Aku merasakan kuasa TUHAN, dan Roh-Nya membawa aku ke sebuah lembah yang penuh dengan tulang. TUHAN membawa aku berkeliling di lembah itu, dan aku nampak tulang-tulang bertaburan yang sungguh banyak dan kering. Dia berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, dapatkah tulang-tulang ini hidup semula?” Aku menjawab, “Ya TUHAN Raja, hanya Engkau yang tahu akan jawapannya!”
“Apabila Aku melakukan semua hal itu, mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku akan menghembuskan nafas-Ku ke dalam mereak untuk menghidupkan mereka semula. Lalu Aku akan membenarkan mereka tinggal di negeri mereka sendiri. Barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku telah berjanji akan melakukan perkara itu dan Aku pasti melakukannya. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
– Yehezkiel 37:1-3, 13-14
Kisah yang penuh dramatik dalam Yehezkiel 37:1-14 merupakan kisah yang melambangkan seluruh umat Israel dan suku Yehuda (Yehezkiel 37:11) sebagai bangsa yang telah ‘kering’ iman dan ketaatan kepada TUHAN. Kisah yang dicatatkan ini merupakan penglihatan oleh Yehezkiel ketika dia dipenuhi oleh Roh Kudus lalu dinubuatkan kepada seluruh umat Israel dan suku Yehuda. Bangsa Israel dan suku Yehuda pada masa ini berada di negara asing akibat kekalahan mereka dalam politik sehingga mereka berada di tangan pemerintah asing dan hidup dalam pembuangan. Meskipun TUHAN seringkali memberikan rahmat dan penyertaan-Nya kepada mereka, ternyata mereka sangat tamak, degil dan keras hati dalam mentaati TUHAN. Lalu, kehidupan mereka di zaman pembuangan juga sangat sukar kerana ditindas, diseksa bahkan dipaksa untuk murtad dari iman terhadap TUHAN. Lalu, TUHAN memanggil nabi Yehezkiel untuk meneguhkan mereka dan antara satu daripada banyak cara TUHAN membangkitkan semangat umat Israel adalah melalui janji-Nya untuk membangkitkan mereka daripada musim kegelapan mereka ini. Lalu, Yehezkiel diberikan penglihatan bahawa tulang-tulang kering dihidupkan semula oleh kuasa TUHAN. Cukup hanya dengan berfirman, TUHAN dapat memulihkan bangsa Israel. TUHAN adalah sumber kehidupan bangsa Israel yang memberikan semangat dan pengharapan untuk keluar dari kehidupan mereka yang terkutuk. Ternyata bahawa TUHAN benar-benar menepati janji-Nya apabila TUHAN memberikan pemulihan kuasa kepada bangsa Israel dengan kuasa politik kembali kepada mereka (Yehezkiel 37:7-8) dan juga pemulihan rohani kepada iman (Yehezkiel 37:9-10). Kedua-dua pemulihan ini digambarkan oleh Yehezkiel dengan cukup jelas bahawa semuanya itu dilakukan kerana kuasa TUHAN dan perintah dari TUHAN sendiri, bukan daripada kekuatan bangsa itu secara politik atau ekonomi. Semua itu dilakukan oleh TUHAN kerana kasih-Nya kepada mereka!
Hidup manusia di seluruh dunia tidak banyak berbeza walau bagaimanapun status sosial mereka di semasa hidup. Setiap manusia di dunia ini memiliki satu persamaan iaitu hidup berdosa tanpa satupun yang kudus dari awal. Hanya melalui pengorbanan Yesus di kayu salib sahajalah yang telah menjadikan hidup manusia dipulihkan dari kehidupan berdosa ini. Yesus yang juga adalah TUHAN dan Penyelamat tunggal manusia telah menebus manusia dengan darah-Nya yang cukup mahal tanpa menuntut balasan selain kita diundang untuk menjadikan-Nya sebagai TUHAN dan Penyelamat peribadi. Namun, ketika manusia memilih untuk tetap berdosa dan tidak mahu menerima Yesus sebagai TUHAN dan Penyelamat mereka, maka hidup mereka ibarat ‘tulang-tulang kering’ yang digambarkan oleh Yehezkiel di dalam penglihatannya itu; mati dan tidak mampu berbuat apa-apa selain menanti masa untuk reput lalu hilang ditelan bumi. Manusia yang terpisah daripada TUHAN adalah manusia yang akan menikmati kesengsaraan selamanya, bukan sahaja di bumi ini tetapi terlebih lagi hidup selepas kematian di bumi ini. Manusia yang menolak firman TUHAN dan tidak beriman kepada TUHAN akan terbuang ke dalam api neraka untuk selama-lamanya.
Oleh itu, selama TUHAN masih berfirman kepada manusia yang hidup di dunia ini, marilah kita tetap patuh kepada firman-Nya. Jika kita jauh daripada rahmat ilahi TUHAN, kita akan menjadi tulang kering yang akan reput dan hilang ditelan bumi. Tetapi jika kita menerima TUHAN dan firman-Nya, darah-Nya yang telah tercurah di kayu salib lebih daripada 2000 tahun lalu akan menghidupkan ‘tulang-tulang yang kering’ iaitu kita sendiri. Bukan sahaja kita akan dipelihara oleh-Nya selama hidup di dunia ini tetapi kehidupan kita selepas kematian sudah terjamin di kerajaan Syurga bersama-Nya. Tiada lagi kesengsaraan yang menanti kita apabila berada di Syurga kelak, tiada lagi penghinaan, tiada kesakitan bahkan tiada lagi kematian. Jika hari ini engkau masih menjadi ‘tulang kering’ yang mati kerana tidak mengalami kuasa firman-Nya, maka buatlah keputusan pada hari ini untuk mendengar firman-Nya dan terimalah Yesus sebagai TUHAN dan Penyelamat peribadimu. Nescaya engkau akan menjadi ‘tulang kering’ yang dihidupkan. Haleluyah!
Mengapakah engkau mengembara wahai tulang kering jika akhirnya engkau reput?
Dimanakah engkau wahai tulang kering jika esok panas melenyapkanmu?
Satu saja yang dapat menyegarkanmu
Satu saja dapat menghidupkanmu
Dia, Yesus Kristus!
– HT Ram Jonathan®