Image Credit: Malaysiakini
Image Credit: Malaysiakini

Kes 1MDB telah menarik perhatian orang ramai lewat ini. Nor Salwani Muhammad, yang bekerja di Jabatan Audit Negara, mendedahkan di Makhamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia telah menyimpan salinan laporan audit 1MDB secara rahsia walaupun diperintah oleh pihak atasan (ketua audit negara Ambrin Buang) untuk memusnahkannya untuk menutup jejak langkah penyelewengan wang. Hal ini berlaku pada tahun 2016. 

Salinan asal laporan audit 1MDB ini diserahkan kepada pihak makhamah sebagai bukti yang membabitkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Najib Abduk Razak, kerana dialah yang memberi arahan untuk menukar kandungan laporan audit. 

Oleh kerana seorang wirawati bernama Nor Salwani Muhammad berani mengingkari arahan dari pihak atasan untuk mempertahankan kebenaran tanpa mengambil kira keselamatan diri ataupun keluarganya, hal ini didedahkan kepada semua pada hari ini. Tanpa insan seperti Nor Salwani yang takut akan Allah, pihak yang menyeleweng duit berbilion ringgit mungkin tidak akan dihukum kerana kekurangan bukti. 

Dari segi alkitabiah, apa yang kita boleh belajar dari peristiwa ini? Sebagai orang Kristian, apakah yang seorang harus lakukan apabila bertemu dengan situasi di mana pihak atasan ataupun undang-undang negara bercanggah dengan perintah Allah?

Jawapan yang paling senang dijumpai dalam Kisah Para Rasul 5:29, ‘Petrus dan rasul yang lain menjawab, “Kami harus taat akan Allah, bukan manusia!”’

Petrus dan rasul yang lain menjawab, “Kami harus taat akan Allah, bukan manusia!”

– Kisah Para Rasul 5:29

Salah satu contoh lagi boleh didapati dalam kitab Daniel. Daniel 3 menceritakan bagaimana Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, tiga orang Yahudi yang dilantik sebagai pemerintah di bawah naungan Raja Nebukadnezar mengingkari arahan Raja Nebukadnezar untuk menyembah berhala. Oleh kerana perbuatan mereka bertiga yang berlandaskan prinsip kesetiaan kepada Allah dan bukan manusia, mereka dijatuhkan hukuman mati. Inilah kata-kata ketiga-tiga umat Allah, “Tuanku, kami tidak akan cuba membela diri. Jika Allah yang kami sembah itu sanggup menyelamatkan kami dari relau yang bernyala-nyala dan daripada kuasa tuanku, Dia akan menyelamatkan kami.” 

Iman mereka bersinar dengan lebih terang lagi dalam kenyataan yang seterusnya, “Tetapi seandainya Dia tidak melakukannya juga, hendaklah tuanku maklum bahawa kami tidak akan menyembah dewa tuanku mahupun sujud menyembah patung emas yang tuanku dirikan itu.”

Malaysia adalah negara majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Kami sebagai orang Kristian di bumi yang diberkati Tuhan perlu mengingati identiti diri sendiri. Walaupun kami adalah warganegara Malaysia, kami juga pengikut Tuhan Yesus Kristus. Oleh itu, apabila anda dan saya berdepan dengan situasi di mana kesetiaan peribadi dipersoal dalam hal yang bercanggahan, kepada pihak manakah yang anda akan pilih?

Ramai lagi di Malaysia yang masih belum mendengar Berita Baik. Walaupun undang-undang negara melarang agama Kristian daripada disebarkan kepada pihak yang tertentu, adakah ini sesuatu yang dilarang oleh Allah di dalam Alkitab? Renungkanlah atas tanggungjawab dan mandat yang diberi oleh Yesus kepada anda dan saya.

Tuhan berkati.