“Pada hari ini buatlah pilihan antara yang baik dan yang jahat, antara hidup dan maut.”

“Kasihilah TUHAN, Allah kamu, taatilah dan setialah kepada-Nya, maka kamu dan keturunan kamu akan panjang umur di tanah yang dijanjikan TUHAN kepada nenek moyang kamu, Abraham, Ishak, dan Yakub.”
– Ulangan 30:15, 20

Allah memilih Israel sebagai bangsa untuk melaksanakan banyak perkara hebat kepada dunia di sekitar mereka dan dunia di masa hadapan mereka. Allah menjaga Israel dengan begitu setia dan penuh kasih sehingga setiap masa, Allah sentiasa melindungi mereka dan memberikan mereka kemakmuran hidup. Meskipun dalam banyak perkara, Israel adalah antara bangsa yang paling sombong dan menentang Allah, namun Allah tetap memberikan peluang demi peluang kepada mereka. Tiap kisah dalam Alkitab menceritakan Allah memberikan peluang demi peluang kepada mereka. Ulangan 30:1-20 merupakan antara cerita Allah membuat perjanjian dengan bangsa Israel demi kasih-Nya kepada mereka. Kisah yang terdapat dalam Ulangan 30 dapat kita rangkumkan sebagai sebuah jaminan Allah kepada Israel bahawa jika mereka membuat pilihan yang tepat, maka mereka akan mendapat akibat yang sepatutnya; jika mereka memilih untuk terus berbuat kejahatan dan menentang Allah, maka mereka akan mendapat kutuk dari Allah. Sebaliknya, jika mereka memilih untuk berbuat baik, maka Allah akan memberikan mereka hidup.

Demikian hebatnya kasih Allah kepada umat Israel sehingga Allah memberikan mereka peluang untuk membuat pilihan atas hidup mereka sendiri. Bagaiamana sekalipun Allah murka kepada mereka, kasih-Nya kepada mereka tetap menonjol dengan bukti peluang demi peluang yang diterima oleh Israel untuk bertaubat. Allah menuntut agar Israel bertaubat sepenuh jiwa mereka (Ulangan 30:1-2) kerana jika mereka sungguh-sungguh bertaubat, maka mereka akan menikmati daripada Allah. Berkat demi berkat akan mereka perolehi daripada Allah apabila mereka membuat pilihan yang tepat iaitu mentaati-Nya. Tetapi, jika mereka masih sombong dan menentang Allah, maka mereka akan menerima akibat buruk iaitu kebinasaan hidup kepada mereka (Ulangan 30: 17-18). Maka, Allah memberikan mereka peluang untuk membuat pilihan tepat iaitu pilihan untuk setia kepada-Nya, maka mereka akan diberikan hidup!

Apakah yang membuat kita sukar untuk memilih hidup setia dan taat kepada Allah? Adakah kerana tawaran yang dunia berikan lebih membahagiakan kita? Bukankah hidup kita di dunia ini hanya sementara termasuk kebahagian semu yang dunia tawarkan juga hanya sementara? Lalu, mengapa ada yang masih mahu memilih untuk mencurangi Allah dengan menyembah allah-allah lain? Musa jelas mengingatkan kepada bangsa Israel dalam Ulangan 30 bahawa ketika mereka memilih untuk menentang Allah dan tidak setia kepada-Nya, maka mereka akan menerima kutuk. Bukan sahaja kerana Allah memberikan balasan sesuai pilihan mereka, tetapi kerana orang yang berada di luar kasih Allah tidak akan dapat perlindungan daripada Allah. Roh kejahatan sentiasa menguasai manusia yang tidak menjadikan Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat hidup mereka. Hanya ada satu Allah yang kita sembah iaitu Allah yang kita kenal di dalam Yesus Kristus. Allah yang memberikan peluang kepada manusia untuk memilih jalan hidup mereka, meskipun Allah telah menyediakan jalan hidup terbaik iaitu kehidupan kekal bersama-Nya di Surga. Jika hari ini engkau masih memilih untuk tidak setia kepada Allah, engkau ada dua pilihan: pertama, engkau memilih untuk meninggalkan Yesus Kristus maka engkau akan binasa, atau pilihan kedua adalah engkau kembali kepada Yesus Kristus untuk tetap setia kepada-Nya sahaja. PILIHAN ADA PADA MU SENDIRI! Tetapi, jika engkau mahu memiliki kebahagian kekal, maka hanya ada satu pilihan tepat iaitu memilih Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat mu. Kasihilah TUHAN, taatilah dan setialah kepada TUHAN dan Allah akan memberikan berkat demi berkat untuk seluruh kehidupanmu. Allah tidak berbohong dan tidak berdusta. Ketika Allah berjanji untuk memberkati, DIA PASTI MELAKSANAKANNYA! Haleluyah!

Aku hidup sebab TUHAN kekal hidup.
Aku menang sebab TUHAN telah menang.
Aku kuat sebab TUHAN sumber kekuatan.
Aku beriman hanya kepada TUHAN YESUS.
Pilihanku adalah YESUS KRISTUS!
Amin!

– HT Ram Jonathan®