Tiba-tiba Yesus datang menemui wanita-wanita itu dan berkata, “Sejahteralah kamu.” Mereka menghampiri Dia, memegang kaki-Nya, dan menyembah Dia. “Janganlah takut,” kata Yesus kepada mereka, “pergilah beritahu saudara-saudara-Ku supaya pergi ke Galilea; di sana mereka akan melihat Aku.
– Matius 28:9-10

Ketika Yesus ditangkap dan disalibkan, para murid seolah-olah telah kehilangan harapan bahawa Mesias, Sang Penebus yang akan membebaskan mereka dari segala masalah ekonomi, status sosial dah rohani. Mereka menghilangkan diri bahkan ada juga murid Yesus yang memilih untuk menolak mengakui Yesus sebagai Gurunya. Tetapi ketika Yesus dibangkitkan pada hari ketiga, perkara pertama yang Yesus lakukan adalah bertemu dengan para pengikut-Nya! Yesus sendiri datang menemui para pengikut-Nya yang pada ketika itu masih dalam kebingungan apabila melihat bahawa gua tempat mayat Yesus ditempatkan telah kosong! Lalu, Yesus menghampiri wanita-wanita itu dan menyampaikan tiga khabar baik kepada mereka. Membayangkan bahawa betapa sedihnya para pengikut Yesus selama Yesus ditangkap dan disalibkan sehingga mati tetapi tiba-tiba peribadi Yesus datang kepada mereka, haleluyah! Yesus yang mereka percayai sebagai Raja Damai, pembebas manusia dari belenggu dosa dan Tuhan yang menyelamatkan telah bangkit dan datang menemui mereka!

Sebaik sahaja Yesus menemui para wanita itu, Yesus menyapa mereka dengan sapaan terpenting iaitu, “sejahteralah kamu”. Dalam bahasa asli penulisan Alkitab ia ditulis sebagai “kairete” yang membawa maksud ‘bersukacita’. Bersukacita yang diungkapkan setiap kali bertemu dengan orang yang dikasihi dan pastinya bukan kepada seseorang yang tidak kita harapkan untuk temui. Tetapi, Yesus dalam segala keadaan-Nya yang baru sahaja bangkit dari kematian mengucapkan kalimah ini kepada para pengikut-Nya. Yesus mahu menyatakan kepada mereka bahawa sesungguhnya Dia adalah Raja yang mereka nantikan selama itu untuk memberikan sukacita kepada mereka. Sukacita yang akan membawa pembebasan kepada hidup mereka di dunia ini tetapi terlebih lagi memberikan mereka sukacita kekal iaitu memiliki kehidupan yang baharu hasil daripada kemenangan-Nya mengalahkan maut dan mengalahkan dosa! Sebaik sahaja mereka melihat Yesus dan mendengar sapaan Yesus, mereka menyembah Yesus kerana mereka tahu Yesus adalah Tuhan dan Penyelamat mereka.

Khabar kedua yang Yesus bawakan kepada mereka adalah, “janganlah takut”. Ini merupakan perkataan yang sangat dalam maknanya kepada mereka. Ini kerana selama Yesus ditangkap dan disalibkan sehingga kematian-Nya, mereka hidup dalam ketakutan; mereka berkurung dalam rumah dan seringkali mengelak daripada disoal oleh orang lain yang mahu melibatkan mereka dengan Yesus. Ketakutan yang membuat mereka hilang harapan hidup dan sentiasa takut diburu oleh pemerintah yang mahu menghapuskan jejak pelayanan Yesus. Tetapi saat Yesus bangkit, para murid-Nya menerima jaminan ini dari mulut Yesus sendiri. Yesus memberikan jaminan kepada mereka untuk tidak takut menghadapi cabaran yang mereka telah alami sebelumnya bahkan untuk tidak takut kepada cabaran yang mereka akan alami pada masa akan datang sebagai murid-murid-Nya. Di dalam Yesus tidak akan ada lagi ketakutan yang dapat mengalahkan mereka. Buktinya jelas apabila para murid Yesus sendiri telah mati syahid dalam memberitakan Injil selama hidup mereka.

Perintah dalam ayat 10 yang Yesus berikan kepada para wanita itu juga merupakan khabar kepada para murid sebaik sahaja Yesus bangkit dari kematian-Nya. Yesus memerintahkan mereka untuk memberitahu kepada pengikut-Nya yang lain untuk datang ke Galilea dan mereka akan melihat Yesus. Yesus yang mereka harapkan menjadi Raja dan Penyelamat akhirnya akan menunaikan janji-Nya kepada mereka. Mereka akan bertemu semula dengan Yesus dan Yesus akan memberikan mereka jaminan demi jaminan bahkan penrintah agung yang akan membuat mereka dikenali di seluruh dunia pada masa itu sehingga masa akan datang untuk selama-lamanya. Dalam Matius 28:19-20, Yesus memerintahkan para murid-Nya untuk memberitakan Injil dan menjadikan semua bangsa di dunia ini sebagai bangsa kerajaan Allah. Dengan hanya bertemu Yesus dan melihat Yesus, mereka akan diberikan kuasa untuk menjadi duta kerajaan Syurga. Suatu pertemuan yang sungguh amat bernilai untuk mereka!

Apakah anda sudah menemui Yesus dalam kehidupan anda? Atau adakah Yesus sudah menemukan anda? Ramai yang berkata bahawa mereka mengenali Yesus, tetapi nampaknya mereka mengenali Yesus hanya dari nama yang mungkin disebut-sebut dalam keluarga atau kawan-kawan; sekadar mengenal tapi tidak menemui Yesus. Tidak kurang juga yang kenal Yesus melalui pembacaan dan tidak menikmati persekutuan dengan-Nya; sekadar mengenal tetapi tiada hubungan intim dengan Yesus. Jika hari ini anda belum mengenal Yesus, ambillah peluang ini untuk membuka hati anda untuk Yesus menemukan anda. Jaminan daripada Yesus apabila Dia menemui anda adalah; anda akan memiliki damai sejahtera kerana anda dalam kuasa Tuhan dan Penyelamat yang telah mengalahkan maut dan dosa, anda tidak akan hidup dalam ketakutan yang dunia tawarkan kerana Yesus memberikan perlindungan dan penjagaan-Nya 24/7, bahkan anda akan menjadi ahli kerajaan kekal yang diperintah oleh Allah dan anda akan menjadi duta kerajaan-Nya untuk selama-lamanya. Kebangkitan Yesus sesungguhnya memberikan harapan yang kukuh dan jaminan yang pasti kepada semua manusia di dunia ini. Bersyukurlah kerana Yesus telah menemukan anda. Berdoalah jika anda belum menemukan anda dan mohon agar Yesus mengetuk pintu hati anda untuk bertemu dengan anda seterusnya hidup di dalam diri anda. Yesus bangkit!!! Haleluyah!

Yesus Kristus, Raja Damai
Anugrahkanlah kesejahteraan kepada hidupku.
Yesus Kristus, Pemerintah Kekal
Teguhkan hatiku untuk melangkah dalam pimpinan kuasa-Mu.
Yesus Kristus, Penyelamat Manusia
Temukanlah aku dan jadikanlah aku bangsa kerajaan-Mu.
Ku buka hati ini untuk menjadi hamba-Mu.
Ini aku, utusla aku menjadi duta kerajaan-Mu.
Jadilah kehendak-Mu di bumi seperti di dalam Syurga.
Amin.