“Saya bukan seorang yang jahat, tetapi mengapa orang Kristian mendakwa bahawa mereka sahaja yang boleh masuk ke syurga?”
Kebanyakan daripada orang ramai berfikir bahawa mereka adalah orang yang bagus. Mereka tidak membunuh, tidak mencuri, tidak bercakap bohong, dan tidak berzina. Mereka juga membayar cukai kepada kerajaan serta melakukan banyak amalan seperti menolong balu dan anak-anak yatim piatu, memberi sedekah, berpuasa untuk mendapat pahala. Pendek kata, ramai orang rasa bahawa kalau perbuatan baik (atau pahala yang dikumpul) melebihi perbuatan jahat/dosa mereka, yakni itu sudah mencukupi untuk memasuki syurga selepas menghembus nafas yang terakhir.
Apabila ditujukan soalan kepada mereka yang berfikir begitu, “Adakah jumlah perbuatan baik kamu mencukupi pada saat kematian untuk syurga menerima rohmu?”, antara jawapan-jawapan yang seringkali didengar adalah, “Aku tidak pasti”, “Kalau Tuhan izinkan”, ataupun “Insya Allah”. Ini kerana hanya sanubari manusia kenal bahawa Allah yang maha mengetahui sahaja mampu melakukan yang betul. Abraham sendiri mengakui, “Bukankah Hakim semesta bumi akan berlaku adil?” (Kejadian 18:25)
Doktrin Dosa Asal
Orang Kristian percaya pada doktrin dosa asal (original sin). Doktrin ini menyatakan bahawa semua manusia berdosa kerana Adam dan Hawa telah melanggar perintah Allah selepas termakan buah larangan walaupun diberitahu sebelum itu supaya tidak melakukan begitu. Oleh kerana itu, setiap insan yang lahir selepas itu sudah dicemari dengan dosa. Ia sangat penting untuk mengingati bahawa dosa asal adalah keadaan seseorang dari segi rohani dan jasmani, bukan kerana sesuatu yang dilakukan.
Boleh dikatakan bahawa dosa asal yang merupakan punca semua yang tidak baik di dalam hidup ini: dari kerakusan orang ke kes mendera anak, bayi yang lahir dalam keadaan cacat, ketidakadilan, dan sebagainya. Ia juga menimbulkan satu soalan yang seringkali ditanya, “Kalau Allah seorang yang baik, mengapakah Dia masih membenarkan kesakitan dan kesengsaraan berlaku di dalam hidup ini?”
Kerana wujudnya dosa asal, orang Kristian tahu bahawa mereka memerlukan seorang Juruselamat. Alkitab menyatakan bahawa “…semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah” (Roma 3:23).
Oleh itu, tidak kira betapa banyak amalan baik yang telah dilakukan, soalan utama masih perlu dijawab, “Bagaimana pula dengan dosa-dosa lain?” Wujudnya carta yang menyatakan bahawa satu amalan baik cukup untuk menebus satu dosa? Apakah kriteria di dalam sistem agama-agama lain yang berdasarkan konsep mengumpul pahala, karma, ataupun melabur di dalam saham akhirat apabila tiada piawai atau sukatan untuk menerangkan pahala mana yang dapat menebus pelbagai jenis dosa?
Pemikiran begini juga tidak masuk akal di dalam kehidupan harian. Andaikan kamu seorang yang selalu menyumbang duit ke rumah anak yatim piatu. Malangnya pada satu hari, kamu kurang prihatin dan terlanggar seorang penunggang motosikal dari belakang dengan kereta kamu. Di hadapan mahkamah, bolehkah kamu buat rayuan kepada hakim bahawa kamu membuat sumbangan bulanan kepada rumah anak yatim piatu, jadi amalan baik tersebut boleh menebus kesalahan kamu dalam peristiwa kemalangan tersebut? Memang tidak! Jadi, mengapa di dalam hal-hal rohani, idea atau konsep ini dialu-alukan, malah disebar? Hanya manusia fana sahaja yang boleh memikirkan cara tersebut kerana pemikiran kita terhad. Tetapi Allah yang maha mengetahui mempunyai jalan lurus yang jauh berbeza, dan Dia mengalu-alukan kamu supaya mengikut jalan yang lurus tersebut.
Tetapi Alkitab tidak menyatakan bahawa terdapat doktrin dosa asal!
Terdapat segelintir orang yang menujukan bantahan tersebut dengan hujah-hujah seperti kisah Penciptaan di dalam Kejadian 2 dan 3, di mana Adam dan Hawa termakan buah larangan dan dihukum dengan sewajarnya tanpa menyatakan wujudnya dosa asal dari detik tersebut. Rasul Paulus di dalam surat kepada jemaah di Roma juga menyentuh pasal Adam dan Kristus, di mana Paulus berbicara tentang cara dosa diwarisi oleh manusia, serta menekankan mengapa tiada orang selain daripada Yesus Kristus yang layak menjadi Juruselamat dunia.
Baca: Siapakah yang bersalah: Adam atau Hawa?
Pandangan yang menyokong doktrin dosa asal berdasarkan kesimpulan daripada seluruh Alkitab. Konsep doktrin dosa asal diajar dalam banyak petikan Alkitab seperti “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa orang itu membawa kematian” (Roma 5:12), “Oleh itu sebagaimana umat manusia dihukum kerana dosa satu orang; dengan cara yang sama semua orang dibebaskan daripada kesalahan dan diberikan hidup, kerana perbuatan satu orang yang melakukan kehendak Allah” (Roma 5:18), dan “Sebagaimana semua orang mati kerana tergolong satu dengan Adam…” (1 Korintus 15:22). Tidak hairan Raja Daud menulis di dalam Mazmur 51:5, “Aku telah dilahirkan dalam kejahatan, dan dalam dosa ibuku mengandungkan aku.” Di dalam kitab Efesus 2:2 pula, ia menyatakan bahawa orang yang berdosa adalah golongan “…yang tidak taat kepada Allah.” Seterusnya, Paulus menekankan di dalam Efesus 2:3 bahawa seperti “…orang lain, kita pun kena kemurkaan Allah.” Walaupun Allah menciptakan manusia tanpa dosa pada awalnya, bangsa manusia terjerumus ke dalam dosa kerana keingkaran Adam.
Sepertimana tiada perkataan Tritunggal di dalam Alkitab, keseluruhan Alkitab senantiasa merujuk kepada kewujudan Doktrin Tritunggal.
OK, saya mengakui saya seorang yang berdosa. Apakah yang harus saya lakukan?
Siapakah yang kamu sanggup ikut? Orang yang tahu dari mana dia berasal, di mana dia akan pergi serta jalan ke destinasi? Atau kamu sudi mempertikai roh abadi kamu ke dalam ajaran lain yang tidak boleh memberi keyakinan keselamatan pada saat kematian?
Tonton: Bolehkah seorang Kristian hilang keselamatannya?
Tuhan Yesus sendiri kenal siapakah Diri-Nya: bahawa Dia adalah Anak Allah yang tunggal, diutus untuk menyelamatkan dunia (Yohanes 3:16). Dia juga tahu dari mana Dia datang setelah menyatakan bahawa “…Anak Manusia yang turun dari syurga” (Yohanes 3:13). Selain daripada itu, Dia tahu di manakah Dia akan pergi selepas kebangkitan-Nya (Yohanes 14:3). Yang paling penting sekali adalah, jalan mana yang seseorang harus pilih supaya memperoleh hidup yang kekal di syurga selepas mati? Yesus sendiri menyatakan bahawa Dia adalah Jalan, Kebenaran dan Hidup. Tiada orang yang boleh datang kepada Allah kecuali melalui Dia (Yohanes 14:6). Kalau kalian telah lama berdoa supaya Allah menunjukkan jalan yang lurus, sudikah kamu mempertimbangkan Yesus sebagai Juruselamat kamu? Saya berdoa supaya saudara membuat pilihan yang betul dan bijak.