“Oleh itu,marilah kita tampil dengan berani ke hadapan takhta kasih kurnia, supaya kita mendapat belas kasihan dan kasih kurnia untuk menolong kita ketika kita memerlukannya.”
– Ibrani 4:16

Penulis kitab Ibrani dalam ayat 14 menyebut Yesus sebagai Imam Besar. Penulis kitab Ibrani menyatakan Yesus sebagai Imam Besar kerana Yesus lebih besar daripada semua nabi yang pernah hidup bahkan lebih besar daripada Musa, kerana Yesus sendiri adalah Allah yang memberikan pelayanan kepada Musa dan bukan Yesus yang mewarisi pelayanan Musa (Ibrani 3:1-6). Kitab Ibrani juga merupakan kitab yang menyebutkan Yesus sebagai Imam Besar dan ia merupakan pendekatan yang berbeza daripada penulis kitab Injil, surat-surat bahkan gelar bagi Yesus dalam Perjanjian Lama. Penulis kitab Ibrani mahu menyatakan dengan sesungguhnya bahawa Yesus adalah jauh berkuasa melebihi para nabi yang pernah hidup di dunia ini. Yesus bukanlah imam dari suku Lewi, kerana keimamatan seorang imam dari suku Lewi adalah warisan melalui garis keturunan mereka. Yesus adalah Allah yang memberikan keimamatan itu kepada suku Lewi. Penulis kitab Ibrani juga menyatakan kemahakuasaan Yesus dengan menggunakan pernyataan ‘Imam Besar yang telah melalui syurga’ dan ia adalah sebagai pengakuannya bahawa Yesus adalah Allah yang telah berinkarnasi menjadi manusia lalu turun ke bumi menjadi Penyelamat manusia, tetapi juga berinkarnasi semula menjadi Allah apabila naik ke syurga setelah kebangkitan-Nya. Kenyataan ‘melalui syurga’ dan maknanya iaitu inkarnasi Yesus memberikan erti yang sangat dalam kepada iman Kristian kerana kita percaya bahawa melalui perantaraan oleh Yesus, kerajaan syurga telah di bawa oleh Yesus kepada manusia dan semua manusia akan layak menghuni kerajaan syurga jika mereka percaya kepada Yesus sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka. Bahkan, Imam Besar juga telah menang dari segala godaan dunia malah menang mengalahkan maut dan sengat dosa sehingga Imam Besar ini layak ditinggikan dan dimuliakan. Itulah sebabnya penulis kitab Ibrani menggesa penerima surat ini untuk tampil dengan berani menghadap takhta Allah di dalam kehidupan kita. Kita telah ditebus oleh darah Yesus, telah dipulihkan hubungan dengan Allah dan kita perlu bergantung penuh kepada kasih kurnia Yesus dalam kehidupan kita.

Jika Yesus adalah Imam Besar dalam syurga dan bumi ini, maka setiap orang yang percaya kepada-Nya adalah iman-iman kecil. Anda dan saya adalah imamat-imamat rajani seperti yang dinyatakan oleh Petrus dalam suratnya (1 Petrus 2:9). Apakah fungsi kita sebagai imamat rajani? Jika dalam Perjanjian Lama, umat Israel dipanggil secara unik menjadi kudus membawa pengenalan Allah di dalam kehidupan mereka, maka kita sebagai imamat rajani Yesus bertanggungjawab membawakan nama dan Injil keselamatan kepada seluruh dunia. Maka, wajarlah bagi penulis kitab Ibrani menggesa orang percaya untuk tampil dengan berani menghadap takhta Allah di dalam kehidupan mereka. Kita dituntut untuk tampil berani di hadapan Allah dan ia bermakna kita harus berani menyerahkan hidup kita sepenuhnya, malah setia melakukan perintah-Nya iaitu menyatakan Injil yang menyelamatkan. Jika kita tampil berani menghadap Imam Besar, maka kita juga sedar bahawa kita sedang dipimpin oleh Imam Besar, dilindungi oleh Imam Besar dalam setiap situasi dan dirahmati oleh Imam Besar dalam kehidupan kita. Lalu, apakah yang membuat kita tumpul penakut? Bukan iblis yang membuat kita tumpul penakut tetapi kesedaran peribadi kita yang mengingatkan kita bahawa pengakuan iman kita kepada Yesus tidak kukuh dan meragui kekuasaan Yesus dalam hidup kita. Jika kita masih basah basi dengan iman kita kepada Yesus, maka tidak mustahil kita akan berjalan di dunia ini dengan tumpul penakut.

Jika penulisan kitab Ibrani mengutus surat ini kepada anda dan saya pada hari ini, maka bagaimanakah respon kita? Khususnya gesaaanya di dalam ayat 16 agar kita tampil dengan berani menghadap takhta Allah. Kita seharusnya bersemangat dan penuh dengan keberanian untuk tampil di hadapan Allah. Kita bersemangat dan berani bukan kerana kita manusia yang penuh dengan kekayaan, segudang kejayaan atau populariti, dan bukan juga kita manusia yang paling bijaksana di dunia ini. Kita bersemangat dan penuh keberanian menghadap takhta Allah kerana kita telah mengakui dengan iman bahawa Yesus adalah Tuhan dan Penyelamat kita, kita mahu dipimpin oleh Roh Kudus untuk memberitakan Injil keselamatan dan mahu menjadi duta kerajaan syurga di dunia ini. Kata ‘proserkhomai’ dalam ayat 16 bermakna mengajar orang yang sudah percaya untuk ‘menghampiri’ Tuhan. Anda dan saya adalah orang percaya itu dan surat ini juga bercakap kepada anda dan saya. Situasi dunia pada masa ini menuntut kita untuk menjadi Kristian yang sentiasa konsisten dengan iman kita kepada Yesus. Situasi dunia masa kita menuntut kita untuk hidup patuh kepada peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan demi mengelakkan jangkitan Covid-19 kepada kita dan orang sekeliling kita. Jika kita dengan sengaja gagal mematuhi tuntutan ini, kita sebenarnya gagal dalam menjaga kejujuran kita di hadapan Tuhan dan ia sama juga kita telah gagal menjadi duta kerajaan syurga, gagal menjadi imamat rajani dari Imam Besar. Situasi dunia masa kini juga menuntut kita untuk sentiasa membuka telinga rohani kita untuk membantu mereka yang memerlukan pengharapan kasih Yesus melalui kita, huluran tangan kita demi kelangsungan hidup mereka bahkan ucapan doa kasih kepada mereka yang terkesan berat akibat Covid-19 ini. Jika kita lalai dalam menjadi saluran berkat kepada mereka, maka kita juga secara langsung lalai dalam menjalankan tanggungjawab diakonia kita kepada masyarakat sekeliling. Ia secara langsung mencemarkan ajaran kasih yang Yesus perintahkan kepada pengikut-Nya.

Saudara-saudari yang terkasih di dalam Yesus, marilah kita tampil berani menghadap takhta Allah kerana kita adalah imamat-imamat rajani yang disiapkan oleh-Nya untuk datang menyembah-Nya. Kita juga harus tampil berani di hadapan-Nya kerana kita telah disiapkan untuk menyatakan Injil keselamatan kepada manusia di seluruh dunia ini. Kita juga harus tampil berani sebagai duta kerajaan syurga yang telah dilantik dengan cop darah Yesus yang mahal sehingga kita tidak sendirian, tetapi kita akan dilindungi setiap masa oleh kuasa-Nya. Jangan tumpul penakut kerana ia akan membawa kita kepada motivasi rendah untuk melayani Tuhan. Jangan tumpul penakut kerana ia akan menjadikan kita kurang yakin memberitakan Injil keselamatan. Jangan tumpul penakut kerana ia akan mengagalkan tanggungjawab kita sebagai duta kerajaan syurga. Tampil dengan berani kerana kuasa Allah bersama kita. Haleluyah!

– HT Ram Jonathan®