“Aku hendak memasyurkan nama TUHAN. Nyatakanlah keagungan Allah kita!” “Dialah Batu Pejal yang sempurna pekerjaan-Nya kerana adil segala jalan-Nya. Allah yang setia, tanpa kecurangan. Dia adil dan benar.”
– Ulangan 32:3-4

Buat pertama kalinya TUHAN dipanggil sebagai “Batu Pejal” dalam Alkitab dan ia sebagai sebuah ungkapan ekspresi mewakili kekuatan ilahi, kesetiaan dan kasih-Nya kepada umat Israel. Karakter sama yang ditunjukkan oleh Yesus dan merupakan sebuah asas Injil yang tidak akan tergantikan. Musa berusaha menyampaikan pengajaran indah sama ada isi mahupun cara penyampaiannya mengenai TUHAN dan sikap-Nya terhadap umat Israel. Musa ingin memasyurkan TUHAN dengan nyanyian yang akan dikumandangkan kepada seluruh umat Israel bahawa sesungguhnya TUHAN umat Israel adalah Batu Pejal yang tidak akan dapat dihancurkan oleh sesiapapun, termasuk oleh kejahatan umat Israel sendiri. TUHAN yang setia dan adil, benar dan perkasa, tidak dipengaruhi oleh tindakan umat-Nya, bahkan semenjak dari Mesir, TUHAN sudah menyertai mereka (ayat 7). Musa ingin umat Israel untuk tidak melupakan kesetiaan TUHAN kepada mereka dan Musa juga mahu umat Israel untuk setia terus menerus kepada TUHAN. Bahagian Ulangan 32 sehingga 34 juga dianggap sebagai dokumen terakhir yang mengajak umat Israel utnuk memiliki pengabdian kepada TUHAN melalui perjanjian. Sehingga itulah Musa dalam bahagian awal bab 32, dia menyampaikan pujian pengagungannya kepada TUHAN dengan mengajak umat Israel menelusuri sejarah penyertaan Tuhan kepada mereka sejak dari Mesir sehingga akhirnya masuk ke tanah Kanaan kelak.

Demikianlah kehebatan firman Tuhan yang kita pegang pada saat ini. Ia bukan sahaja sekadar sebuah buku mengandungi pelbagai sejarah peradaban manusia, tetapi merupakan sebuah catatan sejarah perjuangan iman manusia di dalam TUHAN yang akhirnya digenapi oleh Yesus Kristus. TUHAN yang menyelamatkan umat Israel daripada ditindas dan dibuli, TUHAN yang sama telah turun sendiri mengerjakan karya agung iaitu penyelamatan manusia dengan cara ajaib, menjelma menjadi manusia. Lahir dari rahim seorang wanita perawan dan akhirnya bertumbuh dewasa menjadi Penyelamat seluruh umat manusia, bukan sekadar umat Israel atau bangsa Yahudi tetapi seluruh umat manusia. Jika Musa masih hidup dan menuliskan Ulangan 32:3-4 ini, maka kita juga harus jelas bahawa kita di tuntut untuk tidak melupakan TUHAN! Adakah di antara kita yang sudah mulai melupakan TUHAN dalam hidupnya pada saat ini? Mungkin kita mulai tergoda untuk melupakan TUHAN, bahkan meninggalkan TUHAN demi mengejar hal-hal lain dalam dunia ini. Mungkin juga desakan hidup semenjak Covid-19 telah memaksa untuk kita menjadi serupa dengan dunia yang tercemar ini; melakukan penipuan demi kesenangan hidup, mencemarkan kesucian roh demi mencari wang yang memadai, atau mencederakan tubuh tanpa hal yang pasti demi mendapatkan perhatian dunia sekeliling.

Tidak dapat dinafikan bahawa keadaan dunia semakin hari semakin jahat, bahkan semakin hari semakin menakutkan untuk dihuni. Penyakit tersebar di sana sini sehingga berbagai varian terhasil. Kejahatan pemimpin politik semakin berleluasa semata-mata kepentingan mereka sendiri sehingga rakyat dihimpit kesusahan. Pencemaran alam sekitar semakin teruk berlaku sehingga udara bersih semakin sukar dinikmati. Ini semua bukan pencobaan daripada TUHAN, tetapi semuanya adalah akibat kejahatan manusia sesamanya sendiri. Jangan kita menuding jari dan menuduh TUHAN yang mendatangkan penyakit apabila kita sendiri tidak menjaga kesihatan dengan baik, bahkan melanggar SOPs yang sudah disediakan. Jangan kita bertengkar dengan TUHAN apabila bencana alam mulai mengancam nyawa kita, kerana kita sendiri tidak memiliki disiplin dalam memelihara dan memulihara alam sekitar. Jangan kita meminta TUHAN memerintah negara kita sedangkan kita sendiri yang salah mengundi pemimpin yang bertopeng kemunafikan. Benar bahawa semua itu diizinkan berlaku oleh TUHAN, tetapi semua itu bukan berasal daripada TUHAN. Adakah kerana kita salah tanggapan kepada TUHAN maka kita mulai melupakan TUHAN?

Ingatlah bahawa, kerana TUHAN maka kita masih bernafas di bumi yang tercemar ini. Kerana TUHAN maka kita masih mampu mencari pekerjaan di bawah kepimpinan politik yang kucar kacir ini. Bahkan kerana TUHAN yang setia dan sangat mengasihi kita, maka kita masih belum berada di alam maut. Semua yang kita sedang miliki termasuk sisa hidup yang kita miliki ketika ini adalah kerana TUHAN yang setia bersama-sama dengan kita dan menuntun langkah hidup kita setiap masa. Covid-19 mungkin telah meragut ramai nyawa dalam 2 tahun kebelakangan ini. Lebih dari 245 juta kes dilaporkan di seluruh dunia dan hampir 5 juta kematian telah berlaku akibat pandemik ini. Di Malaysia sahaja, lebih 28 ribu kematian direkodkan sehingga 27 Oktober 2021. Ini bukan jumlah yang sedikit dan mungkin mereka adalah jiran, saudara atau sahabat kita sendiri. Masihkah engkau mahu melupakan TUHAN di saat engkau sedang berhadapan dengan kematian setiap hari? Jika bukan akibat pandemik ini, kita juga sering berhadapan dengan kematian kerana kematian itu ibarat pencuri yang tidak kita ketahui masanya untuk tiba. Jika kamu mati tanpa iman kepada TUHAN, kemanakah tujuan akhir hidupmu?

Lalu, apakah berkatnya bagi kita yang tidak melupakan TUHAN bahkan tidak meninggalkan-Nya? Yesaya 2:22 mengingatkan kepada kita agar berhenti berharap kepada manusia kerana nilai manusia sesama manusia itu sama sahaja, maka sepatutnya manusia harus berharap kepada TUHAN. Lalu kitab terakhir dalam Perjanjian Lama iaitu Wahyu menyatakan kepada jemaah Kristian bahawa mereka yang menang dan melakukan kehendak TUHAN sehingga akhir akan menerima anugerah kekuasaan memerintah bersama-sama TUHAN bahkan berkuasa bersama-sama TUHAN (Wahyu 2:26-27). Kita mungkin masih dan akan menghadapi kesusahan selama kita hidup di dunia ini. Kita mungkin sentiasa berhadapan dengan tuntutan berasal daripada dunia untuk mengikuti alur kehidupan duniawi yang menentang standard kekudusan TUHAN. Tetapi, jika kita setia kepada TUHAN sehingga akhir hidup kita, maka TUHAN akan setia dan adil dalam rahmat-Nya untuk memberikan anugrah termulia-Nya kepada kita. Maka itu, kita tidak harus melupakan TUHAN dalam kehidupan kita. Tidak melupakan TUHAN sama ertinya dengan kita tetap setia kepada TUHAN seumur hidup kita. Jika anda tersandung lalu terjatuh, bangun dan majulah ke hadapan melalui masa depan yang disucikan semula oleh TUHAN. Jangan tetap terjatuh dan tidak mahu bangun lagi. Kuasa TUHAN, kasih TUHAN dan anugerah TUHAN sentiasa menyertai kita selama-lamanya. Haleluyah!

– HT Ram Jonathan®