Oleh itu, Yesus berkata lagi, “Apa yang Aku katakan ini benar: Akulah pintu bagi kawanan domba. Semua yang datang sebelum Aku adalah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mendengarkan suara mereka.
– Yohanes 10: 7-8

Pengakuan daripada Yesus mengenai pelayanan-Nya kepada manusia di dunia ini Dia gambarkan sebagai seorang Gembala, bahkan dengan karakter yang sangat spesifik iaitu Gembala yang baik. Bukan setakat menyatakan tujuan-Nya sebagai Gembala yang baik, tetapi Yesus juga menegaskan bahawa semua yang datang sebelum-Nya adalah penjahat yang dikategorikan sebagai pencuri dan perompak. Itulah sebabnya bangsa Yahudi pada masa kedatangan-Nya sangat tertarik untuk mengikuti ajaran-Nya kerana Dia melakukan banyak mujizat dan memberikan pengajaran yang tidak berpusat kepada kepentingan agama dan kelompok tertentu sahaja. Yesus membawakan damai sejahtera kepada semua orang yang membukakan hidup mereka untuk dipelihara oleh-Nya. Yesus memberikan kepastian iman akan keselamatan kekal kepada setiap mereka yang mempercayai-Nya sebagai Gembala yang baik. Secara ringkas, latar belakang daripada penyataan Yesus di dalam petikan firman Tuhan ini bermula apabila Yesus mengadakan mujizat kesembuhan seperti yang dijelaskan dalam Yohanes 9. Namun, disebalik pelayanan yang dilakukan oleh Yesus, orang Farisi dan pastinya rakan sekongkol mereka berusaha untuk mencari kesalahan daripada pelayanan dan pengajaran Yesus. Oleh itu, Yesus menempelak usaha mereka itu dengan menyatakan diri-Nya sebagai Gembala yang baik.

Gembala bagi kawanan domba merupakan pekerjaan yang sangat menuntut keperibadian yang teruji dalam menjalankan tugas mereka. Meskipun hanya menjadi gembala untuk domba sendiri, mereka tetap perlu memiliki keberanian yang tinggi untuk menjaga keselamatan domba ternakan kerana ia sentiasa berhadapan dengan risiko binatang buas yang mahu menerkam dan membunuh. Gembala juga perlu memiliki kejujuran dalam menjaga domba kerana setiap domba yang dijaga mudah untuk tersesat dan tidak mampu kembali kepada kawanannya sendiri melainkan dicari oleh sang gembala itu sendiri, tidak harus dibiarkan sesat kerana mereka akan mati sendirian. Tanpa kejujuran dan keberanian, gembala domba tidak akan dapat menjadi gembala yang baik kepada dombanya. Yesus menyatakan bahawa Dia adalah Gembala yang baik; kerana Dia melindungi domba jagaan-Nya dari ajaran sesat, memberikan ketenangan kepada domba-Nya ketika berhadapan dengan persoalan hidup, memberikan didikan yang benar demi kesucian hidup para domba-Nya dan bukan demi kepentingan sendiri. Yesus diteladani oleh para domba-Nya untuk hidup bersatu. Ketika ada anak-anak domba yang tersilap langkah, maka gembala dari domba itu akan menemukan mereka semua.

Sebagai sebuah keluarga dalam tubuh Kristus, kita semua adalah para domba yang telah dipimpin oleh kebenaran firman Tuhan dan kebenaran iman keselamatan di dalam Kristus. Dia yang telah mati dan bangkit membuktikan bahawa kuasa-Nya telah mengalahkan segala pengajar sesat yang menolak Dia sebagai Tuhan dan Penyelamat manusia. Kebangkitan-Nya telah membuktikan bahawa Dia adalah Gembala yang sentiasa mahu mendapatkan semula para domba yang tersesat. Itulah yang Dia lakukan sebaik sahaja Dia bangkit dari kematian-Nya; Dia menemui para wanita yang datang mencari mayat-Nya, Dia menemui dua lelaki yang sedang dalam perjalanan ke Emaus, bahkan Dia bersama-sama dengan para murid-Nya dari hari pertama kebangkitan-Nya sehingga hari terakhir Dia berada di dunia ini sebelum kembali ke Surga. Yesus menjaga para domba-Nya dengan cukup setia dan memberikan bekalan iman serta dorongan rohani kepada mereka. Itulah sebabnya para murid Yesus berjuang sehingga ke titisan darah mereka yang terakhir demi pemberitaan Injil ke seluruh dunia.

Adakah kita masih menjadi domba yang tersesat sehingga saat ini? Kita boleh saja disesatkan oleh pengajaran menyeleweng dari para hamba Tuhan yang mementingkan kemasyhuran nama dan wang ringgit, atau agama yang menolak Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat Tunggal manusia. Ataupun, kita boleh memilih untuk menjadi domba yang setia di dalam jagaan Gembala Agung iaitu Yesus Kristus melalui keluarga Kristian yang memuliakan Allah Tritunggal dengan sepenuhnya. Malahan, jika kita mahu menjadi gembala yang baik maka kita harus belajar menjadi murid yang baik daripada Gembala Agung; mengajarkan kebenaran firman Tuhan, memberikan perlindungan kepada jemaah dan sesama manusia tanpa mengira bangsa atau agama, mengasihi sesama manusia demi misi kemanusiaan seperti yang Yesus lakukan dan banyak hal lagi yang kita boleh teladani daripada Peribadi ini. Jika hari ini kita masih menantikan jawapan untuk iman keselamatan kita, maka satu sahaja yang boleh menjawab persoalan anda; YESUS ADALAH PENYELAMAT PERIBADI anda. DIA menawarkan keselamatan yang kekal kerana DIA sendiri telah berjuang melawan maut dan menang di dalam kuasa kebangkitan-Nya! Yesus adalah Gembala yang melindungi anda dan saya sebagai domba kesayangan-Nya. Haleluyah!

Yesus Kristus, Gembala yang baik;
Perlindungan yang Kau berikan memberikan aku ketenangan.
Meski aku dalam bahaya, aku tahu Engkau menjagai aku.
Saat aku dalam lembah kekelaman, aku tahu Engkau akan menemukan aku.
Bila aku bersama-Mu, aku tidak takut bahaya kerana Engkau memberikan aku aman.
Amin.

– HT Ram Jonathan