TUHAN berfirman, “Hai Betlehem Efrata, engkaulah salah satu kota yang terkecil di negeri Yehuda, daripadamu Aku akan memberi Israel seorang penguasa; asal usul nenek moyangnya bermula dari zaman purba.”
– Mikha 5:1

Ini merupakan antara nubuatan terawal oleh para nabi mengenai kelahiran Mesias di dalam bangsa Israel. Bukan sahaja nubuatan mengenai lahirnya Mesias yang akan menjadi penebus manusia daripada dosa, tetapi dalam masa yang sama diyakini akan menjadi seorang pemerintah bagi kerajaan yang tidak akan terkalahkan oleh bangsa-bangsa di dunia ini. Meskipun dari masa ke masa sehingga kini, bangsa Yahudi masih salah pengertian akan penggunaan kata “penguasa” yang diungkapkan oleh Mikha sebagai raja atau pahlawan yang mengalahkan penjajah bangsa, tetapi kerajaan yang ditubuhkan oleh “penguasa” ini ternyata benar; sangat kukuh dan tidak pernah terkalahkan sehingga hari ini. “Penguasa” yang dimaksudkan iaitu Mesias tidak lain dan tidak bukan adalah Yesus Kristus yang telah lahir di dalam rahim dara Maria oleh kuasa Roh Kudus sendiri. Malahan benar, bahawa Yesus Kristus ternyata lahir memang dari keturunan yang dinubuatkan oleh Mikha. Silsilah keturunan Yesus dinyatakan dalam Matius 1:1-18; dari keturunan demi keturunan Yehuda sehingga keturunan Yusuf iaitu suami kepada Maria yang telah mengandungkan Yesus. Satupun daripada nubuatan Mikha tidak meleset dan semuanya telah digenapi penuh oleh Yesus.

Hal kedua yang dinubuatkan oleh Mikha mengenai “penguasa” ini adalah dia akan menjadi penguasa bangsa Israel. Ternyata bahawa Yesus Kristus menjadi Pemerintah yang paling berkuasa di dunia ini, bukan sahaja di kalangan bangsa Israel tetapi jauh melebihi bangsa dan negara Israel. Sehingga masa kini, mengikut statistik yang dikeluarkan oleh www.pewresearch.org, jumlah pengikut Yesus Kristus di seluruh dunia adalah 2.3 bilion dan ini merupakan jumlah pengikut tertinggi bagi seorang penguasa di dunia. Ini membuktikan bahawa jumlah rakyat yang diperintah oleh Yesus Kristus adalah lebih daripada 31 peratus manusia yang ada di dunia ini. Harus diingatkan bahawa ini adalah statistik mereka yang didaftarkan secara sah sahaja. Berjuta lagi manusia di dunia ini telah (dan sedang) menjadi pengikut Kristus secara sembunyi-sembunyi kerana masalah dokumen beragama di negara mereka. Yesus Kristus yang lahir ke dunia ini bukan sekadar datang untuk menebus dosa manusia tetapi sesungguhnya Dia datang untuk menjadi raja dan pemerintah nombor satu di dalam hidup anda dan saya. Bukan itu sahaja, Yesus Kristus juga menjadi Pemerintah paling berkuasa di dunia kerana semua manusia didunia ini mengamalkan sikap dan ajaran-Nya iaitu kasih dan mengasihi sesama manusia. Tidak dinafikan bahawa masih ramai pemerintah yang wujud di dunia ini menguasai negara ataupun negara-negara lain, tetapi tiada satupun pemerintah di dunia ini yang sanggup mati demi keselamatan penduduknya. Hanya ada satu Pemerintah yang telah sanggup turun dari takhta-Nya yang teragung mulia iaitu kerajaan Syurga, lalu datang ke dunia melalui Maria dan merelakan diri-Nya untuk dibunuh bagi menebus rakyat-Nya daripada berhutang dosa; Yesus Kristus satu-satunya Pemerintah sanggup berkorban bagi anda dan saya!

Yesus Kristus juga bukan sekadar menjadi Penguasa yang memerintah hidup anda dan saya melalui karya penebusan, tetapi Yesus Kristus juga sentiasa melindungi kita dengan kekuasaan-Nya. Bukan untuk mendapatkan balasan daripada perlindungan yang Dia berikan tetapi kerana Dia sangat mengasihi kita sebagai umat kesayangan-Nya. Tidak ada satu detikpun dalam kehidupan yang kita jalani tidak dijagai oleh Yesus Kristus. Dia sentiasa melindungi kita daripada semua sudut hidup kita. Bahkan, ketika ini kita sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19, Yesus Kristus masih menunjukkan kedaulatan-Nya dan kasih-Nya melalui perlindungan yang Dia berikan kepada kita. Jika bukan kerana perlindungan-Nya, kita pasti sudah mati tanpa amaran atau dijangkiti tanpa amaran oleh pandemik ini. Jika bukan kerana Yesus Kristus, Pemerintah paling berkuasa di dunia ini, pasti bumi ini sudah hancur binasa kerana ketamakan para pemerintah dan para jutawan yang berusaha mengaut keuntungan di sebalik kesusahan yang sedang kita alami. Jika bukan kerana Yesus Kristus, pemerintah paling berkuasa di dunia ini sedang melindungi kita, pasti kita sudah menjadi tidak keruan serta hilang pengharapan untuk meneruskan hidup akibat tekanan yang kita sedang hadapi. Yesus Kristus sentiasa bersama-sama dengan kita dalam segala keadaan. Sedar ataupun tidak sedar, Yesus Kristus sedang melindungi kita. Mazmur 34:8 menyatakan betapa kita dilindugi oleh TUHAN iaitu Yesus Kristus yang digelar Malaikat TUHAN dalam ungkapan puitis oleh Daud. Saudara-saudari dan saya tidak pernah ditinggalkan oleh TUHAN kita, Yesus Kristus. Maka, tiada sebabnya untuk kita berputus-asa dengan tekanan hidup yang kita alami ketika ini. Bertahanlah kerana Yesus Kristus melindungi kita. Bahkan Yesus Kristus akan mencukupkan keperluan kita tepat pada waktu-Nya. Rasul Paulus yang hidup serba kekurangan tetapi sentiasa dicukupkan oleh TUHAN menuliskan dalam Filipi 4:19 bahawa, “Allahku dengan kekayaan-Nya yang berlimpah-limpah, akan memenuhi segala keperluan kamu melalui Kristus Yesus.” Jika Paulus sahaja dicukupkan oleh Yesus Kristus, kita yang masih berjuang hidup dan setia di dalam Yesus Kristus juga pasti akan diberkati oleh-Nya. Tiada yang mustahil bagi Yesus Kristus apabila Dia mengerjakan segala kebaikan untuk kita. Tetaplah bersandar penuh kepada kekuasaan Yesus Kristus, kerana hanya Dia yang layak disembah sebagai Pemerintah dan hanya Dia layak diagungkan kerana Dia satu-satunya Pemerintah paling berkuasa di dunia!

Saudara-saudari terkasih di dalam Yesus Kristus, sang Pemerintah paling berkuasa di dunia; marilah kita raihkan hari memperingati kelahiran Yesus pada musim ini dengan penuh ucapan syukur. Kita sedang dilanda pandemik Covid-19, tetapi berkat daripada Yesus Kristus tidak pernah terganggu oleh pandemik ini. Kita mungkin sedang mengalami tekanan demi tekanan dalam hidup kita, tetapi Yesus Kristus sentiasa mahu kita datang kepada-Nya dan menyembah-Nya. Kita tidak mungkin dapat memberikan hadiah terbaik mengikut ukuran dunia ini, tetapi satu-satunya hadiah terbaik yang kita dapat persembahkan kepada Yesus Kristus adalah hidup kita; persembahkan hidup kita sebagai persembahan yang berbau harum kepada Yesus Kristus. Izinkan Yesus Kristus lahir di dalam hidup kita setiap hari bahkan kita dimatangkan dalam kehidupan rohani kita oleh Yesus Kristus yang semakin megah berkuasa di dalam hidup kita. Hidup kita bukan lagi diperintah oleh diri kita sendiri tetapi biarlah kuasa dan kasih Yesus Kristus terus lahir dan bertumbuh sihat di dalam kehidupan kita. Haleluyah! Selamat menyambut Natal 2020!

– HT Ram Jonathan®