“Sekarang juga,”demikianlah firman TUHAN, “kembalilah kepada-Ku dengan seluruh hatimu, dengan berpuasa, dengan menangis, dan dengan meratap.” “Koyakkanlah hatimu, bukan pakaianmu, dan kembalilah kepada TUHAN, TUHANmu, kerana Dia pengasih dan penyayang, panjang sabar dan melimpah-ruah kasih-Nya, dan sentiasa mengampuni dan tidak suka menghukum. Siapa tahu Dia sudi berpaling dan berbelas kasihan, serta meninggalkan berkat, iaitu persembahan bahan makanan dan persembahan minuman bagi TUHAN, TUHANmu.”
– Yoel 2:12-14

Jika membaca penulisan awal kitab Yoel bab 1, maka kita akan melihat gambaran yang diberikan oleh Nabi Yoel mengenai hari TUHAN dengan skala kemusnahan besar yang akan memusnahkan semua bangsa, termasuk bangsa Israel. Yoel 1:5, 8, 13-14 menceritakan mengenai umat Israel yang diminta untuk meratap, berkabung dan berpuasa, bahkan Yoel 2:12, 15-17 juga mengajak umat Israel untuk melakukan tindakan penyesalan dan pertaubatan yang sama. Meskipun Nabi Yoel menjadi perantara TUHAN kepada umat Israel untuk menyatakan amaran, dan peluang pertaubatan, namun umat Israel yang dikenali sebagai “tegar tengkuk” ini tetap kembali melakukan dosa. Itulah sebabnya dalam bab 2:12, TUHAN menyatakan kepada umat bahawa mereka harus bertaubat dengan seluruh hati sekarang juga! Jangka masa yang diberikan oleh TUHAN untuk mereka kembali adalah sekarang juga, bukan kemudian selepas mereka berfikir kebaikan atau kekurangan selepas bertaubat, bukan juga selepas mereka puas melakukan dosa atau pada masa mereka di dalam kesusahan nanti, tetapi sekarang juga. Lalu, pertaubatan yang dituntut oleh TUHAN bukan lagi secara luaran iaitu mengoyakkan pakaian seperti yang lazim mereka lakukan sebagai simbol penyesalan, tetapi TUHAN menuntut mereka untuk bertaubat dengan sepenuh hati dengan tuntutan ‘koyakkan hati’. Puasa, ratapan dan tangisan merupakan tindakan tradisi yang sentiasa dilakukan oleh umat untuk menunjukkan mereka secara umum beramai-ramai menyesali dosa mereka. Meskipun tidak dijelaskan apa dosa yang dilakukan, tetapi arahan ‘koyakkan hati’ pasti sebuah indikasi bahawa hati yang mereka miliki sebelumnya telah tercemar, bahkan sangat tercemar oleh dosa sehingga TUHAN secara simboliknya mahu mereka menghancurkan hati masing-masing dengan harapan bahawa TUHAN sendiri yang akan memulihkan mereka. Jelas bahawa pertaubatan yang dituntut oleh TUHAN bukan lagi sekadar memperbaiki kelakuan, melainkan memperbaiki jiwa dan roh mereka! Jika umat Israel benar-benar berkomitmen untuk menyerahkan jiwa dan roh mereka kepada TUHAN, maka mereka pasti akan dipulihkan TUHAN. Kasih dan setia TUHAN itu jelas nyata apabila Nabi Yoel berkata bahawa (ayat 13b), ‘kerana Dia pengasih dan penyayang, panjang sabar dan melimpah-ruah kasihnya, dan sentiasa mengampuni dan tidak suka menghukum.

Era pascamoden dunia telah dipengaruhi dengan kemampuan manusia berfikir logik berdasarkan fakta yang mereka lihat. Manusia mempunyai kecenderungan untuk menilai TUHAN seperti manusia biasa; memiliki tahap kesabaran dan memilih dalam menunjukkan kasih. Sisi logik fakta itu ada benarnya, kerana itulah ramai manusia yang beribadah kepada tuhan sesuai dengan keinginan mereka sendiri iaitu berharap tuhan itu dapat dipujuk dengan cara tindakan luaran manusiawi. Tetapi, TUHAN yang kita miliki iaitu TUHAN yang memperkenalkan diri-Nya kepada umat Israel, merupakan TUHAN yang memperkenalkan diri-Nya di dalam bentuk manusia iaitu Yesus Kristus. TUHAN inilah yang telah mematahkan upaya logik berfikir manusia tentang TUHAN. Yesus Kristus bukan seperti manusia biasa kerana hanya Yesus Kristus yang pernah diseksa sehingga mati disalibkan untuk menebus dosa manusia seluruh dunia. Hanya Yesus Kristus yang bangkit dari mati dan kembali ke Syurga lalu menyediakan tempat untuk setiap manusia yang percaya kepada-Nya, agar mereka memiliki hidup kekal bersama-Nya. Namun, jika ada di antara manusia yang masih sekadar memilih ‘sesuatu’ sebagai tuhan mereka berdasarkan logik manusiawi, maka tidak akan ada tempat untuk mereka di Syurga kekal. Ajakan keselamatan oleh Yesus Kristus, TUHAN kita itu tidak mudah difahami oleh majoriti manusia di dunia ini; “Sesiapa yang percaya dan dibaptiskan akan diselamatkan, tetapi sesiapa yang tidak percaya akan dihukum” (Markus 16:16). Jelas bahawa untuk diselamatkan adalah dengan memiliki iman kepada Yesus Kristus. Manusia berkata bahawa apa itu iman? Berapa jumlah iman yang diperlukan? Dimanakah iman? dan banyak lagi soalan logik manusiawi. Tetapi, iman adalah apabila kita percaya dengan sepenuh hati kepada TUHAN bahawa Yesus Kristus adalah satu-satunya TUHAN dan PENYELAMAT manusia. Jika kita datang kepada TUHAN dengan iman, maka kita juga akan datang dengan membawa sikap untuk memohon pemulihan hati kita; kita harus mengoyakkan hati yang penuh dengan dosa lalu datang kepada TUHAN dan memohon kepada TUHAN untuk memulihkannya. Bila kita harus beriman dan bertaubat? Jawapannya, SEKARANG JUGA! Jangan menunggu selepas berhadapan dengan suasana hidup mati dahulu untuk beriman kepada Yesus Kristus.

Semoga hidup kita terus disirami dengan kebenaran firman TUHAN sepanjang masa. Pandemik Covid-19 merupakan cabaran yang menjadikan kehidupan seluruh manusia di dunia ini mendapt impak negatif. Hanya dengan Covid-19, ekonomi kita terkesan sangat teruk, mental dan emosi terganggu lebih parah bahkan hubungan sosial sesama keluarga, masyarakat umum dan rakan seiman juga terpengaruhi. Tetapi, jangan kita mengambil alasan akibat Covid-19, maka iman kita juga semakin lemah lalu kembali kepada jalan-jalan yang mendatangkan dosa bahkan membawa kepada maut. Tetaplah beriman kepada Yesus Kristus setiap masa. Tetaplah memberitakan kebaikan Tuhan sepanjang masa. TUHAN berkata, “Sekarang juga” yang bermakna bahawa TUHAN mampu mengubah keadaan duka hidup kita kepada sukacita, kehancuran membawa pemulihan atau juga kelemahan iman menjadi kekuatan iman. TUHAN tidak dapat dihalangi oleh apaun keadaan dunia termasuk si Covid-19. TUHAN kita jauh berkuasa mengatasi keadaan dunia dan jauh berkuasa mengatasi had masa yang ada di dunia ini. Cuma tetaplah setia kepada TUHAN dan sentiasa datang kepada-Nya untuk dipulihkan. Jangan tunggu ketika anda sudah di hujung penyelesaian iman, tetapi ‘sekarang juga’ datang kepada-Nya. Haleluyah!

– Jonathan Nafesy El Ram®