Telitilah aku, ya Allah, dan kenallah hatiku;
dugalah aku dan ketahuilah kebimbanganku.
Lihatlah jika ada kecenderungan durjana di dalamku,
dan pimpinlah aku ke jalan yang kekal selama-lamanya.
– Mazmur 139:23-24
Ini merupakan sebuah doa oleh Daud yang ingin dia sampaikan kepada Tuhan. Dalam ayat 19-22, Daud bermohon kepada Tuhan agar memusnahkan orang-orang zalim dan mereka yang cuba untuk membunuhnya. Daud berharap agar Tuhan juga membenci musuh-musuhnya kerana mereka adalah manusia yang suka menumpahkan darah dan juga tidak memuliakan Tuhan. Lalu Daud berkata juga bahawa dia sangat membenci mereka kerana mereka bangkit menentang kekuasaan Tuhan. Namun, di dalam ayat 23-24, Daud mulai sedar bahawa sikap seperti itu tidak sepatutnya muncul di dalam dirinya sebagai seorang hamba Tuhan. Sehinggakan Daud memohon kepada Tuhan untuk menguji hati, fikiran dan tindakannya. Ini kerana, Daud hanya ingin berjalan di jalan benar oleh pimpinan Tuhan untuk selama-lamanya. Daud dengan sungguh-sungguh ingin Tuhan meneliti dirinya, mengenali hatinya, menguji karakternya dan menyelidiki keadaan emosinya. Seorang raja yang begitu berkuasa menyedari bahawa dirinya tidak memiliki apa-apa tanpa Tuhan. Seorang raja yang sentiasa ingin memperbaiki hubungan rohaninya dengan Tuhan. Seorang raja yang mahu menyerahkan hidupnya kepada Tuhan. Daud, seorang raja di hadapan rakyatnya tetapi adalah seorang hamba di hadapan Raja segala raja, Yesus Kristus. Daud menyedari bahawa meskipun dia mampu menguasai seluruh kerajaan dan memiliki seluruh isi dunia, jika tanpa Tuhan, maka kehidupannya tidak berguna. Itulah sebabnya Daud sentiasa memusatkan hidupnya untuk berjalan sesuai pimpinan Tuhan, selama-lamanya.
Sehingga akhirnya kita mengerti bahawa di dalam hidup ini, tidak ada yang kekal abadi. Nafas kita akan terhenti di suatu detik, lalu mati; kekuasaan dan kekuatan kita akan pudar di satu tempoh, lalu hilang; kesihatan akan semakin berkurangan; lalu sakit-sakitan; kekayaan akan lenyap; lalu kita tidak punya apa-apa. Namun, ada satu yang kekal abadi iaitu kasih Tuhan di dalam hidup kita. Kitab Ratapan (3:22-23) menuliskan bahawa, “Kerana kasih setia Tuhan tidak pernah lenyap, belaks kasihan-Nya tidak akan pudar. Semuanya baru setiap pagi. Besarnya kesetiaan-Mu!” Tuhan adalah kekal dan abadi sehingga kasih-Nya juga akan sentiasa baharu dan kekal baharu selama-lamanya. Ini bermakna bahawa Tuhan akan sentiasa menyertakan shalom-Nya dalam hidup kita, bahkan setiap hari shalom daripada Tuhan itu menyegarkan dan menguatkan kerana ianya penuh berlimpah dalam hidup kita setiap hari. Daud sungguh menyedari akan kekekalan kasih Tuhan sehingga dia sendiri memohon kepada Tuhan agar sentiasa memimpinnya kepada jalan kebenaran untuk selama-lamanya. Adakah hati kita sama seperti Daud? Sentiasa merindukan pimpinan Tuhan agar kita tidak berjalan di jalan orang fasik sebaliknya berjalan di jalan orang benar. Jika hidup kita setiap hari dibahagikan kepada bahagian tertentu; kadangkala bahagian untuk dikuasai Tuhan; kadang dikuasai oleh si iblis; kadang ingin menguasai diri sendiri, maka kita sebenarnya sedang menuju ke jalan kehancuran kita. Jika itu adalah karakter penyerahan diri kita di hadapan Tuhan, maka bertaubatlah dan mohonlah agar Tuhan sahaja yang kita rindukan untuk memimpin kita setiap masa!
Marilah kita cermin hidup kita dengan kebenaran firman Tuhan agar setiap langkah perjalanan kita tidak jatuh terjerat oleh hasutan si iblis. Semasa kita bercerminkan kebenaran firman Tuhan, kita harus sedar bahawa hidup kita harus sama dengan apa yang kita lihat dari cermin itu, iaitu firman Tuhan. Seorang manusia yang perlu menghias hidupnya dengan kemuliaan Tuhan pasti akan sentiasa memerlukan firman Tuhan sebagai cerminan dirinya. Bukan untuk sehari, sebulan, setahun atau dalam tempoh-tempoh tertentu sahaja, tetapi untuk selama-lamanya. Rancangan asli Tuhan untuk manusia adalah untuk manusia hidup bersama-sama dengan-Nya di dalam Rumah yang abadi iaitu Syurga. Namun manusia seringkali gagal dalam mengikuti rancangan Allah akibat kesombongan dan ketamakan diri. Oleh itu, Tuhan sendiri telah datang ke dunia dalam jelmaan manusia dan menebus manusia daripada maut. Kasih setia Tuhan tidak pernah berkesudahan bagi manusia dan sentiasa memiliki cara-Nya untuk membawa manusia kembali semula ke jalan abadi itu. Meskipun kasih Tuhan kekal abadi, tetapi nyawa manusia tidak pernah kekal abadi. Kita memiliki waktu terhad untuk hidup di dunia ini. Jika selama hidup kita di dunia adalah berjalan dengan keinginan langkah sendiri atau di pimpin oleh si iblis, maka kita akan menderita kekal di neraka kelak. Oleh itu, ambillah sikap hati seperti Daud yang sentiasa merindukan Tuhan untuk memimpinnya ke jalan yang kekal, untuk selama-lamanya.
Tuhan itu Maha Tahu dan Dia tahu segala kejahatan dan dosa kita. Bahkan Tuhan tahu bila akhirnya nafas kita akan berakhir di dunia ini. Jika anda sedar bahawa anda tidak berkuasa mengawal hidup mati di dunia dan tempat anda di Syurga, maka inilah saatnya untuk anda berdoa dan memohon kepada Tuhan untuk memimpin anda kepada kebenaran-Nya. Jangan lengahkan masa untuk kembali kepada Tuhan. Jemputlah Tuhan untuk masuk ke dalam hidup anda saat ini juga dan laluilah perjalanan baharu anda bersama Tuhan dan kebenaran firman-Nya. Haleluyah!
– Jonathan Nafesy El Ram®