Walaupun Sabda Harian telah menulis tentang kebenaran Alkitab dan mengapa kandungan dan makna Alkitab tidak pernah diubah oleh kerana Allah telah berjanji memelihara Firman-Nya, masih ada lagi dakwaan yang timbul dari semasa ke semasa tentang keraguan kebenaran Alkitab. 

Salah satu ayat Alkitab kegemaran golongan yang tidak bertauliah dan licik ini memakai adalah Yeremia 8:8. 

Berani betul kamu katakan bahawa kamu bijaksana dan mengetahui hukum-Ku (Taurat)! Lihatlah, hukum-Ku sudah diubah oleh guru-guru agama yang tidak jujur.” (Yeremia 8: 8)

Golongan ini juga mendakwa bahawa “Di dalam kitab Bible tidak ada kata-kata ‘ALLAH akan menjaganya Bible atau ALLAH telah menurunkannya’. Bahkan di dalam Bible itu sendiri tidak memiliki perkataan ‘Bible’ kerana perkataan itu baru diperkenalkan dan dinamakan setelah selesai penghimpunan buku-buku para nabi Yahudi terdahulu dengan perjanjian baru (gospels) lalu dinamakan sebagai Biblos di dalam bahasa Greek yang bermaksud himpunan buku-buku.” Mereka menyatakan bahawa ini adalah kerana “sikap manusia yang mengubah ajaran.”

Sebagai seorang Kristian yang yakin pada kebenaran Alkitab, bagaimanakah anda menjawab dakwaan palsu tersebut?

 

Konteks, konteks, konteks!

Salah satu kesalahan asas yang selalu dilakukan oleh golongan ini adalah memetik ayat dari luar konteks. Hal ini tidak sepatutnya berlaku jika seseorang adalah serius dalam mengkaji dan mendalami Alkitab, mahupun penulisan, jurnal, ataupun bahan kajian dalam mana-mana bidang pun. 

Mengapa Sangat Penting Untuk Mendalami Alkitab Mengikut Konteks?

Apakah konteks yang berkaitan dengan ayat Yeremia 8:8?

Dalam hal menyelidiki Alkitab (ataupun buku-buku yang lain), konteks petikan tersebut sangat penting. Yeremia 8:8 merupakan salah satu bahagian daripada khutbah Yeremia tentang Bait Suci yang terkandung dalam Yeremia 7:1-10:25. 

Petunjuk yang sangat penting adalah Firman Allah kepada nabi Yeremia dalam Yeremia 8:7: “Bahkan burung ranggung di udara tahu akan musimnya. Burung tekukur, burung layang-layang, dan burung bangau tetap ingat akan masa kedatangannya, tetapi umat-Ku tidak mengetahui hukum Tuhan.” Allah TIDAK menyatakan bahawa mereka tidak MEMPUNYAI hukum Tuhan. Di dalam ayat seterusnya, Allah menyatakan dengan jelas bahawa harapan palsu bangsa Israel terhadap tanggapan bahawa mereka mempunyai hukum Tuhan sudah mencukupi dan dapat membawa manfaat, walaupun mereka tidak perlu patuh kepadanya dan jika mereka mentafsirnya dengan cara yang salah.

Anda Boleh Mempercayai Kandungan Alkitab!

Tepuk dada, tanya selera. Bukankah teguran daripada Allah kepada bangsa Israel beribu tahun dahulu masih relevan terhadap golongan yang berniat jahat ini? Sayangnya, mereka adalah anak Iblis seperti yang dikatakan Yesus, “Bapamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih cenderung menurut kehendak bapamu. Dari mulanya lagi, Iblis pembunuh. Dia tidak menyokong kebenaran, kerana dalam dirinya tidak ada kebenaran. Apabila dia berdusta, dia bercakap dari sifat tabiinya sendiri, kerana dia pendusta dan bapa segala dusta” (Yohanes 8:44).

Marilah kita meneliti empat ayat yang seterusnya, kerana ini adalah penjelasan daripada nabi Yeremia sendiri tentang hal “hukum-Ku sudah diubah”. 

9 Orang bijak akan menjadi malu, mereka terkejut lalu tertangkap. Sesungguhnya, mereka telah menolak firman Tuhan. Kebijaksanaan apakah yang ada pada mereka?

10 Oleh sebab itu Aku akan menyerahkan isteri mereka kepada orang lain, dan ladang-ladang mereka kepada orang yang akan merebutnya. Yang terkecil sampai kepada yang terbesar, semuanya mengejar laba. Baik nabi mahupun imam, semuanya melakukan penipuan. 

11 Mereka mengubati luka puteri umat-Ku dengan menganggapnya ringan, kata mereka, “Sejahtera, sejahtera!” Padahal tidak ada kesejahteraan. 

12 Adakah mereka merasa malu ketika mereka melakukan kekejian? Tidak, mereka tidak malu sama sekali! Bahkan mereka tidak menyedari aib mereka. Oleh sebab itu mereka akan jatuh di antara orang yang jatuh, mereka akan tersandung pada waktu Aku menghukum mereka,” demikianlah firman Tuhan.

Apakah kelakuan guru-guru agama yang sebenar? Konteks yang jelas nyata adalah ini: guru-guru agama (Taurat), para imam dan nabi palsu sentiasa memberitakan kesejahteraan kepada bangsa Israel, bahawa hukum Tuhan ditaati, dan Allah menyertai mereka oleh kerana kesetiaan umat-Nya. Namun demikian, Allah melihat kedustaan mereka, dan menyatakan bahawa penipuan ini amat dikeji. Allah tidak mengatakan bahawa hukum-Nya ataupun kandungan Taurat telah diubah. Di sebaliknya, Allah memberitahu Israel bahawa terdapat peristiwa salah tafsir dan pengajaran palsu yang didakwa berasal daripada hukum Taurat kepada umat-Nya . 

Guru-guru agama pada zaman Yeremia berdusta dan berkata, “sejahtera, sejahtera” walaupun nabi yang benar, Yeremia, memberi mesej yang berlainan bahawa bangsa Israel tidak akan mengenali kesejahteraan. Allah telah mengisytiharkan hukuman-Nya ke atas kota Yerusalem kerana umat-Nya telah menyembah allah yang lain dan tidak taat kepada-Nya. Musuh-musuh Israel akan datang menewaskan mereka dan Allah TIDAK AKAN membantu mereka. Jelas nyata Yeremia 8:8 tidak ada kena mengena dengan perubahan kandungan Alkitab, tetapi tentang pengajaran palsu dan memberi nubuatan palsu sambil mendakwa ia berpunca daripada hukum Taurat. Ajaran yang terkandung dalam hukum Taurat tentang akibat menolak Allah diabaikan, tetapi di sebaliknya mereka menekankan kebaikan Allah yang ada dalam hukum Taurat walaupun terikat dengan syarat-syarat Allah. 

Apakah sebab di belakang harapan palsu guru-guru agama ini? Yeremia 8:10 memberitahu kita bahawa guru-guru agama dan nabi palsu ini mengejar laba. Namun demikian, umat Allah hanya mahu mendengar perkhabaran yang baik ataupun penipuan dalam bentuk horoskop yang menyenangi diri sendiri, dan bukan kebenaran dan seruan untuk bertaubat yang berlandaskan Firman Allah. Oleh kerana mengejar laba, mereka sanggup menggadai kebenaran Firman Allah untuk keuntungan sementara yang berdasarkan penipuan dan janji palsu.

Yeremia 7:1-29 melihat nabi Yeremia mengisytiharkan penghakiman Allah terhadap umat-Nya di Yerusalem, di mana orang Israel berfikir bahawa mereka selamat hanya kerana Bait Suci Tuhan terletak di kota tersebut, dan Allah memang tidak akan membenarkan sesiapapun menewaskan Bait Suci-Nya. Yeremia menentang corak pemikiran yang palsu ini di dalam Yeremia 7:4-15.

Jadi, sewaktu Allah berfirman bahawa “hukum-Ku sudah diubah oleh guru-guru agama”, mereka bersalah bukan kerana telah mengubah tulisan atau Taurat, tetapi mengikut tafsiran yang salah. Mereka melakukan demikian oleh kerana mengejar laba dan lebih takut pada manusia daripada Allah sendiri. Secara tidak langsung, Yeremia berkata mereka tidak “mempunyai” hukum Taurat kerana mereka tidak MENGIKUT hukum Taurat. Kehadiran hukum Taurat dalam bentuk naskhah ataupun buku serta kewujudan Bait Suci Tuhan tidak dapat mengelakkan seseorang ataupun seluruh bangsa daripada menghadapi penghakiman Allah, tetapi hanya melalui ketaatan kepada Firman-Nya. Mereka tidak menukar sebarang tulisan yang terkandung dalam hukum Taurat, tetapi mengendalikannya dengan penuh penipuan seperti yang dinyatakan dalam Yeremia 8:8. 

Mengetahui hukum Taurat tidak memberi keuntungan kepada sesiapapun jika anda tidak patuh kepadanya. Akibat pada akhirnya juga sama seperti mereka yang tidak mengetahui hukum Taurat. Inti pengajaran ini boleh dilihat secara konsisten di seluruh Alkitab, dari Perjanjian Lama ke Perjanjian Baru.

Yesus menghakimi guru-guru agama di dalam Matius 23, dan Dia tidak pernah menyoal kebenaran Taurat pada zaman-Nya. Jika Yeremia 8:8 memang merujuk kepada pemalsuan Taurat, mengapakah Yesus tidak pernah ungkitkan hal ini, malah Dia telah banyak kali merujuk kepada Taurat sewaktu mengajar (Matius 4:4 merujuk kepada Ulangan 8:3,  Matius 4:7 merujuk kepada Ulangan 6:16, Matius 4:10 merujuk kepada Ulangan 6:13, Matius 5:21 merujuk kepada Keluaran 20:13, Matius 5:27 merujuk kepada Keluaran 20:14 dan Ulangan 5:18, Matius 5:31 merujuk kepada Ulangan 24:1, Matius 5:33 merujuk kepada Bilangan 30:2 dan Ulangan 23:21, Matius 5:38 merujuk kepada Keluaran 21:23-25, Imamat 24:19-20 dan Ulangan 19:21, Matius 15:1-6 merujuk kepada Keluaran 20:12 dan 21:17, Matius 19:4-6 merujuk kepada Kejadian 1:27 dan Kejadian 2:24, Matius 19:17-20 merujuk kepada Keluaran 20:12-16, Ulangan 5:16-20 dan Imamat 19:18, Matius 22:31-32 merujuk kepada Keluaran 3:6, Yohanes 8:12-13, 17-18 merujuk kepada Ulangan 17:6 dan 19:15, Lukas 4:17-19, 21 merujuk kepada Yesaya 61:1-2, Matius 9:13 merujuk kepada Hosea 6:6, Matius 10:35-36 merujuk kepada Mikha 7:6, Matius 11:10 merujuk kepada Maleakhi 3:1, Matius 13:14-15 merujuk kepada Yesaya 6:9-10, Markus 7:6-7 merujuk kepada Yesaya 29:13, dan banyak lagi. 

Salah satu bukti nyata di mana golongan yang berpaksi kepalsuan menyebarkan dusta serta menyalah tafsir Yeremia 8:8 dibongkar oleh Yesus. Di dalam Matius 21:13, Markus 11:17 dan Lukas 19:46, Yesus berkata, “Telah tersurat, ‘Rumah-Ku akan dipanggil rumah doa, tetapi kamu telah menjadikannya sarang pencuri.'”

Yeremia 7:11 menyatakan, “Adakah Bait yang disebut dengan nama-Ku ini sudah kamu anggap sebagai sarang penyamun? Sesungguhnya, Aku sendiri melihatnya,” demikianlah firman Tuhan.”

Nampaknya golongan ini mendakwa Yesus sebagai pembohong dan penipu tanpa disedari. Mereka yang suka menyesatkan orang lain secara sengaja wajar mengikut nasihat Paulus di dalam 2 Timotius 2:15, “Berusahalah supaya ternyata kamu diredai Allah, seorang pekerja yang tidak perlu berasa malu, yang menyebarkan kebenaran dengan sewajarnya.

Benarkah Alkitab Pernah Dipalsukan?

Seseorang boleh menyebarkan kebenaran secara wajar atau salah. Yang tidak boleh dinafikan adalah pentafsiran yang salah dan bebal berlaku SETELAH wujudnya Firman Allah yang masih kekal sampai hari ini. Sesiapa yang menyalahguna Firman Allah akan berada di bawah kutukan Dia. 

Jika anda telah menyalahguna ataupun salah tafsir ayat-ayat Alkitab, Allah sanggup mengampuni dosamu setelah anda bertaubat dan mengakui dosamu, sambil meminta Tuhan Yesus menjadi Tuhan dan Allahmu.

Semoga Roh Kudus menyentuh hati mereka yang menyalahguna Firman Allah untuk menyesatkan orang lain, supaya mereka kembali ke pangkal Jalan yang Lurus. Yesus sudah mengisytiharkan Diri-Nya sebagai “…jalan, kebenaran dan hidup. Tiada seorang pun datang kepada Bapa kecuali melalui-Ku” (Yohanes 14:6). Dia ingin bersahabat denganmu, dan jemputan-Nya sedemikian, “Dengarlah! Aku berdiri di hadapan pintu sambil mengetuk. Jika seseorang mendengar suara-Ku dan membuka pintu, Aku akan masuk ke rumahnya. Aku akan makan bersamanya dan dia bersama-Ku” (Wahyu 3:20).

Tuhan berkati.