Tetapi Timotius, hendaklah engkau tetap berpegang kepada ajaran benar yang sudah diajarkan kepadamu dan yang engkau percayai dengan sepenuhnya. Engkau mengetahui siapa guru-gurumu dahulu, dan sejak kecil lagi engkau telah mengenal Alkitab. Alkitab itu boleh memberi engkau kebijaksanaan untuk mendapat penyelamatan melalui iman kepada Kristus Yesus.
2 Timotius 3:14-15

Jika kita menanam benih dari buah rambutan, tidak mungkin buahnya adalah durian; demikianlah hidup manusia. Jika kita mengatakan kita adalah orang Kristian, tidak mungkin kita mahu menghasilkan kesaksian yang bertentangan dengan firman Tuhan. Tetapi kenyataanya adalah sangat terlalu ramai orang yang mendakwa diri mereka Kristian masih berpegang pada amalan-amalan hidup di luar Kristus. Sejarah Alkitab mencatatkan bahawa akan ada banyak kesaksian-kesaksian dari orang Kristian yang bertentangan dengan firman Tuhan. Paulus dalam suratnya kepada Timotius menyenaraikan beberapa daripada kejahatan-kejahatan orang Kristian dan manusia sejagat lakukan seperti yang terdapat dalam 2 Timotius 3:2-4, 6-7. Sehingga pada ayat 14-15, Paulus memberikan nasihat berbentuk peringatan kepada Timotius untuk memperhatikan kehidupannya sendiri dengan cara dia harus berpegang teguh pada ajaran benar serta mengetahui siapa pengajar benar dan siapa pengajar palsu. Dua petua dari Paulus kepada Timotius ini sangat penting dan faktor utama Timotius diingatkan untuk menggunakan ukuran tersebut adalah kerana Paulus tahu Timotius sudah mengetahui kebenaran firman Tuhan sejak awal hidupnya (ayat 16).

Sekurang-kurangnya ada dua perkara yang dapat kita pelajari dari dua ayat tersebut. Pertama adalah, berpegang teguh pada ajaran benar. Sebagai orang Kristian, tujuan hidup kita adalah untuk memiliki kebenaran firman Tuhan dan mengamalkan kebenaran firman Tuhan itu. Alkitab merupakan buku panduan yang sempurna untuk kita jadikan sebagai sumber kebenaran. Alkitab tidak ditulis oleh para penulis melalui idea mereka sendiri, sebaliknya Alkitab adalah ilham Roh Kudus (ayat 16). Roh Kudus tidak akan pernah mengajarkan kejahatan melainkan kebenaran semata-mata. Maka untuk meneguhkan iman, orang Kristian harus memiliki ikatan yang kuat dengan firman Tuhan yang terdapat dalam Alkitab. Roh Kudus yang hidup dalam kita akan memberikan kita pengertian demi pengertian untuk memahami inti dari firman yang diilhamkan-Nya.

Perkara kedua adalah mengetahui pengajar benar dan pengajar palsu. Internet dan teknologi media elektronik menawarkan maklumat di hujung jari kita pada zaman ini. Tetapi, kerana internet dan media elektronik juga, kita ditawarkan dengan pelbagai kesesatan maklumat dan kepalsuan pengajaran. Ramai yang mengirimkan perkongsian firman Tuhan untuk tujuan peribadi seperti menarik minat orang untuk menyukai halaman media sosial mereka sahaja, menarik viewer yang banyak untuk dapatkan bayaran dari pihak berwajib sahaja. Cabaran-cabaran lain adalah kewujudan guru-guru palsu di dalam gereja masing-masing akibat persiapan kutbah yang tidak memiliki dasar firman Tuhan yang jelas dan teliti. Dalam usaha kita meneguhkan iman, Paulus menekankan kepada Timotius untuk menjauhkan orang seperti itu (ayat 5b). Jangan terjebak dengan permainan sesat mereka walaupun mendakwa diri orang Kristian. Perhatikan juga gereja-gereja sesat dan orang-orang rohani yang sesat ajaran mereka dengan merujuk kepada pemimpin rohani anda di dalam dan luar gereja.

Orang Kristian yang mahu memiliki mentaliti pahlawan Kristus harus siap berhadapan dengan pengajar palsu tetapi dalam masa yang sama harus siap untuk melengkapi diri dengan senjata iman mereka iaitu kebenaran firman Tuhan yang diamalkan dengan benar! Jangan terpengaruh dengan pengajar yang kelihatan ramai pengikut atau ramai komen dari kiriman mereka di media sosial, tetapi anda sendiri malas untuk mengkaji kebenaran-kebenaran dari firman Tuhan yang mereka kongsikan. Firman Tuhan adalah kebenaran yang diungkapkan kesuciannya oleh Roh yang suci. Pengajar lain sentiasa ada tujuan peribadi untuk menyatakan pengajaran mereka, tetapi Roh Kudus hanya mahu menyatakan kebenaran dan tidak akan kepalsuan dari dalam Roh Kudus.

Roh Kudus yang suci dan berkuasa atas ku,
Jamahlah hati ku untuk menerima ajaran Mu dengan lebih sungguh.
Roh Kudus yang suci dan berkuasa atas ku,
Bukalah mata ku melihat kebenaran Mu dan menolak kepalsuan dari guru palsu.
Roh Kudus yang suci dan berkuasa atas ku,
Hikmat dan kebijaksanaan dari Mu sahaja, itu yang aku mahu.

Amin.