Dalam perjalanannya, apabila dia hampir sampai ke Damsyik, tiba-tiba suatu cahaya dari langit bersinar mengelilinginya. Dia rebah ke bumi lalu mendengar suara berkata, “Saul, Saul, mengapa engkau menganiaya Aku?”
Saul bertanya, “Siapakah Engkau, Tuan?” Jawab-Nya, “Akulah Yesus yang kauaniaya.”
– Kisah Para Rasul 9:3-5
Mengenali peribadi Saul yang akhirnya menukar nama kepada Paulus iaitu Rasul Paulus merupakan suatu pengalaman rohani yang sangat indah. Dalam Kisah Para Rasul 9, Saul dikatakan sangat berkobar-kobar (para penafsir menggambarkan sikap berkobarnya seperti seekor lembu yang mendengus) sebelum ke medan pertempuran. Dalam kes Saul, dia sangat berkobar-kobar untuk membunuh para pengikut Kristus sehingga dia tidak segan silu mengakui telah melakukan pembunuhan (Kisah Para Rasul 8:1) kerana sangat marah kepada mereka kerana menganggap mereka adalah penyesat kepada para Yahudi. Hobi menangkap dan membunuh pengikut Kristus bukan sekadar dilakukannya dalam masa-masa terluang tetapi dia sentiasa mencari peluang dengan meminta surat kebenaran dari
pemerintah Rom dan ketua agama Yahudi agar dibenarkan menangkap dan membunuh sesiapa sahaja pengikut Kristus yang dia kenali terutama mereka yang berada di rumah ibadat orang Yahudi. Ketika Saul dalam perjalanan ke Damsyik, dia tiba-tiba mengalami peristiwa misteri iaitu dia melihat cahaya dari langit mengelilinginya sehingga dia rebah (ayat 3-4). Dalam keadaan matanya yang masih silau bahkan dikatakan buta (ayat 8), dia mendengar, “Saul, Saul, mengapa engkau menganiaya Aku?” (ayat 4) tetapi Saul dalam keadaan bingung dan takut tidak menjawab sebaliknya bertanya, “Siapakah Engkau, Tuan?” (ayat 5). Lalu Yesus menjawab, “Akulah Yesus yang kauaniaya.”
Jika pengalaman ini dijadikan sebuah drama, maka kita akan mengetahui bahawa Saul kemudiaannya bertaubat dan menjadi seorang tokoh Kristian yang sangat berpengaruh terhadap peradaban gereja. Bahkan, Saul yang kemudiannya menjadi Rasul Paulus iaitu rasul yang memberitakan Injil kepada hampir seluruh Asia melalui surat-suratnya telah menjadikan Kristian sangat logik untuk diterima oleh jutaan manusia di seluruh dunia. Walaupun perkataan ‘logik’ bukanlah gambaran tepat untuk menjadi pengikut Kristus tetapi apabila Paulus menjelaskan bagaimana Yesus Kristus adalah Tuhan dan satu-satunya Penyelamat dan Kristian adalah gereja yang dilandaskan oleh kasih Yesus, maka dunia mengakuinya dan menerimanya sebagai kebenaran hakiki. Meskipun masih terlalu ramai yang tidak beriman kepada Kristus, namun Kristian tidak perlu bergerak lebih daripada apa yang tertulis di Alkitab dan sebahagian daripada Alkitab khususnya Perjanjian Baru merupakan tulisan Paulus dan ianya berisikan pelajaran iman serta kerohanian yang sesungguhnya harus diikuti oleh manusia yang haus akan kebenaran daripada Tuhan. Menjadi Kristian adalah berdasarkan iman kepada Yesus Kristus dan bukannya perlu berfikir logik lalu menjadi Kristian.
Namun, pertanyaan yang Saul ajukan kepada Yesus, “Siapakah Engkau, Tuan?” harus menjadi pertanyaan dinamik dalam hidup setiap manusia. Ketika Saul menggunakan kata nama khas ‘tuan’, ia menunjukkan bahawa dia mengetahui bahawa peribadi yang menyebabkan matanya tidak dapat melihat adalah seorang yang layak dihormati termasuk dihormati olehnya sendiri iaitu pembunuh orang Kristian! Paul yang sangat jahat malah bertanya siapakah yang menyebabkan dia menjadi buta sementara. Bagaimana dengan anda dan saya? Pernahkah kita bertanya kepada diri kita siapakah ‘tuan’ dalam hidup kita? Kita mengakui kita adalah Kristian tetapi benarkah kita adalah Kristian yang menjadikan Yesus Kristus sebagai satu-satunya Tuhan dalam hidup kita? Ketika Saul mengalami peristiwa demi peristiwa rohani dalam hidupnya, dia menjadi manusia baharu yang menjadi rasul bagi semua orang. Dia membawakan Injil kepada semua orang dengan segala upaya yang ia miliki. Kita seharusnya meneladani hidup baharu Saul iaitu menjadi seorang Kristian yang benar-benar mahu memberitakan Injil kepada semua orang.
Risiko kehilangan nyawa berada di hadapannya, namun dia tidak menganggap bahawa kematian adalah merugikan sebaliknya adalah sebuah keuntungan apabila mati di dalam Kristus (Filipi 1:21). Bahkan ketika dunia membenci Paulus dan menganggapnya sampah masyarakat kerana imannya kepada Kristus dan perjuangannya menegakkan Injil, Paulus tidak meresponi mereka dengan negatif sebaliknya membalas dengan kata-kata baik. Bahkan bagi Paulus, segala yang dia miliki sebelum mengenal Kristus seperti kelayakan akademik, status kehormatan agamawi dan kekayaan yang banyak, semuanya itu dia anggap sampah sarap apabila sudah mengenal Kristus. Paulus adalah benar-benar manusia baharu dan menunjukkan kepada mereka dan kita bahawa menjadi orang Kristian harus sentiasa tahu siapa peribadi mereka dan tahu siapa Tuan yang mereka sembah!
Siapakah Engkau, ya Tuhan? Siapakah Engkau, ya Tuhan; Engkau sanggup menebus aku daripada penjara dosa dan meletakkan aku di tangan-Mu yang penuh kasih itu? Siapakah Engkau, ya Tuhan; sehingga sanggup menuntun hidupku siang dan malam tanpa gagal agar aku tidak terjatuh ke lembah dosa. Tuhan yang telah menemui Saul dan mengubah hidupnya menjadi baharu adalah Tuhan yang sama mati disalibkan lalu bangkit pada hari ketiga. Tuhan yang sama telah menemui anda dan saya ketika kita masih berdosa dan hilang kemuliaan Allah lalu memperdamaikan kita dengan Allah. Yesus Kristus adalah Tuhan yang Saul temui, Tuhan yang mati dan bangkit, Tuhan yang menjadi sumber hidup anda dan saya. Jika hari ini anda masih belum menemui Tuhan dalam hidup anda, berdoalah dan berserulah memanggil Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat anda. Dia akan datang dan menemui anda. Dia akan datang dan mengisi hidup anda menjadi baharu. Dia adalah Yesus Kristus, Tuhan dan Penyelamat manusia. Haleluyah!
– Jonathan Nafesy El Ram®