan prinsip penyembahan yang salah. Mereka rasa mereka tidak akan didapati berdosa apabila menyembah tuhan-tuhan lain. Bahkan, masih ramai yang percaya kepada bomoh dan kepercayaan tradisi yang jelas bertentangan dengan gaya hidup Kristian yang ditunjukkan oleh Yesus selama hidup-Nya di dunia ini. Kepercayaan teguh seharusnya tidak memegang prinsip berkompromi terhadap kepercayaan tradisi yang bertentangan dengan kebenaran firman Tuhan; kepercayaan teguh kepada Kristus menentang kesombongan diri tetapi sebaliknya menyanjung tinggi nama Tuhan di dalam segala kehidupannya; kepercayaan yang teguh terhadap Yesus Kristus seharusnya menjadikan kita model teladan kepada orang di sekeliling kita sama ada dalam tindakan, kata-kata mahupun idealogi kita.

Lalu, apakah yang menyenangkan Tuhan dengan kepercayaan teguh kita kepada-Nya? Roma 12:1 merupakan antara saranan lain daripada Paulus kepada jemaah Kristian sebagai peribadatan peribadi kepada Tuhan; “mempersembahkan diri sebagai suatu korban yang hidup, yang khas untuk Allah, dan yang menyenangkan hati-Nya.” Konsep persembahan yang dimaksudkan oleh Paulus di dalam kitab Roma adalah dengan merujuk kepada tindakan Yesus sendiri yang mempersembahkan tubuh-Nya sehingga mati disalibkan. Demikianlah tuntutan persembahan sejati yang kita harus lakukan iaitu kita harus siap mematikan keinginan duniawi yang tidak berkenaan kepada Tuhan lalu menyerahkan hidup baharu kita kepada Tuhan agar kita diisikan sepenuhnya dengan kebenaran-kebenaran Tuhan sendiri. Sangat tidak logik jika kita menyerahkan 99 peratus tubuh kita lalu menyisahkan 1 peratus lagi untuk keinginan duniawi yang membawa dosa dalam tubuh kita kerana mustahil untuk hidup kita dikuasai sepenuhnya oleh kebenaran firman Tuhan dengan perkiraan seperti itu. Maka itu, harus kita persembahkan 100 peratus tubuh kita kepada Tuhan untuk dipulihkan sehingga kita menjadi kosong dan baharu, lalu kuasa ilahi akan memenuhi kita dengan kebenaran-Nya. Kerana itulah, Paulus dalam 1 Korintus 15:2 mengingatkan jemaah di Korintus agar tidak menjadikan kepercayaan mereka terhadap Yesus Kristus sesuatu yang sia-sia. Kesia-siaan boleh sahaja bermula dengan sikap sambil lewa mereka mempraktikkan ajaran firman Tuhan, atau juga disebabkan oleh sikap penolakan mereka terhadap Berita Baik yang asli dari Paulus lalu mencampurkan dengan pemahaman budaya Roma.

Semoga kita menjadi Kristian yang memiliki kepercayaan teguh kepada Yesus Kristus dalam kehidupan kita. Banyak cabaran yang sedang kita tempuhi sekarang ini tetapi marilah kita tetap berpegang teguh kepada iman kita di dalam Yesus Kristus. Mungkin sahaja ada pihak tertentu yang menawarkan kesenangan di tengah-tengah pandemik Covid-19 dengan syarat anda menjadi penganut agama mereka. Tetapi, tidak ada satu agama di dunia ini yang menjanjikan keselamatan pasti selain Yesus Kristus yang dianuti oleh orang Kristian. Yesus berkata bahawa Dia adalah satu satunya jalan untuk mengenal Allah (yang benar) dan tidak ada agama atau individu pengasas agama lain di dunia ini yang dapat membawa manusia untuk mengenal Allah yang benar (Yohanes 14:6). Maka itu, janganlah kecut hati dalam menjadi Kristian tetapi, teguhkanlah iman berjalan bersama Kristus dalam iman kita. Haleluyah!

– HT Ram Jonathan®