Apabila tubuh yang fana sudah diganti dengan tubuh yang abadi, dan tubuh yang akan mati sudah diganti dengan tubuh yang tidak dapat mati, maka berlakulah apa yang tertulis di dalam Alkitab, “Kematian sudah dilenyapkan, dan kemenangan sudah tercapai!”

“Hai maut, di manakah kemenanganmu?

Hai maut, di manakah sengatmu?”

1 Korintus 15: 54-55

Semua manusia di dunia ini pasti memiliki sekurang-kurangnya satu ketakutan yang sama iaitu takut ketika meninggal dunia. Bagi orang yang tidak memiliki Tuhan dalam kehidupan mereka, mereka takut apa yang akan terjadi selepas mereka mati; harta benda yang ditinggalkan, keluarga yang ditinggalkan atau juga kehidupan mereka selepas kematian. Sedangkan bagi orang yang memiliki Tuhan dan percaya kepada neraka dan Surga, mereka memiliki ketakutan sama ada iman mereka cukup untuk membawa mereka ke Surga atau kehidupan mereka di dunia akan menjadikan mereka sebagai penghuni kekal di neraka. Ketakutan seperti ini adalah nyata kerana hujung hidup manusia semuanya berakhir dengan kematian. Tetapi, sedarkah kita bahawa kita hanya ‘hidup dua kali, mati sekali’ atau ‘hidup sekali, mati dua kali’ sahaja?

Semasa Rasul Paulus menuliskan bahagian daripada surat ini kepada jemaah di Korintus, perkara utama yang Paulus ingin sampaikan adalah mengenai kekuasaan Yesus sebagai Tuhan yang telah mengalahkan dosa dan maut. Yesus hidup sepenuhnya sebagai manusia tetapi juga berkuasa sepenuhnya sebagai Tuhan pernah mati ketika disalibkan, tetapi bangkit dan hidup pada hari ketiga. Kebangkitan Yesus membuktikan bahawa Dia adalah Tuhan dan hanya dalam Yesus ada kehidupan selamanya. Menjadi orang Kristian seharusnya merupakan satu kebanggaan kepada kita kerana kita akan hidup selamanya bersama Yesus di kerajaan-Nya. Menjadi Kristian menjadikan kita ‘hidup dua kali, mati hanya sekali’; bermaksud bahawa kita hidup semasa lahir ke dunia ini, menerima Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat peribadi kita sehingga akhirnya nafas kita di dunia ini, maka kita meninggal. Tetapi, apabila Yesus datang kembali untuk kali kedua ke dunia ini, Dia akan membawa kita kepada kerajaan-Nya dan hidup selamanya bersama denganNya di kerajaan Surga. Itulah antara maksud yang cuba Rasul Paulus sampaikan di 1 Korintus 15:20, apabila dia menyatakan ‘Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian’; Kristus sudah mengalahkan kematian dan kuasa maut. Bukan sahaja sebagai bukti ketuhanan-Nya tetapi sebagai jaminan bahawa hanya di dalam Yesus sahaja adalah kehidupan pasti iaitu keselamatan kekal dan abadi.

Berbeza pula halnya dengan mereka yang tidak mempercayai Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka. Mereka yang tergolong dalam kumpulan bukan Kristian atau mengakui diri Kristian tetapi sekadar lahir dari keluarga Kristian tanpa memiliki hubungan intim dengan Yesus dan tidak beriman sepenuhnya kepada Yesus. Golongan seperti ini golongan manusia yang mungkin memiliki kesenangan semasa hidup mereka di dunia ini; sama ada secara jujur atau menipu dalam bisnes, bernikah dan beragama mengikut pasangan yang tidak seiman atau juga manusia yang memilih untuk tidak mempercayai sebarang kuasa termasuk Tuhan berkuasa iaitu Yesus. Malang bagi orang seperti ini adalah apabila mereka ‘hidup sekali, mati dua kali’. Simpulan bahasa yang sinonim adalah ‘sudah jatuh, ditimpa tangga’. Mereka hidup kerana lahir sebagai manusia di dunia ini hasil daripada cinta pasangan ibubapa, tetapi bila tiba masanya untuk nafas akhir mereka maka mereka akan meninggal dunia. Tetapi, lebih parah adalah kerana mereka tidak beriman kepada Yesus, maka mereka tidak akan memiliki kehidupan kekal bersama Yesus di kerajaan-Nya. Mereka sebaliknya akan mengalami kematian kekal di neraka, yang pernah digambarkan oleh Matius sebagai perapian kekal (Matius 25:41) dan mendapatkan penghukuman kekal selamanya (Matius 25:46). Tidak ada kebahagian di dalam neraka melainkan kesengsaraan yang lebih hebat daripada kesengsaraan apapun yang pernah manusia alami di dunia ini semasa hidup.

Lalu, untuk apakah kita memiliki kehidupan bersama Yesus selama kita berada di dunia ini? 1 Korintus 15:58 menjelaskan bahawa selama kita masih hidup di dunia ini, kita perlu menjadi pejuang iman iaitu memiliki keteguhan dan kukuh dalam mempertahankan hidup kita sebagai Kristian. Paulus mengajarkan kita untuk melayani Tuhan dalam apa sahaja yang kita lakukan selama berada di dunia ini; dalam keluarga kita, lingkungan persekolahan, lingkungan masyarakat umum yang kita hidupi di dunia ini. Dalam erti kata lainnya, kita harus menjadi ‘garam dan terang’ di mana sahaja kita berada. Bukan untuk mengejar keselamatan daripada Yesus lagi, tetapi mengajarkan kasih Yesus kepada seluruh dunia sehingga akhirnya mereka mahu mengenal Yesus dan menerima Dia sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka.

Yesus Kristus, Kau Tuhan dan Penyelamat ku,

Terima kasih untuk hidup baharu yang Kau berikan.

Ajari aku menjadi penyembah Mu yang taat dan setia;

menjadi berkat dan teladan bagi semua orang.

Saat aku tidak menemukan cara memberkati orang lain,

biarlah hikmat dan kasih Mu terus membimbing ku;

agar aku tidak lelah bertahan dan tetap bekerja untuk memuliakan Mu.

Amin.