Janganlah tertipu: Allah tidak dapat dipermainkan, kerana apa yang disemai oleh seseorang, itulah yang akan dituainya.
Orang yang menyemai bagi hawa nafsu manusia akan menuai kebinasaan daripadanya; manakala orang yang menyemai bagi Roh akan menuai hidup yang kekal.
Janganlah kita jemu berbuat baik, kerana pada musimnya nanti kita akan menuai jika kita tidak berputus asa.
Oleh itu, apabila ada peluang, kita haruslah berbuat baik kepada semua orang, lebih-lebih lagi saudara-saudara kita yang seiman.
– Galatia 6:7-10

Ayat 7-10 merupakan sebuah deskripsi hukum rohani dalam konteks menabur dan menuai. Setiap umat Allah diajar untuk memiliki rasa tanggungjawab rohani untuk berbahagi pelayanan dengan orang-orang yang melayani mereka (Lukas 10:7; Roma 15:27. Maka itu juga alasan untuk peringatan tegas oleh Paulus dalam ayat 7 yang berkata, “JANGAN TERTIPU” atau dalam terjemahan lain adalah “JANGAN SESAT”. Paulus mahu memberikan amaran kepada mereka untuk berhenti daripada tindakan negatif yang sedang atau bakal mereka lakukan seperti yang dia nyatakan dalam ayat 8, “orang yang menyemai bagi hawa nafsu…”. Ternyata bahawa jemaah di Galatia sedang bergumul dalam kerohanian mereka dengan godaan dari hawa nafsu mereka sendiri. Itulah sebabnya Paulus mengingatkan mereka bahawa apa yang mereka semai akan mereka tabur kelak. Paulus bukan sekadar memberi amaran keras di atas kecemaran rohani jemaah tetapi juga memberikan dorongan agar mereka tidak berhenti dalam melakukan kebaikan kerana akhirnya setiap kebaikan yang mereka lakukan pasti akan mendapat balasan baik daripada Allah sendiri.

Kedaulatan Allah akan menentukan balasan daripada tindakan kita. Terlalu ramai manusia di bumi yang melakukan kejahatan, tetapi masih memiliki keselesaan hidup dan menjadi ikutan ramai manusia lain. Adakah mereka tidak mendapat hukuman daripada Allah di atas sikap kejahatan mereka? Bahkan sebaliknya, ramai orang beriman kepada Allah masih di dalam penderitaan selama berada di dunia ini dan sentiasa dihimpit perasaan takut kerana berhadapan dengan seksaan emosi, mental dan fizikal daripada pihak-pihak yang membenci kekristianan. Namun, Allah yang berdaulat tidak selamanya akan berdiam diri. Ayat 9 berkata “kerana pada musimnya nanti kita akan menuai…” yang membawa maksud bahawa apabila Allah menurunkan balasan kepada manusia, maka setiap kita tidak akan terlepas daripada kedaulatan-Nya. Jika selama ini manusia terpengaruh dengan si Iblis maka kedaulatan Allah akan memberikan hukuman penyeksaan di api neraka untuk mereka. Sedangkan bagi kita yang setia dalam iman meskipun berhadapan cabaran selama ini, akan mendapat penghargaan daripada Allah, iaitu anugrah keselamatan yang kekal bersama-Nya di Syurga! Bukankah hidup di dunia ini hanya sementara termasuk kekayaan, kehormatan dan kegemilangan. Sedangkan apabila kita diberkati oleh Allah sendiri, maka tidak ada kuasa apapun termasuk si Iblis akan dapat merampas berkat itu daripada kita. Mudah memahaminya iaitu kerana segala sesuatu daripada Allah apabila diberikan kepada kita, maka tiada kuasa lain dapat merampasnya. Jika sesuatu datang daripada si Iblis, maka ia hanya godaannya untuk membawa kita keluar daripada kebenaran Allah dan akhirnya kita terjerat bersama di dalam api neraka.

Oleh itu, janganlah kita jemu-jemu berbuat kebaikan kepada sesama saudara seiman, tetapi juga dengan penuh kasih terhadap sesiapapun. Allah tidak mahu kita menipu diri sendiri dengan hidup seperti sesumpah (chameleon) yang sering bertukar warna kulit demi keselasaan hidup sendiri; Allah tidak mahu kita menyembah ilah-ilah lain selain daripada Dia. Jika kita mahu menikmati tuaian yang baik dalam hidup kita, maka tetaplah menjadi diri sendiri sebagai seorang Kristian tulen yang bersinar di tengah-tengah dunia ini. Kita tidak harus menjadi ‘talam dua muka’ di hadapan Allah kerana tidak ada yang tersembunyi. Jika kita beranggapan bahawa jauh di lubuk hati kita tidak diketahui oleh Allah, maka kita sedang menipu diri sendiri kerana Allah adalah Mahatahu sehingga apapun yang ada di lubuk terdalam hati kita, Dia sangat jelas meskipun di dalam kata-kata atau tindakan kita seolah-olah memuliakan Allah.

Ketika kita sedang beranggapan bahawa kita dapat menipu Allah, kita sebenarnya sedang mengejek Allah dan ia adalah sikap yang tidak mendatangkan kebaikan dalam hidup kita. Meskipun kita mungkin tidak dihukum oleh Allah kerana mengejek-Nya, tetapi kita telah menyemai benih-benih jahat sehingga karakter si Iblis sebenarnya telah mulai bertumbuh di dalam dalam hati kita. Jika kita berterusan menipu diri kita dengan pemahaman seperti ini, maka cepat atau lambat, kita akan menuai kehancuran hidup. Bukan sahaja hati kita akan dipenuhi dengan benih-benih karakter si Iblis, tetapi tindakan luaran dan wajah kita akan memancarkan karakter si Iblis. Bersyukurlah jika selama ini, ketika kita secara sengaja telah menyemai benih-benih kejahatan tetapi belum menuai hasil yang buruk maka fahami satu hal, ALLAH sedang memberikan peluang kepada kita untuk kembali kepada-Nya dan meminta-Nya membunuh benih-benih jahat itu lalu menggantinya dengan benih-benih kebaikan daripada-Nya sendiri. Jangan bersikap sombong di hadapan Allah. Jangan sampai kita menuai keburukan yang bersikat fatal iaitu kematian kekal tanpa sempat bertaubat. Neraka adalah tempat untuk manusia sombong seperti itu. Marilah kita berusaha menyemai benih-benih kebaikan yang telah Allah berikan kepada kita melalui firman-Nya dan siramilah ia dengan air hidup iaitu dengan doa, persekutuan indah dan sikap memuliakan Allah sehingga apabila musim menuai tiba, kita menikmati berkat yang melimpah. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®