Pulihkanlah kami, ya Allah penyelamat kami,
jangan murka lagi kepada kami.
Kuatkanlah kami semula,
Lalu kami, umat-Mu akan memuji Engkau.
– Mazmur 85:5,7

Doa permohonan yang diungkapkan oleh bangsa Israel yang telah kembali ke tanah berkat kurniaan Allah, tetapi mereka masih merindukan negeri asal mereka sehingga mereka mengeluh dengan keadaan yang menimpa mereka ketika itu. Dalam catatan sejarah mazmur, bait lagu dari Mazmur 85 ini dikatakan sebagai sebuah nyanyian yang menunjukkan secara sejarah bahawa bangsa Israel masih belum mendapat perkenan dari Allah sepenuhnya. Mereka menyedari bahawa mereka belum mendapat kepercayaan penuh daripada Allah kerana sikap dan tingkahlaku jahat mereka terhadap Allah. Maka, lagu ini ditujukan kepada Allah dengan tujuan agar Allah kembali berkenan kepada mereka. Bangsa Israel menyedari bahawa dahulu Allah sangat berkenan kepada mereka, mudah mengampuni dosa bahkan berbelas kasihan dengan mereka (Maz 85:2-4). Oleh kerana mereka menyedari mereka telah banyak melakukan dosa dan mendatangkan kemurkaan Allah pada masa sebelumnya, maka mereka dengan penuh hancur hati memohon kepada Allah untuk memulihkan mereka lagi. Mereka tidak pasti adakah Allah masih murka kepada mereka (ayat 6) sehingga mereka meminta petunjuk dengan menyelamatkan mereka lagi (ayat 8). Mereka juga menyedari bahawa Allah menuntut mereka untuk setia dalam mematuhi didikan-Nya (ayat 9-10). Mereka yakin bahawa dengan kesetiaan mereka terhadap didikan dan perintah Allah, mereka akan memiliki kehidupan yang sejahtera (ayat 11), berkat melimpah (ayat 12-13) dan Allah akan sentiasa membukakan jalan penyelamatan kepada mereka (ayat 13).

Demikianlah bangsa Israel yang sentiasa berubah kesetiaan kepada Allah menyedari bahawa mereka sedang mengalami kejatuhan hidup; bukan sahaja secara individu dari kaum Korah yang menyanyikan lagu ini tetapi sebenarnya seluruh bangsa Israel sedang mengalami keruntuhan hidup. Mereka tidak menyedari bahawa Allah sedang memberikan pengajaran kepada meraka akibat daripada ketidaksetiaan mereka berpuluh tahun lamanya dalam hampir setiap hari dalam perjalanan hidup mereka. Mereka adalah bangsa yang digelar ‘tegar tengkuk’ iaitu sangat sombong dan merasakan diri lebih bijaksana daripada orang lain, bahkan merasa boleh menguji Allah. Paulus sendiri mengutip sikap bangsa Israel sebagai orang yang berlagak pandai padahal akibat kedegilan mereka yang menganggap diri bijaksana itulah yang menyebabkan mereka binasa (Roma 11:25). Demikian hebatnya kesombongan dan kejahatan yang dilakukan oleh bangsa Israel dan Allah tetap memberikan peluang demi peluang kepada mereka.

Kehidupan manusiawi kita tidak jauh berbeza dengan bangsa Israel. Kita adalah penerus legasi kepada kesombongan, kejahatan bahkan ketidaksetiaan mereka di hadapan Allah. Kita adalah penerus kegagalan kedagingan kita dalam mentaati kerohanian yang Allah sudah rancangkan kepada Adam dan Hawa iaitu memiliki hubungan peribadi yang kudus dengan-Nya. Namun, Paulus juga menyatakan bahawa disebalik kegagalan Israel akibat kesombongan mereka di hadapan Allah, mereka tetap dikasihi oleh Allah. Bukan sahaja dikasihi dengan cara memberkati, melindungi dan mendidik mereka berulang kali setiap kali mereka memohon kepada Allah, malahan kehidupan rohani mereka juga dipulihkan Allah. Malah, lebih mengejutkan adalah mereka telah dijanjikan keselamatan hidup. Roma 11:26-27 mencatatkan sejarah tulisan nubuatan dalam Yesaya 59:20-21 mengenai janji penyelamatan Allah kepada mereka; mereka akan diberikan Penyelamat yang datang dari keturunan bangsa Israel sehingga segala dosa dan kejahatan bangsa akan dihapuskan. Penyelamat yang dijanjikan itu adalah Yesus Kristus, sang Mesias yang diutus oleh Allah untuk membawa misi penyelamatan kepada bangsa Israel.

Lebih membanggakan adalah misi penyelamatan itu bukan sahaja kepada bangsa Israel, tetapi kepada seluruh manusia di bumi ini (Yoh 3:16). Meskipun manusia masih mewarisi karakter berdosa dari generasi kepada generasi seterusnya, tetapi kasih kurnia Allah iaitu penyelamatan oleh Yesus Kristus juga menyertai kita sepanjang masa, kita juga mewarisi kurnia penyelamatan oleh Yesus Kristus. Darah Yesus yang tercurah di Golgota telah melenyapkan kuasa dosa iaitu maut. Mereka yang memiliki Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka akan memiliki keselamatan kekal itu. Demikian hebatnya warisan yang kita miliki daripada bangsa Israel ini. Pelajaran yang sangat perlu kita tanggapi dalam kisah ini adalah Allah memulihkan manusia yang datang kepada-Nya! Tidak ada pakar kaunselor, penasihat atau motivator di dunia ini yang dapat memulihkan hidup kita seperti yang Allah lakukan. Jika selama ini kita masih bersandar kepada kemampuan manusia di sekeliling kita atau di media massa, berhentilah mengharapkan mereka. Mulailah mengharapkan Tuhan dan memohon pemulihan hanya kepada-Nya. Jika Allah mengizinkan, maka manusia di sekitar kita akan digunakan-Nya sebagai saluran pemulihan. Tidak ada setitik masalah pun dalam hidup manusia yang tidak dapat dipulihkan oleh Allah. Namun, satu perkara yang jelas kita harus lakukan adalah kembali kepada Allah. Sedarilah bahawa Allah tidak pernah membiarkan kita bersendirian. Mazmur 85 jelas memberikan jawapan kepada kita bahawa Allah memberkati manusia yang merindukan pemulihan melalui-Nya. Kasih setia Allah tidak akan pernah berkesudahan! Haleluyah!

Pujilah TUHAN, hai jiwaku,
Dan jangan lupa akan kebaikan-Nya.
Dia mengampunkan segala dosaku,
Dan menyembuhkan segala penyakitku;
Dia menyelamatkan aku daripada kematian
Dan memberkati aku dengan kasih dan rahmat. – Mazmur 103:2-4
Amin!

– HT Ram Jonathan®