Pada hari terakhir perayaan itu, dan juga hari yang paling penting, Yesus berdiri lalu berkata dengan suara lantang, “Sesiapa yang dahaga hendaklah datang kepada-Ku untuk minum. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, ‘Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dari dalam hatinya akan memancar mata air yang memberikan hidup.’”
– Yohanes 7: 37-38
Perayaan penting yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah perayaan kesyukuran oleh bangsa Israel untuk hasil tuaian mereka sepanjang tahun dan ia dikenali sebagai Perayaan Pondok Daun. Perayaan ini sangat penting kerana ia menjadi satu kesaksian besar-besaran oleh bangsa ini bahawa mereka sangat menghargai penyertaan kasih TUHAN dalam kehidupan mereka. Ini merupakan perayaan utama di Bait Allah (Bilangan 29) kerana menjadi peringatan perjalanan keluar mereka dari Mesir (Imamat 29) dan pada masa itu mereka tinggal di dalam pondok-pondok. Lalu, pada masa Bait Allah masih kukuh berdiri di Yerusalem, perayaan Pondok Daun juga diraihkan dengan menuangkan air ke atas mazbah Bait Allah dengan tujuan memohon hujan turun untuk musim menanam seterusnya. Yesus mengambil kesempatan ini untuk memberitakan tawaran keselamatan kepada semua orang yang menghadiri perayaan ini dan menyatakan bahawa sesiapa sahaja yang mahu menikmati kehidupan kekal, mereka harus datang kepada-Nya. Ini kerana hanya air hidup yang datang daripada Yesus sahaja yang akan dapat memberikan kehidupan kekal. Air hidup itu sendiri bukanlah sesuatu benda yang dapat dibeli atau dimiliki dengan status bangsa, status sosial, status ekonomi atau kekuasaan mereka, tetapi air hidup itu sendiri adalah peribadi YESUS. Sehingga ketika Yesus berkata, “sesiapa yang percaya kepada-Ku”, untuk menunjukkan bahawa ada sebuah jaminan hubungan pasti dan kekal yang akan berlanjutan antara Yesus dan manusia yang menerima-Nya sebagai Air Hidup. Hubungan itu tidak pasif tetapi sangat aktif kerana Yesus sangat menekankan karakter peribadi sebagai sebuah teladan. Maka itulah sebabnya Yesus berkata, “dari dalam hatinya akan memancar air yang memberikan hidup.” Ini kerana Yesus mahu orang Kristian sentiasa memancarkan karakter yang baharu hasil daripada penerimaan mereka pada AIR HIDUP. Yesus mahu mereka menunjukkan kesan positif iaitu menjadi berkat kepada orang yang berada di sekeliling mereka. Kesan positif yang kita ketahui sebagai ‘cahaya’ dan ‘garam’ sesuai dengan kata-kata Yesus sendiri di dalam Matius 5: 13-14. Kristian yang menikmati kehidupan baharu di dalam YESUS dituntut untuk terlibat secara aktif memberikan pengaruh di dalam dunia sekitar mereka.
Demikianlah Yesus menanggapi perayaan Pondok Daun yang menjadi perayaan kebanggaan bangsa Israel dan seterusnya bangsa Yahudi lalu dijadikan-Nya sebagai satu jambatan untuk memberitakan Injil keselamatan. Yesus tidak membazirkan sedikit masa pun dengan hal-hal yang tidak mendatangkan kebaikan kepada manusia. Setiap kali Yesus melihat peluang menyampaikan Injil, Dia akan memberitakan Injil! Bagaimana dengan saya dan anda sekalian? Apakah kita memilih untuk membazirkan masa yang kita miliki di dunia ini hanya untuk diri sendiri tanpa menjadi pengaruh kepada orang di sekitar kita? Jika kita memilih hidup untuk diri sendiri, maka kita akan menderita lebih banyak masa kerana kita tidak ada sahabat untuk berdoa bersama-sama, tidak ada sahabat untuk kita kasihi atau paling minima adalah kita tidak ada sahabat untuk saling memberkati. Semua manusia di dunia ini dididik untuk hidup berkomuniti dan memiliki tujuan untuk membawa pengaruh kepada sekitar mereka. Yesus tidak membuang masa-Nya untuk hal peribadi tetapi hanya melakukan hal-hal (kita fahami sebagai ‘pelayanan’) yang memuliakan Bapa (Matius 7:21). Kita sebagai orang Kristian harus meneladani Yesus dalam tindakan-Nya. Jangan kita membazirkan masa kita. Inilah masanya (selama masih ada nafas hidup) untuk kita memberitakan Injil! Seperti lirik dari sebuah lagu, “Hidup ini adalah kesempatan, hidup ini untuk melayani Tuhan, jangan sia-siakan waktu yang Tuhan b’ri, hidup ini harus jadi berkat”.
Beritakanlah Yesus sebagai Peribadi yang memberikan hidup. Marilah kita terus memberikan damai sukacita yang kekal kepada orang di sekeliling kita. Beritakan bahawa ada satu sumber kehidupan yang tidak akan pernah habis kebaikannya; Yesus satu-satunya Sumber kehidupan, Yesus adalah Air Hidup. Jika minum dari air yang ada di dunia ini, manusia akan sentiasa haus bahkan tidak sedikit air yang beracun, tetapi Yesus sebagai Air Hidup bukan sahaja memberikan kesihatan tubuh dan emosi, Air Hidup itu juga memberikan kehidupan kekal kepada mereka yang menerima Nya. Jangan kita memberikan alasan menolak untuk memberitakan Injil kebenaran ini dengan alasan tidak ada masa kerana sibuk beraktiviti, atau tidak dipanggil untuk memberitakan Injil ini. SAYA DAN ANDA TELAH LAMA DIPANGGIL MEMBERITAKAN INJIL KEPADA DUNIA! Sedari awal kita bersaksi di hadapan Yesus bahawa kita menerima-Nya sebagai Tuhan dan Penyelamat, kita sudah menjadi keluarga Allah. Lantaran status kita sebagai keluarga Allah, maka kita memiliki tanggungjawab dan karakter yang sama dengan anak-anak Allah iaitu membawakan misi Allah kepad seluruh dunia. Mohonlah kekuatan dan hikmat dari Roh Kudus dalam kehidupan kita setiap hari. Berikanlah diri kita dipimpin Roh Kudus untuk memiliki kekuatan dan hikmat dalam memberitakan Injil kebenaran. Jika kita menggunakan usaha dan kekuatan sendiri, ianya sangat mustahil. Namun, adakah sesuatu yang mustahil bagi Allah? TIDAK ADA! Jadilah saksi kebenaran bahawa Yesus adalah AIR HIDUP! Haleluyah!
Sebuah perjalan jauh tanpa penghujung jalan itu,
Ketika tangan ku angkat lesu,
Ketika kaki melangkah terjatuh,
Aku buntu badan ini terkaku.
Namun, aku mendapat kekuatan baru,
Aku menemukan telaga berisi penuh.
Aku tidak temukan timba dan aku tidak berdaya.
Aku melayangkan pandang jauh namun juga tiada.
Lalu, aku hampir tersungkur rebah.
Seorang datang dan menawarkan timba.
Dia datang meneguk air tanpa bertanya.
Dihulurkan-Nya seteguk dari timba itu.
Aku dikuatkan bahkan berdiri kukuh.
Aku meneruskan penggembaraan ku.
Namun kini, bersama Dia menjadi sumber AIR HIDUP baharu;
YESUS KRISTUS, TUHAN ku, Allah ku.
– HT Ram Jonathan®