Kasih-Nya Kekal Abadi

622

Dia tidak melupakan kita apabila kita dikalahkan;
kasih-Nya kekal abadi.
Dia membebaskan kita daripada musuh-musuh kita;
kasih-Nya kekal abadi.
Dia memberikan makanan kepada semua makhluk hidup;
kasih-Nya kekal abadi.
Bersyukurlah kepada Allah penguasa di syurga;
kasih-Nya kekal abadi.
– Mazmur 136:23-26

Nyanyian mazmur ini mengingatkan kita bahawa sesunguhnya kita adalah ciptaan-Nya dan bukan berada di atas kekuasaan Allah sang penguasa. Ketika kita dikalahkan oleh musuh, pemazmur menyatakan bahawa kasih Allah kekal abadi; Allah membebaskan kita kerana kasih-Nya kepada kita kekal abadi; Allah menyediakan makanan kepada semua hidupan kerana kasih-Nya yang kekal abadi kepada setiap ciptaan-Nya sehingga akhirnya perkara utama yang kita harus lakukan adalah bersyukur kepada Allah kerana kasih-Nya yang kekal abadi. Bersyukur mengajarkan orang Israel untuk menerima kenyataan bahawa hidup mereka sesungguhnya berada di dalam jagaan Allah akibat daripada kasih-Nya yang kekal abadi kepada mereka. Ketika Israel ingin mempelajari sikap mengucap syukur terhadap kasih Allah, mereka juga menyedari bahawa sesungguhnya kasih Allah itu kekal abadi. Kekal abadi bermakna tidak pernah berkesudahan kasih Allah kepada mereka, kekal abadi juga boleh difahami bahawa Allah mengasihi mereka meskipun mereka kalah dalam peperangan akibat kedegilan mereka tidak mematuhi perintah Allah dalam hal menentang musuh. Kasih yang kekal abadi dari Allah juga dibuktikan oleh Allah apabila Allah sendiri membebaskan mereka daripada musuh-musuh yang mengalahkan mereka. Kasih kekal abadi Allah juga jelas dibuktikan-Nya apabila segala makhluk diberikan makanan dalam rantaian makanan secara tertib. Begitu besar kasih Allah kepada dunia dan isinya sehingga kasih Allah itu tidak pernah berkesudahan. Itulah yang disedari oleh pemazmur dalam mazmur yang dinyanyikan dalam bab 136 ini. Bait 23-26 ini berfungsi sebagai ringkasan daripada tindakan agung Allah terhadap umat Israel yang sentiasa menyertai bahkan menguatkan mereka dalam segala sisi kehidupan mereka. Bahkan, bait-bait dalam ayat-ayat tersebut juga menunjukkan betapa Allah sungguh mengasihi segala kehidupan ciptaan-Nya dari awal lagi. Demikianlah Allah yang menyertai dan menopang hidup kita.

Bersyukur bermakna tidak ada keraguan di dalam diri kita bahawa Allah tidak pernah memperhatikan hidup kita dalam keadaan apa sekalipun. Allah ada dan sentiasa bersama-sama dengan kita di dalam segala situasi kehidupan kita. Ketika ini, kita diperhadapkan dengan cabaran akibat pandemik Covid-19 yang mengguncang seluruh dunia. Sama ada kita penyembah kepada Allah atau mereka yang tidak menyembah Allah yang benar, kita semua sama-sama menghadapi situasi yang serupa; hilang pekerjaan dan sumber kewangan, hilang kebebasan sosial secara fizikal, mengalami gangguan emosi akibat tekanan dan tidak sedikit yang mengalami gangguan mental akibat pandemik ini. Kita boleh sahaja berputus asa dengan usaha untuk mencari pekerjaan, tetapi yakini satu perkara bahawa Allah memberikan makanan kepada semua makhluk hidup (ayat 25). Itu bermakna selama kita berjuang untuk terus hidup, maka Allah akan memberkati kita dengan sumber yang sewajarnya. Yesaya 55:8-9 mencatatkan bahawa sesungguhnya rancangan dan jalan Allah tidak akan pernah sama dengan apa yang kita rancang dan jalani dalam kehidupan kita. Sama keadaannya dengan apa yang kita alami dalam pandemik ini, kita tidak merancang untuk tiada pekerjaan, kita tidak merancang untuk menjalani hidup penuh dengan tekanan. Tetapi yakinilah bahawa apabila kita menyerahkan segala kerisauan kita kepada Allah, maka Dia akan meresponi dengan luarbiasa. 1 Petrus 5:7 berkata, “Serahkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Allah, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.’’ Tapi, ingati sentiasa bahawa ketika kita menyerahkan kekhuatiran kita kepada Allah, kita dituntut untuk merendahkan diri kerana itulah yang diajarkan oleh Petrus dalam suratnya sebelum ayat 7 ini; “…rendahkanlah diri kamu ke bawah tangan Allah yang berkuasa, supaya Dia meninggikan kamu pada masa yang ditetapkan-Nya.’’ Inilah sebenarnya yang dituntut oleh Allah kepada kita iaitu merendahkan diri dihadapan-Nya. Merendahkan diri bermakna kita sujud menyembah dihadapan-Nya dengan ucapan syukur walaupun keadaan kita sangat sukar, walaupun kita sendiri tidak memahami keadaan yang kita alami. Allah mahu kita bersujud dan bertelut dihadapan-Nya dan membenarkan diri kita untuk dikuasai oleh Allah. Jika kita akhirnya menyerahkan diri kepada-Nya dalam penyerahan total, kita akan menyedari bahawa selama ini Allah sudah menunjukkan kasih-Nya terhadap kita. Tetapi kita tidak sedari kerana kita terlalu sibuk memikirkan sendiri cara untuk keluar dari masalah-masalah yang kita hadapi.

Kerjakanlah bahagian kita selama kita masih diberikan kesempatan oleh Allah untuk hidup di dunia ini. Meskipun terlalu banyak halangan yang kita sedang hadapi, tetapi kita sebagai orang Kristian tidak boleh ‘ponteng’ daripada menghadiri persekutuan indah bersama Tuhan di dalam doa peribadi, kita tidak boleh sibuk 24 jam dengan keperluan diri kita dengan alasan keperluan hidup tetapi mengabaikan hubungan dan tanggungjawab kita terhadap Allah. Kita adalah penyembah Allah dan sembahlah Dia dengan hati yang penuh dengan kerendahan dan berserah. Ketika kita menyedari betapa kasih Allah itu sudah ada dan sentiasa ada terhadap kita, maka hidup kita pasti akan berkemenangan kerana dikuasai oleh-Nya sahaja.

Tetaplah berjuang dalam pergumulan hidupmu.
Jangan berputus asa, tetapi ambillah keputusan untuk berserah kepada Allah.
Allah yang penuh kuasa akan memberkati kita menurut kekayaan-Nya di dalam Yesus Kristus. Kasih-Nya kekal abadi. Imanuel!

– HT Ram Jonathan®