Beberapa orang Farisi nampak hal ini, lalu bertanya kepada pengikut-pengikut Yesus, “Mengapa guru kamu makan bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?”

Yesus mendengar pertanyaan mereka lalu menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor; hanya orang yang sakit.”
– Matius 9:11-12

Yesus menemui Matius yang dikenali juga sebagai Lewi si pemungut cukai. Matius berada di rumah cukai dan pekerjaannya ada pemungut cukai; sentiasa menipu penghutang dengan cara meletakkan kadar peratus bunga yang sangat tinggi. Tujuan mereka menipu adalah untuk simpanan sendiri kerana mereka hanya perlu memberikan wang sesuai yang penghutang pinjam kepada kerajaan, seterusnya kadar bunga tinggi yang mereka letakkan adalah untuk simpanan mereka sendiri. Demikianlah Matius menjadi kaya dan penipu didalam pekerjaannya. Tetapi, ketika Yesus menemui Matius, dicatatkan dalam sejarah kitab-kitab Injil bahawa Matius segera mengikut Yesus dan akhirnya menjadi pengikut setia Yesus. Bahkan, menjadi rasul yang dipakai untuk memenangkan jiwa ramai orang.

Jika kita selidiki semula dalam ayat 9 (Matius 9), kita mendapati bahawa Matius segera berdiri dan mengikuti Yesus. Tindakan berdiri lalu mengikut Yesus merupakan tindakan yang sangat penting dalam kisah ini. Ia merupakan tindakan perlu diteladani oleh semua orang di dunia ini. Sesuai dengan posisi Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat, datang ke dunia untuk menyelamatkan manusia dan dunia ini, maka tindakan kita apabila didatangi oleh Yesus adalah berdiri lalu mengikuti-Nya. Berdiri lalu mengikuti Yesus dapat difahami sebagai bertaubat, meninggalkan gaya hidup lama lalu mengikuti Yesus. Matius tidak pernah lagi duduk sebagai pemungut cukai selepas dia berdiri. Ia sama saja maksudnya dengan Matius telah meninggalkan cara hidupnya yang lama, cara hidup yang penuh dengan dosa dan menjadi pengikut Yesus selama hidupnya.

Dalam ayat 10, pentafsir menjelaskan bahawa kemungkinan Matius mengadakan jamuan makan di rumahnya bersama rombongan Yesus. Matius bahkan mengajak ramai pemungut cukai untuk datang bersama-sama mereka dalam jamuan itu. Ketika itulah orang Farisi melihat karakter Yesus yang bergaul dengan orang-orang berdosa lalu dalam ayat 11 dikatakan orang Farisi itu bertanya kerana hairan dengan karakter Yesus. Yesus lalu menjawab bahawa Dia datang untuk orang berdosa dipulihkan. Yesus menggambarkan orang berdosa sebagai orang sakit yang memerlukan doktor untuk proses penyembuhan mereka. Berapa ramai di antara kita menyedari bahawa ramai orang sakit rohani yang memerlukan Yesus sebagai Doktor untuk menyembuhkan mereka? Kita bertanggungjawab membimbing mereka datang kepada Yesus dan tugas seterusnya adalah penyembuhan daripada Yesus. Kita dahulu sama seperti Matius yang hidup dengan noda dan dosa, hidup memberontak terhadap Tuhan bahkan hidup tanpa memiliki jaminan keselamatan kekal dari Tuhan. Ketika Yesus datang kepada kita, kita segera berdiri lalu mengikuti Dia. Kita juga harus menjemput orang lain untuk bersama-sama dengan kita masuk dalam rancangan keselamatan daripada Yesus. Jangan kita sombong dengan status rohani kita hanya kerana kita dibenarkan dan dikuduskan oleh Yesus. Ayat 13 harus kita pegang sebagai prinsip bahawa Yesus datang kepada mereka yang sedar diri adalah berdosa dan perlu pemulihan dari-Nya. Belas kasihan daripada Yesus yang membuat kita pulih dari hidup berdosa kita.

Terlalu banyak gereja dan umat Kristian masa kini yang berlumba-lumba menunjukkan pencapaian mereka di luar bangunan gereja, bahkan tidak kalah ramai yang bertanding menonjolkan bakat mereka di dalam gereja untuk kepuasan diri. Tetapi, bencana terbesar terjadi kepada mereka apabila perintah agung Yesus dalam Matius 28:19-20 tidak dijadikan gaya hidup di luar gereja. Mengenal dan memperkenalkan Yesus kepada orang yang masih belum beriman kepada-Nya. Kita gagal kerana kita mungkin menganggap penginjilan hanya dilakukan oleh para pemimpin gereja, para pastor atau para pekerja khas penginjilan. Penginjil dan menginjil dua perkara yang berbeza. Penginjil adalah peranan yang diberikan kepada hamba-hamba Tuhan tertentu, tetapi menginjil adalah peranan yang wajib dilakukan oleh semua orang Kristian. Maka, jika kita gagal menginjil, kita sebenarnya sedang melanggar perintah Yesus. Jika kamu melanggar perintah Yesus, maka siapa kamu untuk bersikap sombong kepada orang yang masih berdosa akibat belum menerima Yesus di luar gereja? ITU ADALAH SALAH KAMU DAN SAYA! Kita mengabaikan mereka dan tidak menghantar mereka kepada Doktor Agung iaitu Yesus Kristus!

Ambillah peluang dan kesempatan yang Tuhan berikan kepada kita untuk hidup dengan prinsip taat kepada perintah-Nya dan setia pada perintah-Nya; mengasihi Yesus dan mengasihi sesama manusia. Jangan berlagak sombong hanya kerana anda sudah Kristian. Anda tidak ada lesen untuk berlagak sombong hanya kerana anda Kristian tetapi tidak menginjil! Muliakanlah Tuhan dengan hidup kita, tetapi juga muliakanlah Tuhan dengan membawakan jiwa untuk dimenangkan oleh-Nya. Haleluyah!

Tubuh Yesus ibarat roti yang terpecah bagi kita.
Darah Yesus ibarat anggur yang tercurah bagi kita.
Firman-Nya ibarat roti yang memberikan kehidupan baharu bagi kita.
Kasih-Nya ibarat sungai yang mengalir menyegarkan iman kita.
Mahukah kau menjadi roti yang siap terpecah bagi memenangkan jiwa yang terhilang?
Mahukan kau menjadi anggur yang siap tercurah bagi menguatkan yang terbeban?
Melayani, melayani lebih sungguh!
Amin.

– HT Ram Jonathan®