Bersyukurlah kepada TUHAN kerana Dia baik, dan kasih-Nya kekal abadi.
Hendaklah umat Israel berkata, “Kasih-Nya kekal abadi.”
Hendaklah imam-imam berkata, “Kasih-Nya kekal abadi.”
Hendaklah semua orang yang menyembah Dia berkata, “Kasih-Nya kekal abadi.”
– Mazmur 118:1-4

Mazmur 118 dimulai dan diakhiri dengan ucapan “bersyukurlah” yang merupakan satu daripada ciri syair kesyukuran dalam tradisi mazmur bangsa Israel dalam perayaan kesyukuran. Jika dikaji secara praktik penggunaan ucapan syukur ini yang menjadi permulaan dan pengakhiran kepada mazmur ini, maka kita dapat memahami bahawa setiap manusia seharusnya memiliki ucapan syukur dari awal sehingga akhir hidup mereka sehari-hari. Bukan kerana mereka masih hidup bernafas sahaja tetapi kerana TUHAN yang melindungi mereka sepanjang masa. Demikian juga bangsa Israel yang menyanyikan bait “bersyukurlah” dalam mazmur ini, mereka menyedari bahawa respon mereka terhadap kasih TUHAN kepada mereka adalah kekal abadi. Sementara bait “Dia baik” yang merujuk kepada TUHAN kemungkinan besar bermakna bahawa penulis mahu mewakili batas pengetahuan Israel tentang TUHAN sepenuhnya, sehingga dalam ucapan syukur mereka untuk setiap masa, mereka menilai karakter TUHAN sebagai baik. TUHAN memenangkan peperangan suci untuk mereka, TUHAN melindungi mereka semasa dalam pembuangan ke tanah asing, TUHAN menjaga mereka ketika keluar dari tanah asing bahkan TUHAN menyediakan segalanya untuk mereka dalam setiap situasi. Maka, mereka mengetahui bahawa TUHAN sangat baik kepada mereka. Pemazmur juga menaikkan ucapan syukur kepada TUHAN dengan menyatakan bahawa kasih TUHAN kekal abadi. Ia sangat tepat kerana TUHAN telah menjaga mereka dari awal sehingga akhir perjuangan bangsa mereka, tidak hanya itu, bahkan TUHAN yang mereka sembah adalah TUHAN yang memulakan segalanya dalam penciptaan bumi serta isinya dan menebus mereka dari kehancuran di tanah asing. Maka, wajarlah mereka menyedari bahawa kasih TUHAN sesungguhnya adalah kekal abadi kepada mereka! Ada tiga kumpulan penyembah TUHAN di kalangan bangsa Israel yang disebutkan berasingan oleh pemazmur. Bangsa Israel sebagai sebuah komuniti bangsa yang dipilih TUHAN sebagai bangsa penyembah-Nya, para imam sebagai komuniti pemimpin agama yang dipilih oleh para suku sebagai pelayan rumah TUHAN dan semua orang yang merujuk kepada komuniti masyarakat secara umum. Ketiga-tiga komuniti ini menggambarkan bahawa penyembahan tidak bergantung kepada satu kumpulan manusia tertentu sahaja tetapi merupakan sebuah tindakan bersama yang bertujuan untuk menyembah TUHAN. Tidak ada satupun daripada manusia yang terlepas daripada melakukan penyembahan kepada TUHAN. Bahkan, tidak ada satu pun manusia yang tidak didengari oleh TUHAN ketika mereka datang menyembah kepada-Nya.

Terlalu banyak cabaran yang sedang kita hadapi pada masa ini terutamanya kesan daripada pandemik Covid-19. Ubat pembunuh virus ini belum ditemukan, tetapi kita sedang menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin sebanyak dua dos yang bertujuan untuk meningkatkan tahap perlindungan tubuh daripada serangan virus ini. Bahkan, komuniti agama, komuniti kerja dan komuniti kekeluargaan juga sangat terkesan buruk akibat daripada pandemik ini. Masih ramai yang sedang menganggur tanpa pekerjaan dan sukar untuk menyara keluarga mereka bahkan menanggung hutang yang tertunggak; rumah-rumah ibadat mengalami kemorosotan peranan dalam membimbing jemaah kerana hilangnya komunikasi secara empat mata; syarikat-syarikat juga mengalami ancaman bahkan muflis akibat kerugian yang besar. Emosi dan mental kita juga terganggu secara drastik dan seringkali mengalami graf penurunan dan kenaikan yang tidak menentu sehingga mengakibatkan kemurungan, tindakan membahayakan nyawa bahkan melakukan jenayah. Tiada satupun manusia di dunia ini yang tidak terkesan teruk oleh pandemik ini. Tetapi, kita harus bertahan hidup selama TUHAN masih memberikan nafas kepada kita. Kenapa? Kerana kasih-Nya kekal abadi. 1 Korintus 10:13 berkata, “Tiap-tiap cobaan yang kami alami itu cubaan yang biasa dialami orang. Tetapi Allah setia kepada janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai lebih daripada yang dapat kamu tanggung. Pada waktu kamu ditimpa cubaan, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan menanggungnya.” Sungguh benar bahawa cubaan yang sedang kita alami merupakan cubaan yang sudah pernah manusia alami sebelum ini, sejarah membuktikan bahawa manusia sudah diancam bahaya virus seperti virus Nipah, virus Japanese encephalitis (JE) dan banyak virus pembunuh manusia lagi. Meskipun bukan TUHAN yang meletakkan virus-virus ini ke dunia ini, tetapi TUHAN mengizinkan semua ini terjadi (akibat kecuaian manusia) dengan janji daripada-Nya bahawa Dia akan setia bahkan memberikan jalan keluar kepada kita. Cepat atau lambat TUHAN memberikan jalan keluar, itu berada di luar akal fikiran kita untuk memahaminya. Tetapi, dengan kehadiran vaksin dan tindakan pencegahan oleh pemerintah negara, kita sedang menikmati jalan keluar oleh TUHAN. Sedar atau tidak sedar, bersetuju atau tidak bersetuju, kita sebenarnya sedang ditolong oleh TUHAN dengan cara-Nya yang sangat luarbiasa.

Lalu, apa peranan kita dalam keadaan ketika ini? Tetaplah bersyukur kepada TUHAN dan sedarilah untuk sentiasa mengimani sesungguhnya kasih TUHAN kepada kita adalah kekal dan abadi. Jika TUHAN sudah membuka jalan keluar untuk menyelesaikan pandemik ini, maka tidak mungkin TUHAN akan menutup jalan. TUHAN bukan berminat pada kepentingan politik dan perniagaan yang digunakan oleh para pemimpin yang melaksanakan langkah pencegahan penularan pandemik ini, TUHAN lebih berkenaan kepada hati dan hidup kita sebagai anak-anak kesayangan-Nya. Maka, selama kita berada di dunia ini, TUHAN sedang memberikan kesempatan kepada kita untuk terus mengabdikan diri kita kepada-Nya. Jika selama ini kita masih belum berkomitmen sungguh-sungguh untuk mengikuti TUHAN, ambillah peluang hari ini untuk berkomitmen kembali kepada-Nya. Mazmur 145:17-18 berkata, “TUHAN adil dalam segala tindakan-Nya, dan berbelas kasihan dalam semua perbuatan-Nya. Dia dekat dengan orang yang berseru kepada-Nya, dan memohon kepada-Nya dengan tulus hati.” TUHAN sentiasa sedia menerima kita jika kita mahu berseru kepada-Nya dan menerima Dia sebagai TUHAN dan Penyelamat peribadi kita. Ketika kita memohon perlindungan di dalam TUHAN, kita akan dilindungi-Nya kerana kita adalah anak-anak kesayangan-Nya. TUHAN sungguh baik dan kasih setia-Nya kekal abadi. Amin!

Bersyukurlah kepada TUHAN
sebab Dia baik.
Bersyukurlah kepada TUHAN
sebab kasih setia-Nya kekal abadi.
Bersyukurlah kepada TUHAN
sebab pertolongan-Nya yang ajaib.
Dulu, sekarang dan selamanya!

– HT Ram Jonathan®