Tuhan Yang Setia

620

“Kamu harus setia dengan sepenuhnya kepada TUHAN, Allah kamu.”
– Ulangan 18:13

Jika kita membaca firman Tuhan dari Ulangan 18 bermula ayat 1-8, kita akan disajikan dengan kisah suku Lewi yang dijanjikan penjagaan oleh Tuhan kerana mereka adalah suku yang dilantik sebagai imam di dalam mazbah TUHAN. Suku Lewi juga dijanjikan oleh TUHAN bahawa mereka sentiasa mendapatkan hak istimewa dalam soal makanan dan minuman seperti yang dicatatkan dalam ayat 3, 4. Mereka diberikan hak untuk menikmati makanan dan minuman yang terbaik tetapi dalam masa yang sama, TUHAN juga menuntut mereka untuk mengabdikan diri (suku) mereka sebagai imam untuk selama-lamanya (ayat 5-7). Pada ayat 8, TUHAN sekali lagi mengingatkan bangsa Israel bahawa suku Lewi harus mendapatkan makanan yang mencukupi. Keistimewaan kepada suku Lewi ini bukan semata-mata kerana TUHAN mahu memberikan penjagaan terbaik kepada para imam mazbah-Nya, tetapi dalam hal sosio-ekonomi, suku Lewi tidak memiliki tanah untuk dikerjakan sebagai hasil sumber makanan dan ekonomi mereka. Ini kerana mereka harus melayani di mazbah dan melaksanakan upacara-upacara penyembahan setiap masa di mazbah TUHAN. Mereka tidak memiliki peluang untuk bekerja menjana ekonomi seperti 11 suku Israel yang lain. Seterusnya, dalam ayat 9-12, TUHAN memberikan larangan dan amaran kepada bangsa Israel secara jelas. Pertama, TUHAN melarang keras bangsa Israel untuk menyembah allah yang disembah oleh bangsa-bangsa lain. Dalam erti kata lain, TUHAN melarang mereka meniru gaya hidup kafir dari bangsa-bangsa di sekitar mereka. Ini kerana TUHAN sangat membenci orang yang melakukan kekejian yang berunsurkan kekafiran bahkan TUHAN tidak mahu bangsa-bangsa seperti itu berada di sekitar bangsa Israel. Itulah sebabnya TUHAN sendiri menyatakan bahawa DIA akan mengusir bangsa-bangsa kafir dari tanah yang diduduki oleh bangsa Israel! Lalu, TUHAN menegaskan kepada bangsa Israel bahawa mereka harus setia sepenuhnya hanya kepada TUHAN bangsa mereka sahaja; TUHAN yang telah memimpin mereka keluar dari tanah Mesir sehingga masuk ke tanah Kanaan. TUHAN yang berperang bagi pihak mereka dan menang dari perang menentang musuh mereka. TUHAN yang membawa berkat demi berkat kepada seluruh bangsa Israel yang menyembah-Nya selama ini dan mengutuk bangsa-bangsa yang memusuhi mereka. TUHAN yang setia kepada mereka meskipun mereka sentiasa curang kepada-Nya!

Begitu hebatnya TUHAN yang disembah oleh bangsa Israel. TUHAN yang setia memberkati bangsa pilihan-Nya bahkan melindungi mereka di dalam segala keadaan. Terlalu banyak kejahatan yang dilakukan oleh bangsa Israel dan tindakan mereka sepatutnya boleh membuat TUHAN menghukum mereka dengan cara menghapuskan mereka dari perjanjian kesetiaan-Nya kepada mereka, tetapi TUHAN tetap setia bersama-sama mereka dan tetap mengasihi mereka. TUHAN boleh sahaja membunuh seluruh bangsa Israel dan lenyap dari dunia ini seperti DIA menghapuskan keturunan pertama (mereka yang dewasa) yang keluar dari tanah Mesir dan tidak masuk ke tanah Kanaan (kecuali Yosua dan Kaleb masuk ke Kanaan), tetapi TUHAN tetap setia memberkati bangsa Israel bahkan mengaruniakan bangsa Israel dengan keturunan yang cukup banyak. TUHAN setia pada janji-Nya dan tidak pernah memungkiri satupun daripada janji-janji-Nya. Adakah kita mampu setia kepada TUHAN seperti DIA setia kepada kita? MUSTAHIL untuk kita setia kepada TUHAN dalam sepanjang umur hidup kita, bahkan dalam perjalanan iman Kristian kita sekalipun, kita sentiasa gagal setia dalam janji iman kita. Tapi berita baik yang perlu kita dengar adalah bahawa meskipun kita tidak setia, TUHAN tetap setia dan adil kepada kita. Mazmur 100:5 menyatakan bahawa, “TUHAN itu baik; DIA tetap mengasihi umat-Nya dan setiap kepada mereka selama-lamanya.” Demikianlah TUHAN yang kita kenali di dalam Yesus Kristus, TUHAN yang tidak akan pernah berubah kesetiaan-Nya kepada kita. Lalu, apapun yang kita mahu lakukan meski itu adalah kegagalan kita dalam kerohanian, tetaplah teguh iman kepada TUHAN kita Yesus Kristus, dan setia kepada-Nya. DIA akan mengangkat kita dari kejatuhan dan menuntun kita kepada jalan-Nya semula.

Ketika Yosua sudah masuk ke tanah Kanaan, tanah yang dijanjikan oleh TUHAN dan bangsa Israel mulai memberontak terhadap TUHAN, Yosua (Yosua 24:14-15) memanggil mereka di Sikhem lalu berkata, “Hormatilah TUHAN dan mengabdilah kepada-Nya dengan ikhlas dan setia. Buanglah tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesapotamia dan di Mesir dahulu. Mengabdilah kepada TUHAN sahaja. Jika kamu tidak mahu mengabdi kepada-Nya, tentukanlah sekarang kepada siapa kamu hendak mengabdi, kepada tuhan-tuhan lain yang disembah oleh nenek moyang kamu di Mesapotamia atau kepada tuhan-tuhan Amori di negeri yang kamu tinggal sekarang. Tetapi bagi aku dan keluargaku, kami akan mengabdi kepada TUHAN. Adakah ajakan dan amaran dari Yosua ini masih relevan kepada anda dan saya pada masa kini? Iya, masih sangat relevan! Kerana dunia moden ini menawarkan banyak tuhan-tuhan lain selain daripada TUHAN yang benar iaitu Yesus Kristus. Masih banyak tuhan-tuhan yang wujud bahkan setiap hari ada tuhan-tuhan yang baharu di dunia ini. Wang, harta, populariti, pekerjaan, seorang individu panutan atau teknologi canggih adalah antara tuhan-tuhan yang disembah oleh manusia di dunia ini tanpa sedar atau pun dengan sedar. Kita sedang terjerumus atau menjerumuskan diri untuk menyembah tuhan-tuhan seperti ini. Tetapi, TUHAN yang telah menebus kita daripada dosa, TUHAN yang memimpin kita kepada jalan keselamatan kekal dan TUHAN yang sama menuntun kita kepada kemuliaan-Nya adalah TUHAN yang setia kepada kita tanpa menilai kehancuran hidup kita. Jika TUHAN sahaja setia kepada kita, kenapa kita tidak mahu setia kepada-Nya? Sangat penting untuk memiliki hubungan sihat dengan TUHAN dalam kehidupan rohani kita didunia ini. Bila saatnya kita kembali kepada-Nya, kita tidak terbuang ke api neraka kerana TUHAN mengenal kita semasa kita masih hidup. Matius7:22-23 menyatakan bahawa pada hari Kiamat, Yesus akan datang dan menghakimi semua orang, tetapi bukan semua yang beragama Kristian secara automatik masuk ke dalam Syurga bahkan ada di antara mereka yang berseru kepada TUHAN (lambang kehidupan Kristian luaran sahaja) sebenarnya tidak dikenal TUHAN. Ini bermaksud bahawa kita harus memiliki hubungan intim yang peribadi dengan TUHAN kerana itulah cara kita dikenali oleh TUHAN. Hubungan peribadi ini mendidik kita menjadi setia dan taat iman kepada-Nya sahaja sehingga akhirnya kita akan dikenali TUHAN dan tinggal bersama-Nya kelak. Pilihlah pada hari ini siapa Tuhan yang kamu sembah. Seperti ajakan Yosua, “tetapi bagi aku dan keluargaku, kami akan mengabdi kepada TUHAN”. Haleluyah!

– HT Ram Jonathan®