TUHAN yang memerintah dan melindungi Israel, TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Akulah yang pertama dan yang terakhir, Allah satu-satunya; selain Aku tiada yang lain. Siapakah dapat melakukan apa yang telah Ku buat? Siapakah dapat meramalkan apa yang akan berlaku sejak permulaan hingga akhir zaman? Janganlah takut, hai umat-Ku! Kamu tahu bahawa sejak dahulu hingga sekarang Aku telah bernubuat tentang segala yang akan berlaku; kamulah saksi-saksi-Ku. Selain Aku, tiada yang lain, dan tiada pelindung lain yang belum Aku ketahui.”
– Yesaya 44: 6-8

Seorang anak kecil mudah untuk mempercayai segala kata-kata yang keluar dari mulut ibubapa mereka. Ini kerana mereka sentiasa bersama-sama dengan ibubapa mereka dan memiliki hubungan intim dengan ibubapa. Berbanding dengan orang dewasa, mereka lebih banyak berfikir sebelum mempercayai kerana memiliki kerisauan akan ditipu dan dipermainkan; mereka melihat keadaan sekitar dan kemudian membuat pertimbangan untuk percaya atau tidak. Demikian juga bangsa Israel, ketika mereka menjadi bangsa pilihan TUHAN, mereka pada awalnya sangat setia kepada TUHAN. Tetapi tahun berganti tahun, mereka mulai membuat pertimbangan logik mereka sendiri sama ada mahu tetap taat percaya kepada TUHAN lagi atau sekadar mencari TUHAN apabila mereka mahu. Orang Israel memandang kesulitan hidup dan ancaman nyawa dari musuh lebih besar daripada TUHAN sehingga dalam banyak peristiwa, mereka memilih untuk bertindak sesuai kekuatan sendiri tetapi akhirnya TUHAN yang penuh belas kasihan menemukan mereka dan meneguhkan mereka bahkan menewaskan musuh mereka sehingga menang bagi mereka. Sehingga itu, TUHAN mengumumkan diri-Nya sebagai TUHAN yang pertama dan terakhir bagi bangsa Israel dan tidak patut ada tuhan lain selain TUHAN yang bersama mereka dari awal sehingga akhir (ay 6). Kemudian TUHAN meneguhkan lagi ketuhanan-Nya dengan ungkapan pertanyaan yang bertujuan menyatakan bahawa tiada kuasa lain yang dapat meramalkan apa yang berlaku dari awal dunia ada sehingga akhir zaman melainkan Dia sahaja (ay 7). Oleh itu, bangsa Israel seharusnya tidak perlu takut dalam apa keadaan sekalipun yang ada di hadapan mereka kerana sesungguhnya mereka sendiri sudah menjadi saksi kekuasaan TUHAN di dalam perjalanan hidup mereka sejak dari Mesir. Sesungguhnya tiada TUHAN yang lain!

Demikianlah kehebatan TUHAN yang menjaga bangsa Israel sepanjang masa. TUHAN yang tidak pernah membiarkan bangsa pilihan-Nya binasa meskipun mereka sentiasa meragui kekuasaan TUHAN. Ketika bangsa Israel mahu menjadi bangsa yang kuat dan berjaya, TUHAN memberkati mereka dengan nabi, pemimpin suku-suku serta raja yang bijaksana; semuanya disediakan TUHAN bagi mereka. TUHAN yang melindungi, memberkati dan mengasihi bangsa Israel adalah TUHAN sama yang melindungi, memberkati dan mengasihi kita. Bagaimana hal itu boleh terjadi? TUHAN yang telah menjanjikan bahawa Dia akan menebus semua manusia di dunia ini daripada dosa akibat kejatuhan manusia pertama iaitu Adam dan Hawa (Kej 3:15) dan Yesus yang merupakan TUHAN telah menebus semua manusia di dalam dunia ini (Yoh 3:16) sehingga setiap manusia yang percaya kepada Yesus sebagai Penyelamat akan menjadi keluarga dalam TUHAN. TUHAN yang dikenali sebagai Yahweh oleh Israel telah datang ke dunia dalam rupa Manusia iaitu Yesus (Yohanes 1). Itulah sebabnya TUHAN yang bersama-sama dengan Israel adalah TUHAN yang kita ada sekarang ini. Adakah sesuatu yang mustahil bagi TUHAN untuk dilakukan kepada manusia dari awal dunia diciptakan-Nya, sekarang ini dan selama-lamanya? TIADA YANG MUSTAHIL BAGI TUHAN!

Jika TUHAN yang bersama bangsa Israel berkata, “JANGAN TAKUT!”, maka ia juga adalah jaminan kepada kita; JANGAN TAKUT! TUHAN MEMERINTAH HIDUP MANUSIA DAN TUHAN BERKUASA DI DALAM HIDUP ANDA DAN SAYA. Jangan kuasai diri kita sendiri dengan kebijaksanaan dan akal logik manusia kita. Bangsa Israel pernah melakukannya beratus kali (bahkan mungkin beribu kali) tetapi tidak ada hasil terbaik daripada penguasaan diri sendiri. Tetapi, jika kita menyerahkan hidup kita kepada TUHAN, maka tiada satu kuasa lain di bumi ini yang dapat menguasai hidup kita. Jika kita menggunakan hikmat kebijaksanaan sepenuhnya yang datang daripada TUHAN, tiada kebijaksanaan dan tipu daya yang datang dari iblis yang akan berjaya mengalahkan kita. TUHAN yang kita muliakan dan harapkan tidak dapat dikalahkan oleh tuhan-tuhan lain! Kerana itulah TUHAN berkata, “SELAIN AKU, TIADA YANG LAIN DAN TIADA PELINDUNG LAIN…” Sesungguhnya tidak ada tuhan lain selain Tuhan Yesus. Seperti yang dinyatakan dengan lantang oleh Rasul Petrus ketika dia berhadapan dengan Majlis Agama Yahudi (Kisah Rasul-Rasul 4:12), “Hanya melalui Yesus orang diselamatkan, kerana di seluruh dunia tiada orang lain yang mendapat kekuasaan daripada Allah untuk menyelamatkan kita.” Dalam erti kata lain, tiada TUHAN yang dapat menyelamatkan manusia di dunia ini selain daripada Yesus! Tiada TUHAN selain Yesus! Haleluyah!

TUHAN YESUS
Ajar aku untuk tetap percaya kepada-Mu.
Dalam segala perkara, aku mencari wajah-Mu,
Temukanlah aku dan bimbinglah aku ke air yang tenang.
TUHAN YESUS,
Kuasai aku dalam setiap langkahku.
Dalam sepanjang masa, aku ingin menggenggam erat tangan-Mu,
Pimpinlah aku dan bawalah aku sentiasa dekat pada-Mu.
Amin.

– HT Ram Jonathan ®