Jawapan pendek: Tiada!

Barangsiapa yang mendakwa bahawa budaya K-Pop adalah cara halus untuk menyebarkan agama Kristian di negara-negara lain (termasuk Malaysia) adalah golongan yang senantiasa cuba menegakkan benang yang basah. 

Untuk mempertimbangkan persoalan tersebut, tepuk dada, tanya selera, “Apakah jenis nilai-nilai Kristian yang terterap di dalam budaya K-Pop?” Akal diberi oleh Allah kepada setiap insan, jadi saya berharap bahawa semua orang mengambil kesempatan untuk berfikir dengan bijak tanpa menyalahgunakan kurnia Allah.  

Sesiapa yang menonton video muzik serta meneliti gaya hidup bintang-bintang K-Pop dan membandingkannya dengan ajaran Yesus Kristus akan tahu bahawa terdapat banyak percanggahan di antara kedua-dua “dunia” tersebut.

Boleh dikatakan bahawa imej seorang idola K-Pop sangat, sangat penting. Tidak kira lelaki mahupun perempuan, mereka semua perlu menjaga imej diri tanpa menjadi batu sandungan. Malah, ramai antara mereka perlu ditimbang setiap minggu supaya berat badan akan terus konsisten dengan imej yang ingin disampaikan kepada para peminat. Gaya hidup ini meletakkan banyak tekanan ke atas idola K-Pop.

Kematian Goo Hara berlaku setengah tahun setelah dia disyaki cuba membunuh diri sebelum itu. Sumber: Wong Maye-E/AP

Mati Awal (bunuh diri, kemalangan, kemurungan)

Lewat ini, mayat idola K-Pop Goo Hara yang berusia 28 tahun telah ditemui. Tidak dinafikan bahawa industri hiburan mengandungi banyak jenis tekanan, dan Goo Hara bukan penghibur pertama yang mati pada usia yang muda. Malah, ramai lagi idola K-Pop yang menemui ajal mereka sewaktu masih muda. Antara mereka yang sudah mati termasuk Jonghyun dari kumpulan SHINee (bunuh diri) pada 2018, Seo Jaeo-ho (kemalangan jalanraya pada 3am sewaktu pengurusnya memandu kumpulan mereka) pada 2004, Tany (kemalangan jalanraya pada 2.30am) pada 2018, So Jin dari kumpulan April (bunuh diri) pada 2015, U:Nee yang berumur 25 tahun (gantung diri) pada 2007. Adakah ini satu contoh yang bagus untuk menyebarkan agama Kristian?

Ajaran Yesus bertentangan dengan gaya hidup K-Pop yang penuh dengan tekanan dan cabaran. Matius 11:28 menyatakan, “Marilah ke sisi-Ku (Yesus), wahai semua yang jerih lelah dan memikul beban berat; Aku akan memberimu kelegaan.”

Penampilan Diri

Bandingkan gaya hidup yang dipaparkan di kebanyakan muzik video K-Pop. Apakah perasaan yang timbul sewaktu anda menonton video-video tersebut? Orang muda yang kaya-raya, memandu kereta mewah, mempunyai pasangan yang sangat cantik/tampan, dan menikmati kehidupan berlandaskan ciri-ciri hedonis. Secara singkat, corak kehidupan tersebut memberi cadangan yang halus bahawa hidup anda tidak lengkap jikalau anda tidak tampan/cantik, kekurangan wang, tidak bergerak di kalangan orang kenamaan, dan lain-lain kekurangan. Daya tarikan sebegini selari dengan cara Iblis cuba menggoda Yesus (Lukas 4:1-4). 

Iblis membawa Yesus ke satu tempat yang tinggi lalu dalam sekelip mata, Iblis menunjukkan kepada-Nya semua kerajaan di dunia. Iblis berkata kepada-Nya, “Segala kekuasaan ini dengan kemuliaannya akan kuberikan kepada-Mu kerana semuanya itu telah diserahkan kepadaku dan aku boleh memberikannya kepada sesiapa jua yang aku suka. Jadi, jika Engkau menyembahku, semuanya itu akan menjadi kepunyaan-Mu.”

Tetapi Yesus menjawab, “Telah tersurat, ‘Hendaklah engkau menyembah Tuhan, Allahmu dan kepada-Nya sahaja engkau beribadat.’

Alkitab tidak mengajar kita supaya mengejar kekayaan dan keselesaan di dunia ini. Di sebaliknya, 1 Yohanes 2:15 menyatakan “Jangan kasihi dunia ini atau sesuatu di dalamnya. Jika seseorang mengasihi dunia ini, maka kasih terhadap Bapa tidak ada dalam dirinya.”

1 Timotius 2:9-10 memberi iktibar kepada cara kita berpakaian, “Aku juga menyeru kaum perempuan supaya berpakaian serta menghias diri dengan sopan santun dan sederhana. Jangan berhias dengan jalinan rambut yang berlebihan atau dengan emas ataupun mutiara mahupun pakaian yang mahal-mahal. Hiasi diri dengan perbuatan baik, yang sepatutnya bagi perempuan yang mengaku kesolehannya.” Sila maklum bahawa konteks ayat tersebut pada hari ini juga boleh diguna untuk jantina lelaki juga. Yang pentingnya adalah kita sebagai Kristian menghiasi diri bukan dengan gaya fesyen terkini, tetapi dengan perbuatan baik.

Ada pula percubaan jahat lain yang mendakwa bahawa World Mission Society Church of God yang berasal dari Korea Selatan itu Kristian, tetapi dakwaan tersebut telah dihancurkan. Selain daripada itu, golongan-golongan kultus yang lain seperti Saksi Yehovah, Mormon dan Freemason yang seringkali dikaitkan sebagai agama Kristian oleh pihak yang tidak bertanggungjawab juga diterangkan dengan lebih lanjut. Sila bacakan artikel-artikel di bawah untuk gambaran penuh:

Soalan: Bagaimanakah anda boleh mendekatkan orang lain kepada agama Kristian melalui dunia K-Pop ataupun K-Drama yang seringkali menekankan cara hidup duniawi?

Jawapan: Memang mustahil!

Mungkin penggunaan kereta Korea Selatan seperti Kia dan Hyundai sebagai alasan untuk menyebarkan agama Kristian jauh lebih bernas. Ini adalah kerana kereta jenama Kia dan Hyundai telah mula dianggap sebagai jenama kereta yang boleh dipercayai, sama seperti Yesus Kristus. Mazmur 18:2 menyatakan, “Tuhan ialah batu pejalku, kubuku dan penyelamatku; Allahku batu pejalku, kepada-Nya aku berlindung. Dialah perisaiku, tanduk penyelamatanku, benteng pertahananku.”

Kegagalan berfikir secara waras akan berakhir dengan corak pemikiran yang terpesong. Golongan yang mengaitkan K-Pop/K-Drama  sebagai salah satu cara halus untuk menyebarkan agama Kristian di merata negara sebenarnya melakukan kerja Iblis. Ini adalah kata-kata Yesus Kristus sendiri, “Bapamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih cenderung menurut kehendak bapamu. Dari mulanya lagi, Iblis pembunuh. Dia tidak menyokong kebenaran, kerana dalam dirinya tidak ada kebenaran. Apabila dia berdusta, dia bercakap dari sifat tabiinya sendiri, kerana dia pendusta dan bapa segala dusta” (Yohanes 8:44)

Kita terus doakan golongan yang sesat dan ingin menjatuhkan agama Kristian melalui penyebaran maklumat palsu, penyelidikan yang tidak bertauliah serta fitnah yang terus terang supaya mereka bertaubat dan mengenal Yesus Kristus sebagai Penyelamat peribadi mereka. Ini adalah ajaran Yesus juga, supaya kita mengampuni mereka yang jahat terhadap kita, serta doakan mereka “…kerana dengan berbuat demikian, kamu menimbunkan bara api ke atas kepalanya…” (Amsal 25:22).

Semoga anda diberkati Tuhan Yesus Kristus.