“Berbahagialah orang yang menderita penganiayaan kerana melakukan kehendak Allah,
Merekalah yang menikmati Pemerintahan Allah.”
– Matius 5:10

Manusia tidak akan pernah terlepas daripada penganiayaan. Penganiayaan itu selalu sinonim dengan tindakan jahat dari seseorang kepada orang lain, atau dari kumpulan lain kepada yang lain. Secara definisi, penganiayaan adalah perbuatan yang dilakukan supaya orang lain menderita, melarat, sakit dan sebagainya. Ternyata bahawa penganiayaan adalah bertujuan untuk memberikan kesan negatif kepada orang lain tanpa perlu melihat sama ada mangsa penganiayaan itu melakukan kesalahan atau melakukan kebenaran. Demikianlah yang terjadi kepada penganut-penganut agama di dunia ini; kita sering menghadapi penganiayaan akibat iman kita dan sering mempertahankan kebenaran iman kita iaitu Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat!

Semasa Yesus menyampaikan isi penting seterusnya daripada khutbah-Nya di petikan Matius 5, Yesus memberikan peneguhan iman kepada semua mereka yang berkomited untuk mengikuti dan menerima Dia sebagai Tuhan dan Penyelamat mereka. Yesus menyatakan bahawa sentiasa ada kebahagiaan bagi orang yang setia melakukan kehendak Allah meskipun mereka kelak akan menerima ancaman nyawa, pelecehan hak sosial, penderitaan emosi dan ugutan nyawa terbunuh. Semua tindakan-tindakan penganiyaan ini akan berpotensi mereka hadapi hanya kerana mereka melakukan hal yang benar sebagai orang Kristian; melakukan kehendak Allah! Sebagai orang Kristian yang sentiasa mahu meningkatkan kualiti iman dan kerohanian, kita akan sentiasa berhadapan dengan risiko penganiayaan daripada orang lain yang tidak setuju dengan praktik iman Kristian kita. Tetapi, Yesus memberikan jaminan bahawa orang yang bertahan dalam penganiayaan ini akan menikmati Pemerintahan Allah dalam kehidupan mereka. Pemerintahan Allah yang dimaksudkan adalah kehidupan yang kekal bersama Allah di dalam Kerajaan-Nya; Surga!

Meskipun kita pada zaman moden ini sentiasa memiliki hak menuntut pembelaan di atas penganiayaan yang kita hadapi, tetapi ternyata bahawa penganiayaan berbentuk kerohanian masih belum memihak secara adil kepada kita sebagai orang Kristian. Kita sering menerima ancaman bunuh apabila mempraktikkan iman di hadapan umum, sering juga terjadi penculikan kerana memberitakan keselamatan kekal kepada orang lain bahkan kehidupan harian kita sering mengalami cabaran kerana pegangan iman kita terhadap Kristus. Tetapi, meyakini firman Tuhan iaitu janji Kristus kepada semua kita bahawa akan ada kebahagiaan sejati yang kita nikmati bersama Allah, jalanilah hidup kita bersama Kristus tanpa ragu dan tanpa malu. Mantapkanlah kerohanian kita dengan perlengkapan senjata Allah. Efesus 6: 11-18 jelas memberikan kita panduan bahawa menjalani kehidupan sebagai orang Kristian harus memilliki perlengkapan senjata daripada Allah. Perlengkapan senjata dari Allah ini bukan sahaja memberikan kekuatan kepada kehidupan kita sebagai orang Kristian di tengah penganiayaan, tetapi juga memurnikan hidup kita di hadapan Allah. Dalam komitmen kita untuk memiliki dan memakai perlengkapan senjata Allah ini (Efesus 6:11-18), ada satu perkara penting yang perlu kita lakukan iaitu menanggalkan perlengkapan senjata lama kehidupan kita iaitu perlengkapan dari dunia kegelapan dosa. Paulus dalam Roma 13:12 mengingatkan kita bahawa kita harus berhenti melakukan perkara-perkara yang dilakukan dalam kegelapan dan perlu melengkapi diri dengan senjata dalam terang. Senjata terang yang hanya dapat diperolehi apabila kita menolak kegelapan dosa dalam hidup kita sehinga hanya terang Yesus sahaja yang menguasai diri kita. Jika kita memiliki senjata terang ini, maka apa sahaja penganiayaan yang kita bakal hadapi tidak akan mematahkan iman kita kepada Yesus Kristus!

 

Yesus Kristus,
Jadikan aku kuat dengan senjata terang-Mu.
Lengkapi diriku dengan kuasa dari Roh-Mu yang kudus.
Pimpinlah setiap langkah ku seturut kehendak-Mu.
Hanya dalam dakapan kasih-Mu aku teguh.
Terlepas daripada-Mu maka panggillah aku kembali pada Mu.
Dalam kesesakan ku, aku berseru pertolongan pada Mu.
Dalam kemenangan ku, aku berseru memuliakan Mu.
Hanya Engkau sumber kekuatan ku!
Amin.