Aku mengasihi TUHAN, kerana Dia mendengar seruanku;
Dia mendengar permintaanku.
Dia mendengar aku setiap kali aku berseru kepada-Nya.
– Mazmur 116:1-2

Ini adalah mazmur yang Daud ungkapkan ketika dia tahu bahawa TUHAN tidak pernah membiarkannya bersendirian dalam segala keadaannya. Mazmur syukur Daud dalam bait-baitnya mengungkapkan kesyukuran yang berlimpah kepada TUHAN kerana memberikan kelepasan demi kelepasan kepadanya dalam situasi yang tidak dapat dia lalui sendirian. Bahkan, tidak akan mungkin dapat dilalui oleh berjuta tentera perang yang Daud miliki pada masa itu. Bait dalam ayat 1 menyatakan betapa Daud sungguh-sungguh mengasihi TUHAN kerana dia dilepaskan dari bahaya kematian. Keyakinan kukuh Daud bahawa TUHAN yang melepaskan dia dalam bahaya jelas apabila dalam bait di ayat 2 dinyatakan bahawa TUHAN sentiasa mendengar seruan doanya.

Keyakinan Daud kepada penyertaan TUHAN tidak pernah luntur dalam hidupnya. Sehingga Daud memiliki ketetapan bahawa dia mesti sentiasa tenang, kerana TUHAN sentiasa baik padanya (ayat 7). Bukan sahaja Daud mengasihi TUHAN kerana TUHAN sentiasa mendengar dan melindunginya, Daud juga mahu berkomitmen untuk hidup kudus di dalam TUHAN selama dia hidup di dunia ini (ayat 9). Daud meyakini bahawa tiada harta kekayaan, atau persembahan secara material terbaik yang dapat dia berikan kepada TUHAN untuk membalas kebaikan-Nya tetapi korban syukur dan janji imannya akan dia jadikan sebagai persembahan harum kepada TUHAN. Demikianlah Daud inginkan keintiman hubungan dengan TUHAN sehingga hal terbaik dalam dirinya dia persembahkan kepada TUHAN (hal terbaik ini digambarkan sebagai ‘wain’ dalam ayat 13 untuk sebuah pemahaman bahawa wain adalah produk yang dihasilkan dengan sangat teliti dan tidak dapat dicemari oleh apapun selain resepi khas membuat wain tersebut), demikianlah hidupnya yang mahu terus berfokus kepada TUHAN untuk dibentuk dan dimurnikan meskipun akan mengambil masa yang lama iaitu seumur hidupnya. Demikianlah Daud dalam seumur hidupnya mahu berbakti hidup kepada TUHAN. Dia mahu mengasihi TUHAN, seumur hidupnya akan berseru (berharap penuh hanya pada TUHAN) kepada TUHAN sahaja.

Apakah yang kita sudah lakukan untuk TUHAN sepanjang hidup kita di dunia ini? Perkara pertama yang harus kita lakukan adalah dengan berusaha dengan sungguh-sungguh untuk mengasihi TUHAN melalui kehidupan kita sepenuhnya (Ulangan 6:5; Matius 22:37) bahkan dalam Ulangan 6:5 diperintahkan kepada manusia untuk menunjukkan kasih kita kepada TUHAN dengan cara hidup dan perbuatan mereka. Ulangan 11:13 menekankan betapa pentingya pengabdian diri kepada TUHAN sebagai bukti bahawa kita mengasihi-Nya. Tanpa prinsip utama ini iaitu mengasihi TUHAN, maka tindakan-tindakan atau usaha-usaha lain yang kita lakukan untuk mengabdi diri kepada TUHAN adalah sia-sia. Kita boleh sahaja rajin beribadat kepada TUHAN, rajin berdoa atau rajin berbuat kebajikan kepada manusia lain, tetapi jika tanpa kasih, maka semua itu hanya kita lakukan sebagai kesedaran manusiawi kita yang mahu berbuat baik demi mendapat sesuatu balasan.

Seperti Daud yang tidak mencari tuhan lain selain TUHAN yang mengangkatnya menjadi raja Israel, maka kita juga sebagai orang yang telah diangkat TUHAN dari kematian kekal kepada kehidupan sejati harus mengabdi diri hanya kepada TUHAN sahaja. TUHAN yang kita telah kenal iaitu YESUS KRISTUS, sang Penyelamat manusia (Yohanes 3:16). Tanpa berfikir panjang, TUHAN sendiri turun ke bumi untuk menyelamatkan kita dari dosa yang sepatutnya akan membawa kita kepada kematian kekal. Yesus yang telah mati dan bangkit kembali membuktikan bahawa Dia adalah satu-satunya TUHAN yang layak disembah oleh manusia di bumi ini. Jika kita mencari tuhan lain selain daripada Yesus, maka kebinasaan kekal akan menanti kita (Yohanes 14:6). Meskipun Yohanes 14:6 lebih bermaksud bahawa Tomas tidak mungkin akan dapat datang kepada Allah Bapa jika tidak melalui percaya kepada Yesus (ayat 3), tetapi maksud teologi yang boleh difahami dari ajaran Yesus dalam ayat ini adalah hanya melalui percaya kepada Yesus sahaja maka kita akan dapat menikmati Surga yang kekal bersama-Nya. Selain Yesus dan rahmat-Nya, tuhan sembahan yang lain tidak akan dapat membawa keselamatan kekal.

Saudara-saudari yang dirahmati Tuhan, jika hari ini engkau mendengarkan kebenaran firman bahawa tidak ada Penyelamat lain selain Yesus Kristus, maka janganlah keraskan hati mu untuk menafikan Yesus. Abillah keputusan untuk menjadikan Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat peribadi. Di dalam Yesus, kita tidak akan bersendirian; Yesus sentiasa bersama-sama dengan kita. Sebagaimana Daud disertai oleh TUHAN dan seruannya sentiasa didengar oleh TUHAN, demikian juga kita akan sentiasa dilindungi dan dipimpin oleh YESUS sepanjang hidup kita. Sedangkan hidupan liar dan tumbuhan liar sangat dipelihara oleh TUHAN, apalagi manusia yang TUHAN ciptakan sungguh amat baik (Matius 6:25-34). TUHAN tidak akan membiarkan kita jatuh tersungkur tanpa menghulurkan tangan-Nya untuk mengangkat kita semula! Bahkan, TUHAN akan bersama-sama dengan kita dalam segala musim kehidupan kita. Berserulah kepada-Nya sahaja. Kerana TUHAN pasti mendengarkan seruan dan doa anda! Haleluyah!

Dimanakah aku dapat pergi, ya TUHAN.
Engkau memperhatikan setiap langkah hidup ku.
Apakah yang dapat aku lafazkan, ya TUHAN.
Engkau mendengar setiap kata ku.
Bagaimanakah aku hidup, ya TUHAN.
Engkau menguasai setiap rancangan ku.

Aku ini ya TUHAN,
Tidak luput dari kasih-Mu.
Aku akan berseru setiap waktu,
Hadirat-Mu ‘kan menyertaiku!
Amin!

– HT Ram Jonathan®