11 “Inilah maksud ibarat tadi: Benih itu ialah firman Allah.
12 Benih yang jatuh di tepi jalan itu menggambarkan mereka yang mendengar firman itu tetapi kemudian Iblis datang dan mengambil firman itu daripada hati mereka supaya mereka tidak percaya dan diselamatkan.
13 Benih yang jatuh di tempat berbatu itu bermaksud mereka yang mendengar firman itu dan terus menerima firman itu dengan sukacita tetapi mereka tidak berakar. Mereka itu hanya percaya untuk seketika dan pada waktu dugaan, iman mereka pun luntur.
14 Benih yang jatuh di tengah-tengah semak duri itu ialah mereka yang telah mendengar firman itu, tetapi dalam hidup sehari-hari mereka terhimpit oleh kerunsingan dan kekayaan serta kesenangan hidup sehingga mereka tidak menghasilkan buah yang matang.
15 Benih yang ditabur di tanah yang baik bermaksud orang yang mendengar firman itu dan menyimpannya dalam hati yang tulus ikhlas lalu dengan usaha tekun dia mengeluarkan buah.“
– Lukas 8:11-15
Sebagai seorang petani, benih merupakan hal yang sangat penting dalam usaha mendapatkan hasil tanaman bijirin. Benih yang sihat dengan penjagaan rapi akan memberikan bijirin yang sangat banyak; sebaliknya benih yang sihat atau tidak serta tidak dijaga dengan baik akan bertumbuh besar menjadi bijirin yang rosak bahkan tidak berguna untuk dituai. Demikianlah perumpamaan yang diberikan oleh Yesus kepada para murid-Nya. Yesus memberikan perumpamaan benih tanaman dan peranan petani yang menyemai benih tersebut dengan keadaan tapak semaian yang berbeza (Lukas 8:4-8). Lalu Yesus memberikan makna kepada perumpamaan tersebut seperti berikut: benih adalah firman Tuhan (ayat 11) dan tapak semaian adalah hati seorang Kristian.
Berdasarkan perumpamaan yang diberikan oleh Yesus, maka kita mudah untuk memahami bahawa firman Tuhan sentiasa mudah didapatkan di dunia ini melalui pelbagai cara tetapi malangnya adalah mereka yang menerima firman Tuhan memiliki keadaan hati yang berbeza. Sekurang-kurangnya ada empat keadaan hati manusia yang mendengar dan menerima firman Tuhan dalam hidup mereka. Keadaan hati ini memberikan indikasi kepada kita bahawa firman Tuhan yang benar dan memberikan hidup kekal kepada seluruh dunia masih dipertimbangkan oleh ramai manusia di dunia ini sebagai sekadar pelengkap di sesetengah perjalanan hidup mereka. Pemahaman salah mengenai firman Tuhan adalah disebabkan oleh keadaan hati manusia yang penuh dengan kecemaran. Bagaimana hati anda dan saya dalam menanggapi firman Tuhan yang telah diwariskan kepada kita? Marilah kita selidiki keadaan hati kita melalui perumpamaan yang Yesus berikan ini.
Keadaan hati pertama adalah hati yang dengan sengaja tidak memperjuangkan iman mereka di dalam Yesus sebaliknya lebih mudah bersetuju dengan tipu muslihat iblis yang datang mencuri kebenaran firman Tuhan dari hidup mereka. Ada ramai manusia di dunia ini memilih untuk memiliki hati seperti ini. Terutamanya mereka yang seringkali melihat dunia sebagai rumah kekal mereka sehingga mereka memilih untuk mengabaikan kebenaran firman Tuhan meskipun mereka tahu secara intelek bahawa hanya Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat hidup mereka. Kumpulan manusia seperti ini memiliki hati yang murtad dari Kekristianan; memilih untuk tidak beriman kepada Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka. Mereka memilih untuk mempercayai kepercayaan lain yang membawa kesenangan hidup sementara di dunia ini. Mereka memilih untuk memberikan hati mereka kepada iblis dengan melakukan dosa tanpa rasa berdosa sedikitpun. Mereka memilih untuk memberikan hati mereka dicemari oleh kejahatan demi kejahatan di mana sahaja mereka berada. Yesus berkata bahawa manusia seperti ini tidak akan mendapat keselamatan kekal.
Keadaan hati seterusnya adalah orang Kristian yang beriman kepada Yesus tetapi hanya pada keadaan tertentu sahaja. Ketika mereka berada dalam keadaan sukacita, mereka sentiasa memberikan hati mereka untuk dipimpin oleh Roh Kudus. Ketika hidup mereka penuh dengan kegembiraan dan perjalanan hidup yang penuh dengan sukacita dan keselesaan, hati mereka tetap percaya kepada Yesus. Tetapi, malang menimpa hidup mereka; kegagalan dalam rumahtangga, masalah kewangan, hilang pekerjaan, penyakit menimpa dan banyak keadaan lagi, hati mereka mulai hilang kepercayaan kepada Yesus. Hati mereka goyah dan akhirnya meninggalkan Yesus lalu ‘menjual’ iman mereka kepada hal-hal yang mampu menyelesaikan masalah hidup mereka. Ada di antaranya ‘menjual’ iman dengan murtad daripada Yesus, ada juga yang akhirnya menjerumuskan diri dengan dosa malahan ada yang mengambil keputusan untuk membunuh diri. Betapa tragisnya kehidupan manusia yang memiliki hati rapuh seperti ini.
Keadaan hati ketiga seperti yang digambarkan oleh Yesus adalah mereka yang bertahan hidup sebagai orang Kristian tetapi iman dan rohani mereka tidak memiliki pertumbuhan yang sihat. Orang Kristian seperti ini lazimnya sentiasa dirundung masalah bertubi-tubi tetapi mereka tetap bertahan mengakui hidup mereka sebagai orang Kristian. Malahan ada juga manusia yang tetap mengaku Kristian sepanjang hidup mereka tetapi kehidupan rohani dan pelayanan mereka di hadapan Allah tidak memiliki impak yang menonjol. Iman mereka mulai tumpul; hubungan peribadi dengan Tuhan tidak pernah bertumbuh. Mereka rajin datang ke gereja, tetapi gaya hidup doa tidak konsisten. Mereka rajin membaca firman Tuhan tetapi praktik firman Tuhan tidak mendapat posisi utama dalam kehidupan mereka. Meskipun mereka masih beriman kepada Yesus tetapi mereka tidak memiliki ghairah dalam mengikuti Tuhan. Keadaan hati seperti ini bukan sahaja membebankan hidup mereka tetapi sebenarnya berpotensi menjadi tapak yang hancur oleh kuasa iblis pada bila-bila masa sahaja.
Tetapi, keadaan hati yang subur menurut Yesus adalah apabila seorang Kristian memilih untuk tetap beriman kepada-Nya sepanjang waktu dan keadaan hidup mereka. Orang Kristian yang memiliki hati yang subur adalah mereka yang mendengar firman Tuhan dalam hati dengan tulus ikhlas lalu berusaha melakukan firman Tuhan dengan sungguh-sungguh untuk kemuliaan Tuhan dan berkat bagi orang lain. Orang Kristian seperti ini memiliki hai hamba yang sentiasa sedia untuk melayani sesama manusia dan tetap memiliki kerendahan hati untuk dipimpin oleh Roh Kudus di setiap langkah dalam hidupnya. Orang Kristian seperti ini memiliki keadaan hati yang sentiasa memandang Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamatnya sepanjang waktu. Ketika berada dalam keadaan sukacita, dia akan bersorak-sorai memuliakan Tuhan; dalam keadaan penuh cabaran pun, hatinya penuh dengan sukacita berseru kepada Yesus untuk memulihkan dan menguatkan imannya.
Setiap kita menyedari keadaan hati masing-masing. Jika keadaan hati kita adalah subur sepanjang masa, inilah waktunya untuk kita membantu mereka yang lemah dan berikanlah berkat-berkat kebenaran firman Tuhan kepada mereka; sokong mereka dalam doa, bimbing mereka kepada kebenaran firman Tuhan melalui persekutuan atau lawatilah mereka untuk menghiburkan hati mereka. Jika selama ini keadaan hati anda adalah seperti yang pertama sehingga ketiga, maka kembalilah kepada Yesus dan mohon pemulihan daripada-Nya. Kuatkan iman di dalam Yesus dan hadirilah persekutuan bersama orang percaya lain. Persekutuan yang indah bersama orang Kristian akan memberikan baja yang subur kepada hati kita sehingga kita menikmati kesegaran hidup. Kehidupan doa juga akan menjadi lebih indah apabila hati kita dibaja dengan kebenaran firman Tuhan. Apakah keadaan hatimu? Datanglah kepada Yesus dan mohon kepada-Nya untuk memulihkan keadaan hatimu. Haleluyah!
– Jonathan Nafesy El Ram®