Dengarlah aku! Selamatkanlah aku dengan segera!
Jadilah penaungku untuk melindungi aku,
dan pembelaku untuk menyelamatkan aku.
– Mazmur 31:3

Jika kita mengamati satu demi satu bait dari Mazmur 31, maka kita mengerti bahawa ia adalah sebuah mazmur yang berunsurkan pengharapan di dalam Tuhan oleh raja Daud, penulis mazmur ini sendiri. Mazmur ini secara dasarnya mengandungi inti doa pengharapan Daud kepada Tuhan agar melindunginya dari ancaman musuh. Tiada kekuatan yang dapat Daud harapkan daripada manusia melainkan hanya kekuatan daripada Tuhan kerana sedari awal lagi Tuhan sendiri yang telah memanggil Daud untuk menjadi raja bagi bangsa Israel (ayat 3–6). Tiada pakar taktikal peperangan yang Daud dapat harapkan selain daripada Tuhan yang menang dalam setiap peperangan yang diterajui oleh-Nya jauh sebelum Israel memiliki raja dikalangan manusia; ketika Tuhan adalah satu-satunya Pemimpin dan Pelindung bangsa Israel. Tuhan adalah Raja segala raja, Pemimpin bangsa dari segala pemimpin yang ada. Itulah Tuhan yang Daud harapkan dan percayakan menyertai dan melindungi dia sepanjang masa. Itulah sebabnya Daud menciptakan bait seperti ini yang tercatat di dalam Mazmur 31. Sehingga akhirnya Daud memiliki kekuatan baharu dan memberikan dorongan kepada bangsa Israel untuk tetap kuat kerana Tuhan melindungi mereka (ayat 24-25). Mazmur Daud ini menyatakan dengan sesungguhnya bahawa Tuhan melindungi orang yang sentiasa percaya kepada-Nya; meskipun musuh menghina, merancang untuk memusnahkan usahanya, meskipun manusia lain berkomplot untuk menjatuhkan dia, Tuhan sentiasa melindunginya (ayat 19-21). Betapa luar biasa dan hebatnya Tuhan yang disembah oleh Daud. Tuhan yang sama sedang melindungi setiap manusia yang ada di dunia dari dulu, sekarang dan selamanya!

Ketika seluruh dunia masih berperang dengan Kovid-19, manusia sebagai mangsa pandemik ini tidak dapat menikmati suasana normal seperti dahulu lagi. Jika sebelum ini kita bebas untuk bergaul dengan sesiapa sahaja dan mampu merancang untuk pergi ke mana sahaja, tetapi ketika kita berperang dengan Kovid-19, kita terkurung di dalam rumah dan melakukan hampir semua perkara di dalam rumah sahaja. Meskipun telah ada kelonggaran sedikit demi sedikit dari pihak kerajaan, tetapi kita lebih digalakkan untuk beradaptasi dengan norma baharu. Meskipun demikian, kita tetap memiliki kerisauan demi kerisauan untuk banyak perkara; sumber ekonomi untuk memenuhi keperluan hidup, hubungan sosial yang renggang akibat berjauhan atau juga kebimbangan untuk dijangkiti tanpa kita sedari meskipun setelah kita berada di rumah sahaja atau di destinasi tertentu yang tidak pernah memiliki kes Kovid-19 sebelum itu. Semua kebimbangan dan ancaman seperti ini memberikan masalah kepada kesihatan mental, emosi dan fizikal kita. Namun, Tuhan adalah Pelindung kita dalam segala situasi yang kita hadapi. Kuasa Tuhan itu tidak terbatas melindungi setiap manusia yang berharap pada-Nya.  Ketika Daud berkata (ayat 15), “Aku berharap kepada-Mu, ya TUHAN; Engkaulah Allahku.”, dia menunjukkan kepada kita bahawa Daud mengharapkan Tuhan untuk melindunginya; melindungi yang kita boleh fahami di dalam konteks kita ketika ini adalah seperti melindungi kita daripada melanggar perintah kawalan pergerakan dengan cara kita menghormati serta mematuhi pihak berwajib, melindungi kita daripada memiliki akal tidak sihat seperti menipu demi membebaskan diri daripada perintah kawalan pergerakan iaitu dengan cara menggunakan hikmat dari Tuhan, melindungi kita dari ancaman bahaya dengan pimpinan Roh Kudus iaitu kita tahu melakukan hal baik dan mengelakkan hal buruk. Banyak lagi cara Tuhan melindungi kita dalam tempoh genting seperti sekarang ini. Jika kita mahu meneladani Daud dalam keyakinannya bahawa Tuhan melindungi kita dari bahaya Kovid-19, maka kita adalah aman dalam perlindungan Tuhan!

Marilah kita mengambil peluang dalam suasana Kovid-19 ini untuk mendekatkan diri kepada Tuhan. “Betapa limpahnya kebaikan-Mu yang Engkau sediakan untuk orang yang menghormati Engkau. Setiap orang melihat kebaikan yang Engkau lakukan bagi mereka yang berlindung kepada-Mu.” Bait yang Daud ungkapkan dalam ayat 20 ini adalah bait mazmur yang membawa kita untuk menyedari bahawa kita mampu melihat dan merasakan kebaikan Tuhan jika kita menghormati Tuhan, kita mampu melihat kebaikan Tuhan jika kita berlindung kepada-Nya. Dua tindakan ini iaitu menghormati dan berlindung merupakan tindakan hidup orang Kristian yang datang menyembah Tuhan. Tiada makna sebuah penyembahan kepada Tuhan jika kita tidak memiliki rasa hormat kepada-Nya. Tiada makna penyembahan kita kepada Tuhan jika sekadar memenuhi jadual harian datang kepada-Nya tanpa memiliki iman percaya kepada-Nya bahawa Dia melindungi kita dan bukan kita yang melindungi diri kita sendiri; keyakinan iman ketika menyembah adalah tingkat penyembahan yang percaya penuh kepada Tuhan sebagai Pelindung kita. Jika dalam Perjanjian Lama, penyembahan hanya boleh dilakukan dengan menyembelih binatang tetapi ketika Yesus mati dan bangkit untuk menebus kita, maka kita bebas datang menyembah kepada Tuhan dengan sikap hormat dan percaya sepenuh kepada-Nya.

Dekatilah Tuhan selama kita diberikan kesempatan hidup untuk mempertahankan iman kita kepada-Nya. Selama Tuhan melindungi kita, maka kita tidak akan jatuh di tangan musuh-musuh kita. Kita akan tetap bangun berdiri saat kita dijatuhkan oleh musuh, kita akan tetap dikuatkan ketika musuh melemahkan kita. Semuanya adalah datang daripada Tuhan; perlindungan dan kekuatan yang sempurna datang daripada-Nya. Haleluyah!

Tuhan Pelindungku,
Aku berseru kepada-Mu dan Engkau melindungi ku.
Aku berserah kepada-Mu dan Engkau membimbing ku.
Aku tahu Engkau sahaja yang melindungi ku.
Jiwaku, hidupku dan imanku adalah milik-Mu.
Amin.

– HT Ram Jonathan