Yesus menjawab, “Di dalam Alkitab tertulis, ‘Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang difirmankan oleh Allah.’”
– Lukas 4:4

Pada dua edisi renungan yang lepas, perkongsian diambil dari perikop Lukas 4 dengan fokus pada dua jawapan Yesus terhadap Iblis yang berusaha menggoda-Nya. Ternyata bahawa dua jawapan Yesus kepada si Iblis telah digagalkan oleh kuasa dari kata-kata Yesus. Akhirnya si Iblis meninggalkan Yesus untuk sementara waktu. Pada renungan yang akan datang, fokus akan lebih tertumpu kepada usaha semula si Iblis yang kembali mencubai Yesus.

Pada renungan ini kali ini, mari kita sama-sama belajar kebenaran daripada jawapan Yesus yang dicatatkan oleh Lukas pada bab 4:4. Ketika Yesus baharu menyelesaikan ibadah puasanya selama 40 hari dan 40 malam (ayat 2a), pencubaan pertama yang Iblis tawarkan kepada Yesus adalah memerintahkan batu menjadi roti (ayat 3). Keadaan manusia yang berpuasa selama 40 hari pasti dalam tahap kelaparan dan Yesus mengalami keadaan itu apabila dalam kata-kata akhir dari ayat 2 menyatakan bahawa Yesus lapar. Ini membuktikan kepada kita bahawa meskipun Yesus adalah 100% Allah, tetapi Dia juga 100% manusia sejati; iaitu antara bukti awal selain kelahiran normal secara manusiawi, Dia juga memiliki kelemahan tubuh iaitu kelaparan. Daripada kelemahan ini, Yesus ditawarkan percubaan pertama oleh Iblis dengan mengubah batu menjadi roti. Tetapi, Yesus memberikan jawapan yang tidak disangka-sangka oleh Iblis iaitu, manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja, tetapi juga dengan firman oleh Allah. Yesus memahami kitab Taurat dan Yesus menggunakan kuasa firman Tuhan yang direkodkan dalam kitab Taurat iaitu Ulangan 8:3. Kisah dalam kitab Ulangan 8:3 secara ringkasnya adalah mengenai manusia yang diberikan roti yang tidak wujud di dunia ini sebelumnya iaitu manna dari Allah. Tetapi, kerana kedegilan bangsa Israel yang menuntut berbagai perkara daripada Allah, maka Allah memberikan peringatan kepada mereka bahawa mereka harus hidup dengan tiap-tiap firman TUHAN.

Yesus mengutip ayat dari kitab Ulangan ini untuk menentang si Iblis dan ternyata bahawa Iblis juga tahu akan kebenaran firman Tuhan ini sehingga dia tidak berdebat dengan Yesus. Sesungguhnya, firman Tuhan merupakan makanan utama setiap orang Kristian. Firman Tuhan memberikan hidup kepada kerohanian orang Kristian; ketika kita berhadapan dengan pergumulan kebenaran dan kepalsuan di dunia ini, firman Tuhan akan menjadi panduan hidup kita. Firman Tuhan juga memberikan sumber kehidupan emosi kita; saat kita mengalami persoalan hidup kerana berhadapan dengan manusia yang tidak menghormati dan tidak menyembah Yesus, maka firman Tuhan akan menjadi jawapan kepada kita bahawa hanya ada satu Tuhan dan Penyelamat manusia iaitu Yesus Kristus. Firman Tuhan juga mampu memimpin kehidupan kita secara fizikal; waktu kita memiliki keinginan-keinginan tidak terkendali seperti ingin makan sepuas hati kita atau menikmati aktiviti duniawi sepuas hati kita, firman Tuhan akan mengingatkan kita untuk bersyukur dengan apa yang ada dan jangan mengingini sesuatu di luar batasan. Firman Tuhan adalah pedang bermata dua, mengetahui baik buruk dan mengajarkan kebenaran baharu daripada Tuhan serta menegur kita daripada melakukan kejahatan. Begitu hebatnya kuasa firman Tuhan itu kepada Yesus, sehingga kita sebagai pengikut-Nya juga turut menikmati kuasa firman Tuhan yang sama.

Sejauh mana masa kita dalam merenungkan kebenaran firman Tuhan setiap hari? Adakah kita hanya menjadikan firman Tuhan sebagai hiasan di meja pejabat, koleksi buku bacaan atau sekadar membeli Alkitab untuk menunjukkan anda Kristian? Semoga andaian-andaian ini tidak tepat dan anda sebaliknya adalah penelaah firman Tuhan yang setia. Memiliki hubungan intim dengan kebenaran firman Tuhan itu sendiri bahkan menjadikan Yesus yang menjadi Firman Tuhan yang hidup (Yohanes 1:1) dan akhirnya menjadi sumber hidup kita selamanya (Yohanes 1:4). Tanpa firman Tuhan, kerohanian kita akan lemah dan akhirnya mati. Tanpa firman Tuhan, hidup kita yang sentiasa berhadapan pergumulan akan terus dihimpit tekanan hidup. Kerana itu, jadikanlah firman Tuhan sebagai panduan hidup serta kompas hidup kita setiap hari. Pencubaan dari si Iblis tidak pernah meninggalkan kita selamanya, mungkin saja dia akan kembali lagi setelah gagal menggoda anda pada masa sebelumnya. Kerana itu adalah sifat si Iblis; menggoda dan terus menggoda manusia sehingga manusia meninggalkan Yesus. Sesungguhnya manusia yang meninggalkan Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka adalah manusia paling malang di dunia ini. Anda boleh saja memiliki pekerjaan yang baik, keluarga yang harmoni atau kedudukan yang tertinggi, tetapi ketika anda meninggalkan Tuhan Yesus, anda sedang melangkahkan sebelah kaki anda ke api neraka. Firman Tuhan adalah perisai iman kita dalam menghadapi serangan Iblis.

Yesus Kristus,
Jadikanlah aku taat dan setia dalam menelaah firman-Mu.
Bukan untuk kemegahan di khalayak ramai,
tetapi untuk perisai hidupku.
Berikanlah hikmat kebenaran kepada ku,
semoga setiap masa bersama-Mu dalam firman akan menjadikan diriku lebih teguh.
Ku ingin hidup hanya dalam dakapan kasih-Mu.
Ku ingin hidup hanya dalam kebenaran firman-Mu.
Amin.